Tuesday, December 05, 2006

Ibu bapa tidak wajar sorok anak istimewa

Berita Harian, 5 disember 2006


KUANTAN: Ibu bapa yang memiliki anak istimewa diingatkan supaya tidak berasa malu sehingga bertindak menyorok anak mereka bagi mengelak daripada diketahui masyarakat sekeliling.


Tindakan menyorok anak istimewa oleh sesetengah ibu bapa bukan saja memburukkan keadaan, tetapi juga mengundang kepada pelbagai kesan sampingan kepada golongan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Panching, Datuk Abdul Manan Ismail, berkata ibu bapa yang memiliki anak istimewa seharusnya bersikap terbuka dengan menghantar anak mereka ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) dikendalikan sepenuhnya oleh Kemas.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada golongan istimewa dengan menyediakan pelbagai kemudahan dari segi akademik termasuk bantuan kewangan dan latihan.

“Ibu bapa tidak seharusnya beranggapan menjadi beban kepada mereka apabila memiliki anak istimewa yang bukan saja memerlukan bantuan, tetapi juga perhatian lebih khusus.

“Anggaplah anak istimewa sebagai anugerah Allah dan ia ada hikmah daripada Allah kepada umatnya yang sentiasa bersabar,” katanya pada majlis meraikan kanak-kanak istimewa Parlimen Paya Besar di Dewan Orang Ramai Permatang Badak, kelmarin.

Majlis anjuran Kemas Pahang dan seramai 20 kanak-kanak istimewa daripada PDK Paya Besar diraikan dengan jamuan selain menerima duit raya.

Abdul Manan berkata, kerajaan menerusi Kemas sentiasa membantu ibu bapa yang memiliki anak istimewa dengan menyediakan kursus dan pendidikan untuk menjaga anak istimewa.

Beliau berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut memberi perhatian terhadap golongan istimewa di negeri ini apabila baginda berkenan memecah tanah pembinaan PDK Paya Besar di Indera Mahkota, baru-baru ini.

“Saya percaya ibu bapa yang memiliki anak istimewa akan dimurahkan rezeki seperti yang berlaku terhadap seorang rakan saya yang dinaikkan pangkat selepas mendapat anak istimewa.

“Ibu bapa yang memiliki anak istimewa juga perlu mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi kemudahan bantuan kewangan setiap bulan,” katanya.

No comments: