Peluang Elis melihat semula amat cerah – Doktor
Oleh Norizan Abdul Muhid
PETALING JAYA 16 Ogos – Selepas menjalani dua pembedahan mengalirkan cecair otak ke usus dan ‘membina’ batang hidung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Elis Rochmita Sari, 4, kini boleh memberi reaksi kepada cahaya dan bayangan di persekitarannya.
Sebelum ini, Elis, kanak-kanak malang yang menghidap penyakit lebihan cecair otak dari Yogyakarta, Indonesia dan tidak mampu melihat dikatakan tidak mempunyai harapan untuk pulih.
Timbalan Pengarah Bahagian Klinikal (Ikhtisas) PPUM, Profesor Madya Dr. Jamiyah Hassan berkata, peluang Elis melihat semula kini amat cerah namun kanak-kanak itu masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
“Pembedahan terakhirnya baru selesai 27 Julai lalu, kini Elis sudah boleh memberi reaksi kepada cahaya dan bayang-bayang.
“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan tentang keadaannya sekarang, buat masa ini, penglihatannya semakin beransur baik.
“Kita lihat perkembangannya pada masa akan datang, jika tahapnya masih sama untuk jangka masa enam bulan lagi, kita boleh kata peluang untuk Elis melihat semula sudah tidak ada,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di PPUM di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdihardjo dan sebahagian 20 pakar perubatan yang terlibat dalam siri pembedahan Elis di hospital berkenaan.
Sidang akhbar itu turut disiarkan secara langsung oleh RTM menerusi program Selamat Pagi Malaysia.
Kisah penderitaan Elis didedahkan oleh Utusan Malaysia pada 7 Jun lalu dan sejak itu, usaha membawa Elis menjalani rawatan di Malaysia digerakkan oleh Ahmad Zahid, sekumpulan pegawai dan pakar perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sewaktu melawat keluarga Elis di Dapok, Gilangharjo, Pandak, Bantul.
Kos bagi pembedahan dan rawatan Elis sebanyak RM70,000 akan diambil daripada kutipan Tabung Bencana Kementerian Luar-RTM.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan PPUM pula membiayai kos penginapan serta makan minum ibu bapa Elis sepanjang mereka di sini.
Hidung Elis sebelum ini gagal terbentuk dengan sempurna manakala matanya juling akibat penyakit ensephalacelo yang dideritainya.
Selain itu, menurut Jamiyah, Elis tidak perlu lagi menjalani sebarang pembedahan untuk memulihkan penglihatan atau bentuk fizikal wajahnya kerana keadaan kanak-kanak itu kini stabil dan normal.
Ujarnya, Elis akan diberi rawatan susulan di Hospital Yogyakarta bagi menilai tahap pencapaian penglihatannya selepas kanak-kanak itu pulang ke Indonesia kelak.
Sementara itu, sidang akhbar berkenaan adalah yang terakhir buat Elis memandangkan dia dan ibu bapanya, Purwandari, 23, serta Krisyanto, 34, akan pulang ke Yogyakarta esok.
“Saya amat rindu kepada keluarga dan kampung, lebih-lebih lagi esok adalah hari kemerdekaan Indonesia sebab itu kami sekeluarga harus pulang.
“Bagaimanapun, saya dan keluarga tidak akan lupa jasa dan pengorbanan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti membantu, budi baik anda semua hanya Tuhan yang dapat membalasnya,’’ kata Purwandari.
No comments:
Post a Comment