Thursday, August 24, 2006

Swasta disaran bantu OKU

Berita Harian, 24 ogos 2006

SEREMBAN: Sektor swasta disaran tampil membantu golongan kurang bernasib baik dan kurang upaya (OKU), termasuk kepada pusat yang menempatkan kumpulan itu seperti Pusat Dalam Komuniti (PDK) atau rumah kebajikan lain.


Sikap berkenaan perlu bagi menjamin keselamatan dan masa depan golongan terbabit dengan bentuk bantuan tidak mengambil kira segi kewangan atau peralatan berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang, Datuk Woo Ah Lek, berkata walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan setiap bulan kepada pusat terbabit, ia masih belum mencukupi.

"Jika ada kerjasama dan bantuan pihak lain, usaha memastikan kebajikan golongan berkenaan sentiasa terbela sudah tentu akan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan peralatan fisioterapi bernilai RM5,000 oleh Great Eastern Assurance Cawangan Seremban kepada PDK Senawang, di Taman Seri Mawar Senawang, dekat sini.

Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Kasim Yunus; Penaung PDK Senawang, Phang Chen Lan dan Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kewangan dan Perhubungan Great Eastern, Bruce Lee Yee Lam.

PDK Senawang menempatkan 30 kanak-kanak istimewa berusia antara tiga hingga 16 tahun yang mengalami sindrom down.

Woo berkata, kerajaan amat menggalakkan pihak swasta menunaikan tanggungjawab sosial membantu golongan memerlukan sesuai dengan agenda masyarakat penyayang.

"Golongan kurang bernasib baik dan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang harus dibantu kerana mereka tidak mungkin akan dapat menikmati kehidupan dan masa depan yang baik tanpa pembelaan kita.

"Justeru, saya berharap semua pihak, sama ada individu, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama memupuk kesedaran menderma bagi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Woo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, berkata PDK Senawang memerlukan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan untuk meneruskan operasi.

No comments: