Tuesday, December 05, 2006

TAMU SELASA: Kualiti hidup OKU lebih baik

Berita Harian, 5 Disember 2006


SEMPENA Hari Orang Kurang Upaya (OKU) yang disambut 5 Disember (hari ini), apa program yang disusun kepada golongan itu yang meliputi 170,000 orang yang mendaftar.

Pengisytiharan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan selaras dengan OKU peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tahun ini sambutan hari OKU diadakan dengan cara berlainan. Sebaliknya kita mengadakan Persidangan Meja Bulat yang dijadikan acara utama bagi sambutan Hari OKU. Penekanan kepada pengisian kepada golongan itu dengan topik Akses Untuk Kehidupan Sebenar, yang diadakan di Berjaya Times Square Hotel Convention Centre si ibu negara, hari ini.

Persidangan Meja Bulat itu adalah perbincangan lebih bersepadu yang menekankan kepada pembinaan bandar raya mesra OKU yang disampaikan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negara serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang itu.

Persidangan Meja Bulat ini diadakan sebagai satu pembaharuan selaras dengan penjenamaan semula JKM, kita sudah berusia 60 tahun dan kini tiba masanya untuk meningkatkan tahap profesionalisme jabatan ini. Ia juga sebagai langkah JKM menangani isu berkaitan akses kepada persekitaran fizikal yang dikenal pasti sebagai penghalang utama golongan itu menjalani aktiviti sosioekonomi.

Selain itu ia juga bertujuan membangunkan hala tuju dasar serta inisiatif ke arah mewujudkan masyarakat inklusif, bebas daripada halangan dan berasaskan hak asasi.

Menerusi pembentangan kertas kerja itu, kita yakin dapat mewujudkan OKU yang benar-benar terbela dari pelbagai segi khususnya kemudahan khas yang mesra pengguna di semua premis, pengangkutan, sosial, ekonomi dan pendidikan.

Kita juga berharap dengan sambutan berkenaan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu berkaitan OKU, kerana mereka adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai hak sama dan berkeupayaan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Merapatkan lagi hubungan kerjasama antara kerajaan dengan pertubuhan sukarela serta sektor swasta, korporat dan komuniti di dalam usaha mewujudkan sebagai kemudahan ke arah mengintegrasikan OkU dalam masyarakat.



Ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilaporkan tidak mematuhi garis panduan berhubung penyediaan kemudahan kepada OKU. Bagaimana peranan JKM memastikan golongan itu mampu memenuhi keperluan berkenaan.



Ketika ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengadakan perbincangan mengenai kemudahan asas bagi OKU terutama yang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dari segi pembangunan dan pembinaan bangunan, jalan, kemudahan awam, pengangkutan.

Dari segi kemudahan khas pengangkutan (penyediaan laluan khas serta ramp ) masih terlalu kurang dan tidak mesra pengguna jika dibandingkan dengan negara maju lain. Hanya Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) saja yang ada kemudahan itu bagi OKU dan warga tua.

Oleh itu, semua perkara itu akan dibincangkan untuk memastikan OKU di negara ini mendapatkan kemudahan sepenuhnya seperti orang normal dari segi aspek kehidupan.

Memang kemudahan OKU dari segi bangunan belum mencapai yang diharapkan, walaupun ada beberapa bangunan baru mempunyai ciri-ciri kemudahan yang diperlukan OKU. Apa yang diharapkan menerusi perbincangan itu, satu ketetapan dapat diambil terhadap perkara itu. Cuma PBT sedang berurus dengan kontraktor supaya bangunan yang didirikan memenuhi spesifikasi untuk OKU.

Ini penting kerana OKU turut memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

Selain itu, orang ramai juga perlu mengubah sikap terhadap kemudahan OKU, jangan pula menggunakan kemudahan khas OKU untuk kepentingan diri sendiri. Contoh, kita lihat masyarakat di negara ini masih kurang sifat kesedaran dengan menggunakan kemudahan tempat meletak kenderaan atau tandas khas OKU. Ini tidak berlaku di negara maju, mereka mengikut arahan dan tahu tanggungjawab masing-masing arahan itu. Kita juga perlu tanamkan semangat bahawa OKU perlu diberi perhatian.

JKM bersama kementerian juga sudah membentangkan kertas kerja dalam mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan bagi mendapatkan komitmen PBT untuk menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Bangunan Secara secara lebih berkesan.

Semua pengarah JKM negeri diarah memberi perhatian dan mengutarakan isu akses itu kepada PBT. Selain itu JKM juga akan memberi kerjasama dengan persatuan OKU menganjurkan program kesedaran untuk memastikan peraturan berkenaan dipatuhi.



Sejak merdeka bagaimana peningkatan golongan OKU di negara ini jika dibandingkan dengan negara lain.



Secara keseluruhan, kualiti dan taraf hidup OKU kini bertambah baik dan semakin meningkat sejak dua tiga dekad. Ia dapat dilihat dari beberapa aspek, iaitu perkembangan perkhidmatan disediakan beralih daripada perubatan kepada pencegahan dan kini lebih berbentuk pendekatan pembangunan.

Sebelum merdeka perkhidmatan OKU disediakan JKM lebih berfokus kepada penjagaan OKU di institusi saja. Ketika ini OKU dilihat sebagai penerima perkhidmatan pasif. Selepas merdeka, perkhidmatan OKU berkembang kepada aspek pemulihan dan pembangunan.

OKU mula diterima sebagai individu yang mempunyai hak dan berkeupayaan, perkhidmatan disediakan juga berkembang seperti latihan, skim bantuan bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti golongan itu.

Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan turut menyediakan perkhidmatan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup mereka.

Komitmen kerajaan membangun dan menaikkan taraf hidup OKU dapat dilihat melalui pengisytiharan dan sambutan Hari OKU, Proklamasi Penyertaan Penuh dan Penyamaan peluang bagi OKU di Asia Pasifik, peruntukan bajet tahunan dan perundingan OKU bersama dalam membuat keputusan.

Tindakan itu secara langsung memberi pengiktirafan golongan itu penting dalam masyarakat dan seterusnya mengubah persepsi orang ramai. OKU bukan lagi dilihat sebagai satu beban atau masalah serta bukan penerima perkhidmatan pasif, sebaliknya mempunyai hak bersuara.



Sejauh mana perancangan dilakukan kepada golongan itu terutama dari segi hak kesamarataan dalam ekonomi, sosial, pekerja dan pendidikan.



Jika mengikut perangkaan PBB, setiap negara mempunyai satu peratus OKU. Mengikut ukuran itu, Malaysia 260,000 berdaftar dengan OKU, tetapi yang berdaftar sekarang seramai 170,000, ramai yang tidak daftar, walaupun digalakkan mendaftar.

Secara puratanya, golongan kurang upaya penglihatan seramai 16,302; kurang upaya pendengaran (26,294); kurang upaya anggota (56,738); masalah pembelajaran (56,130), cerebral palsy (623) dan lain-lain (4,368).

Pendaftaran sebagai OKU bukan bertujuan untuk mendapatkan kemudahan saja daripada JKM, tetapi yang paling utama adalah untuk memudahkan kerajaan membuat pelbagai perancangan dan pembangunan terhadap golongan itu. Selain itu banyak manfaatnya dengan pendaftaran itu, Dalam konteks sekarang, JKM sudah bekerja keras untuk menarik mereka mendaftar.

Yang ramai daftar adalah kanak-kanak. Orang dewasa tidak daftar mungkin berfikir sudah bekerja. Sebenarnya ada banyak kemudahan seperti kad OKU bagi memudahkan mendapat kemudahan percuma bagi pasport antarabangsa, pengecualian cukai membeli kenderaan, rebat telefon dan pelbagai lagi.

Untuk menjamin hak kesamarataan OKU dalam semua bidang kerajaan mewujudkan Pelan Tindakan Nasional (PTN) yang menggariskan dasar dan tindakan perlu untuk mencapai matlamat ditetapkan di setiap bidang bagi menjamin penyertaan penuh dan penyamaan peluang OKU dalam semua aspek kehidupan.

Draf pertama PTN baru dirangka dan sedang dimantapkan. Ia berlandaskan bidang yang dikenali pasti dan merentasi semua aspek kehidupan dan pembangunan OKU.



Kerajaan ingin menggubal dasar serta undang-undang termasuk Akta Akta Kecacatan yang bakal memberi manfaat kepada golongan OKU dalam semua aspek. Bagaimana perkembangannya.



Kementerian sudah menyediakan draf Akta OKU, Dasar OKU, Pelan Tindakan Nasional OKU. Ketiga dokumen itu menjadi asas penyamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

Ketiga-tiga dokumen itu belum dimuktamadkan dan masih pada peringkat proses pemantapan kerana perlu melalui proses serta prinsip asas yang penting menjelaskan tanggungjawab kerajaan, PBT, sektor swasta dan masyarakat serta mewujudkan tindakan yang komprehensif dan mantap bagi menyokong hak, semangat berdikari, martabat diri dan penyertaan golongan itu. Kesemuanya dokumen masih dalam peringkat perbincangan lanjut sebelum diluluskan di Parlimen.



Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) sebelum ini dilaporkan perlu menyediakan laporan terperinci terhadap golongan itu. Bagaimana input diperoleh sekarang.



Mayang adalah program yang dijalankan di 219 Parlimen. Sejak 2006 Mayang diperuntukkan RM6,000 setahun untuk program kesedaran OKU termasuk kesedaran dan menggalakkan pendaftaran OKU dan sebagainya. Sejak adanya program itu juga dapat meningkatkan kesedaran kepada golongan itu. JKM terus memantau pelaksanaan program itu untuk memastikan matlamatnya tercapai.



Bagaimana cadangan untuk melantik Ahli Dewan Negara mewakili suara golongan OKU



Sebagai agensi utama yang bertanggungjawab ke atas pembangunan OKU, JKM sentiasa menyokong cadangan itu dan perlantikan wakil berkenaan akan membolehkan isu OKU diketengahkan dengan lebih berkesan untuk pembangunan dan kesejahteraan golongan itu.

Menteri pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sudah mengemukakan cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebarang keputusan belum dicapai, tetapi kita berharap pelantikan dapat dilakukan segera untuk kepentingan golongan itu.

No comments: