Wednesday, December 06, 2006

Tergamak jual bayi cacat

Harian Metro, 6 Disember 2006


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

MASIH ada ibu bapa yang menganggap anak yang mengalami kecatatan sebagai satu bebanan dan menyusahkan hingga ada yang tergamak menjual bayi daripada memelihara darah daging sendiri.

Datuk Razali Ismail (BN-Kuala Terengganu) berkata, perbuatan seperti itu jelas menunjukkan stigma masyarakat negara ini yang masih tidak peduli dengan nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata, ia sekali gus menyukarkan usaha kerajaan untuk meningkatkan pencapaian golongan berkenaan supaya dapat mencapai kecemerlangan seperti insan normal.

"Saya mendapat tahu ada ibu yang sanggup menjual bayi yang baru dilahirkan kerana anaknya bermasalah pendengaran dengan harga RM450.

"Anaknya kemudian menulis surat dan mengatakan sangat marah kepada ibu bapanya dan langsung tidak mahu bertemu semula dengan mereka.

"Ini menunjukkan stigma masyarakat yang tidak bersimpati dengan manusia kurang sempurna ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2007 pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, perkara itu turut dibuktikan apabila atlit OKU yang terbabit dengan Sukan Fespic baru-baru ini sukar mendapatkan pelbagai kemudahan termasuk tempat latihan.

"Golongan kurang beruntung atau manusia kurang upaya ini susah nak dapatkan tempat dalam masyarakat kita. Stigma inilah yang perlu diubah," katanya.

Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) turut menyokong dengan mendedahkan ada graduan universiti di kalangan OKU tidak mendapat pekerjaan hanya disebabkan kecacatan yang dialami.

Beliau berkata, hal ini menyebabkan individu berkenaan tidak dapat membayar pinjaman pendidikan mereka selepas agak lama menamatkan pengajian walaupun memiliki kelulusan akademik yang cemerlang.

"Persepsi sesetengah orang mereka tidak boleh bekerja seperti orang lain. Oleh itu, saya harap kementerian dapat menasihati kementerian dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk beri keutamaan kepada OKU dalam pengambilan pekerja baru mereka," katanya.

Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) pula mencadangkan penggabungan antara kerajaan pusat dan negeri dalam menyalurkan bantuan terus kepada OKU di setiap negeri.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang sama bagi jawatankuasa kementeriannya memberi amaran keras kepada pihak berkuasa tempatan yang tidak menguatkuasakan peraturan berhubung ngan kebajikan OKU.

No comments: