Friday, August 25, 2006

Lelaki sakit mental maut

Harian Metro, 24 ogos 2006

Oleh Erywan Norshal

MACHANG: Seorang lelaki yang dipercayai menghadapi masalah mental ditembak mati polis selepas cuba menyerang seorang anggota polis yang cuba menahannya di Kampung Kenangan, Labok, dekat sini, semalam.



Lelaki terbabit sebelum itu dikatakan bertindak agresif selepas tidak berpuas hati dengan nasihat bapanya supaya jangan meninggalkan rumah kerana bimbang mengganggu orang ramai.

Bagaimanapun, Mohd Ruzlan Ismail, 28, yang naik berang dengan kata-kata itu cuba memukul bapanya tetapi sempat dihalang ibu dan empat beradiknya yang lain.

Bapa mangsa, Ismail Husain, 50, berkata ketika kejadian, dia baru pulang ke rumah dari tempat kerjanya kira-kira jam 6.30 pagi.

Menurutnya, apabila sampai di perkarangan rumahnya, dia mengetuk pintu sebanyak dua kali sebelum dibuka anaknya itu dengan keadaan muka yang menggerunkan.

�Saya melihat air muka dia lain daripada biasa kerana matanya kelihatan begitu liar menyebabkan saya menasihatkannya supaya jangan keluar,� katanya ketika ditemui, semalam.

Ismail berkata, Mohd Ruzlan anak sulung daripada lima beradik itu berang selepas mendengar nasihatnya menyebabkan dia bertindak memukulnya.

Menurutnya, perbuatan Mohd Ruzlan bagaimanapun dihalang isterinya, Mek Yah Ismail, 50, serta empat anaknya.

�Melihat keadaan Mohd Ruzlan yang tidak terkawal, saya berlari ke Pondok Polis Labok yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah untuk meminta bantuan.

�Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya terdengar bunyi tembakan di kawasan rumah tetapi tidak menghiraukannya. Ketika tiba di rumah, saya dapati sebuah kenderaan polis sudah berada di rumah.

�Saya kebingungan apabila seorang anggota polis datang memberitahu saya mengenai kejadian tembak dan memohon maaf banyak-banyak mengenai kejadian itu.

�Saya tidak menyangka Mohd Ruzlan mati terkena tembakan yang saya dengar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah,� katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata dua anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pergi ke kampung itu apabila menerima panggilan mengenai orang mengamuk kira-kira jam jam 6.30 pagi.

Menurutnya, dua anggota polis tiba di rumah berkenaan pada jam 6.45 pagi dengan sebuah kenderaan pelbagai guna.

�Ketika tiba di tempat kejadian, anggota terbabit mendapati seorang lelaki sedang mengamuk dalam rumah itu.

�Anggota polis kemudian menyuruh lelaki itu meletak kayu tajam yang dibawanya tetapi tidak diendahkan malah bertindak mengejar seorang daripada anggota terbabit,� katanya.

Abdul Rahim berkata, seorang daripada anggota yang cuba melarikan diri terjatuh menyebabkan lelaki itu bertindak memijak badannya sambil memegang kayu tajam itu.

Menurutnya, pada masa sama, seorang daripada anggotanya melepaskan satu das tembakan mengenai dada lelaki terbabit.

�Selepas itu, lelaki terbabit dibawa ke Hospital Machang (HM) oleh anggota kami tetapi meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan,� katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit menghidap penyakit mental sejak 1995 dan kali terakhir menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) antara 15 Jun hingga 20 Julai lalu.

�Kita percaya mangsa mengamuk kerana dia tidak memakan ubat yang sepatutnya dimakannya sebelum itu,� katanya.

No comments: