Monday, December 18, 2006

Bukan balasan diminta, cukup sekadar ingatan

Berita Harian, 18 Disember 2006


Embun Mohd Ali guna duit pencen guru besar buka Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah



BUKAN balasan yang dipinta, cukup sekadar tanda ingatan daripada anak yatim dan miskin yang pernah dibelanya, meneruskan perjuangan membela lebih ramai lagi insan senasib mereka di Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah.

Itulah harapan Embun Mohd Ali, 87, seorang bekas guru besar yang mempunyai prinsip murni kerana tidak pernah berasa takut ditimpa kepapaan selepas mengeluarkan sebahagian daripada hartanya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik itu.

Baginya, hanya Allah akan membalasnya dan percaya beliau bersama 11 anak-anaknya akan sentiasa dimurahkan rezeki.

Justeru, beliau bersama suaminya pada awal tahun 1990-an nekad menggunakan wang simpanan pencen mereka untuk membuka dan mengendalikan rumah kebajikan khusus untuk membantu anak yatim dan miskin itu.

Embun dan Allahyarham suaminya, Din Kimi mengumpul wang gaji serta pencen selama 10 tahun untuk membina Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah (Darul Hikmah).

Akhirnya, hasrat mereka termakbul apabila Darul Hikmah ditubuhkan dengan pembinaan bangunan di atas tanah milik mereka seluas lapan hektar di Gopeng, Perak pada 1991.

Pada peringkat awal seramai 10 anak yatim ditempatkan di Darul Hikmah. Di situlah mereka dibesarkan dengan pendidikan dunia dan akhirat.

"Tidak ada salahnya kita berbuat baik kepada orang susah (anak yatim dan miskin). Nasihat saya kepada semua orang terutama yang sudah tua, keluarkan sedikit harta kita untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

"Jangan berhenti membantu mereka kerana kita tidak akan tahu nasib kita kemudian hari. Mungkin sempat, mungkin tidak. Jangan jadi seperti beberapa orang rakan seangkatan saya yang ingin membantu tetapi tidak kesampaian kerana meninggal dunia.

“Selain itu, kita hendaklah sentiasa patuh kepada orang tua dan mengasihani anak yatim dan miskin kerana mereka perlu bantuan daripada kita yang lebih bernasib baik,” katanya yang pernah berasa keperitan hidup tanpa ibu bapa dan terpaksa tinggal bersama nenek ketika kecil.

Cikgu Embun memang berniat daripada awal untuk menegakkan syiar Islam melalui pendidikan dan kebajikan.

Hasrat itu direalisasikannya menerusi penubuhan Darul Hikmah kerana selain membantu menyediakan tempat penginapan sempurna untuk anak yatim piatu dan miskin, mereka turut dibekalkan ilmu dunia dan akhirat.

Malah, ketika ditanya apakah harapannya terhadap Darul Hikmah, beliau berkata, jika diizinkan Allah, beliau ingin melihat yayasan itu menjadi sebuah pusat pendidikan Islam satu hari nanti.

"Kalau boleh, biarlah kawasan ini menjadi pusat pendidikan untuk anak yatim...kalau boleh biar jadi macam Kolej Islam," katanya merenung seketika ke arah kawasan padang mungkin membayangkan Kolej Islam impiannya.

Darul Hikmah yang terletak di Kampung Pintu Padang, Gopeng kira-kira satu kilometer daripada jalan utama membuktikan segalanya kerana dibina khusus bagi membela nasib kanak-kanak berkenaan.

Kelebihan Darul Hikmah yang terletak berhampiran Gua Tempurung dengan suasana persekitarannya yang dikelilingi bukit batu kapur berbeza dengan suasana rumah anak yatim lain terutama yang terletak di bandar.

Menceritakan pembabitan awalnya mengenai penubuhan asrama itu, Cikgu Embun berkata, rumah berkenaan diasaskannya ketika usianya 75 tahun bersama arwah suami, Din Kimi.

Cikgu Embun yang pernah memenangi Anugerah Tokoh Guru Perak 1995 serta Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 1996 memang nekad sejak awal tidak mahu menggunakan sebarang wang luar bagi pembinaan rumah itu.

Beliau yang bersara sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Fair Park di Ipoh, juga aktif dalam Umno cawangan Kampung Tengku Hussein di Ipoh kira-kira 40 tahun lalu.

Cikgu Embun buat masa ini tinggal bersama seorang daripada 11 anaknya di Gopeng. Beliau suka tinggal di Gopeng kerana dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Pintu Padang, selain pernah mengajar di beberapa sekolah di kawasan itu.

Bapanya, Charles d’ Velarasto adalah kacukan Amerika-Sepanyol. Charles yang memeluk Islam menukar namanya Mohd Ali. Beliau datang ke Malaysia dan pernah membuka sarkas di Gopeng dan Kampar berikutan terlalu meminati haiwan.

Kegigihan Embun sejak 15 tahun lalu membantu kanak-kanak miskin dan yatim untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dihargai, baru-baru ini apabila beliau menerima Anugerah Kemanusiaan Malaysia NSTP-PwC bagi kategori Anugerah Kemanusiaan Sepanjang Hayat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kisah Embun adalah bukti bahawa di sebalik kehidupan yang semakin materialistik sekarang,

masih ada golongan yang terpanggil mencurahkan bakti. Ternyata sikap penyayang tetap subur di negara ini.

Sementara itu, Ismail berkata, antara penekanan dalam pendidikan yang diberikan kepada anak yatim di Darul Hikmah ialah mengimbangi disiplin dan kepentingan akademik mereka.

Sejak memegang amanah bagi mentadbir rumah itu pada 1 Januari 2001, Ismail sedar beberapa aspek khusus perlu diberi penekanan untuk kebajikan penghuni rumah berkenaan.

"Namun, saya memberi keutamaan terhadap bidang akademik kerana ia cukup penting sebagai jaminan masa depan yang baik untuk anak-anak yang mendiami rumah ini.

"Disiplin dan akademik harus seiring...malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada beberapa penghuni rumah ini yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam pelajaran mereka.

"Ada juga di antara mereka yang kini melanjutkan pelajaran di Kolej Al-Furqan di Syria. Pada awalnya, ada di antara mereka yang tidak yakin boleh berjaya berikutan keadaan keluarga yang tidak sempurna.

"Mereka mudah rasa tertekan dan rendah diri di sekolah. Justeru, galakan dan motivasi sangat penting bagi menaikkan semangat mereka untuk bersaing dalam bidang pelajaran," katanya.

Ismail selain menjadi ketua yang menjalankan urusan pentadbiran di Darul Hikmah, juga sudah dianggap seperti bapa kandung oleh semua penghuni rumah berkenaan.

"Dalam mendidik mereka, saya tegas dan mengenakan disiplin ketat bagi memastikan mereka keluar daripada rumah amal ini sebagai anak yang berguna kepada agama dan masyarakat.

"Tiada sikap pilih kasih dalam mendidik mereka, semuanya saya anggap seperti anak sendiri. Ada ketika jika mereka melakukan kesilapan, saya menegur dan apabila mendapat kejayaan kita bersama meraikannya," katanya.

Beliau berkata, penghuni rumah berkenaan di hantar ke beberapa sekolah menengah dan rendah berasingan sekitar Gopeng.

"Ini bagi membolehkan mereka meluaskan pergaulan di kalangan rakan sekolah pelbagai bangsa dan agama.

"Dengan cara itu, secara tidak langsung dapat membantu mereka meningkatkan keyakinan diri meskipun bukan semua yang benar-benar dapat memanfaatkan persekitaran belajar sedemikian," katanya.

Untuk meningkatkan lagi semangat penghuni rumah terbabit terhadap bidang pelajaran, Ismail lebih cenderung menggalakkan aktiviti seperti kunjungan penuntut institut pengajian tinggi dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) ke rumah kebajikan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak keluar mencari anak-anak susah yang perlu dibantu tetapi mereka dihantar sendiri ke Darul Hikmah oleh pertubuhan kebajikan, mahkamah dan orang perseorangan.

"Terdapat kes sebelum ini di mana dua wanita menemui enam adik-beradik yang meminta sedekah di Kuala Lumpur dan mereka semua dibawa ke rumah berkenaan," katanya.

Ismail berkata, pihaknya masih mengharapkan tenaga sukarela untuk mengajar anak yatim dan miskin di Darul Hikmah terutama dalam mata pelajaran Matematik, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ismail di talian 012-3229850 atau 05-3593190. Maklumat juga boleh diperoleh dengan melayari laman web di alamat www.darulhikmah.org.my

PROFIL: Embun Mohd Ali

Nama suami: Din Kimi

Tarikh lahir: 5 November 1919

Tempat lahir: Bidor, Perak

Anak: Ainun, 65 Adnan, 64 Maimun (meninggal dunia) Fadzilah, 62 Saadah, 58 Akbar, 57 Ali (meninggal dunia) Salmah, 55 Dahlia, 54 Juriah, 46 Jamal, 45

Anugerah yang diterima sebelum ini :

  • Tokoh Guru Perak pada 1995

  • Bintang Tokoh Guru Kebangsaan 1996


  • 1 comment:

    Unknown said...

    Subhanallah, Sungguh menakjubkan