Tuesday, December 05, 2006

Lima atlit OKU layak terima insentif RM80,000

Berita harian, 5 Disember 2006


BANGGA: Atlit OKU Malaysia, Nursyafawati Arshukri memperaga
dua pingat emas (400m T13 dan lompat jauh) dan satu
gangsa (200m T13) yang dimenanginya pada saingan
Fespic KL'06 di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang
semalam. Dia bagaimanapun tidak layak menerima insentif
RM80,000 kerana acaranya tidak memenuhi syarat.

LIMA wira negara dalam acara individu Sukan Fespic KL’06 layak menerima ganjaran RM80,000 menerusi skim insentif kerajaan selepas masing-masing menyumbang emas buat negara.


Mereka adalah empat daripada acara olahraga iaitu Zainab Ashari (100m kecacatan intelektual), Lau Kin Kiew (lempar cakera berkerusi roda), Faridul Masri (rejam lembing berkerusi roda) dan Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin (400m kecacatan intelektual); serta Siow Lee Chan dalam acara angkat berat kategori bawah 56kg wanita.

Setakat ini, kontinjen negara sudah mengumpulkan 15 emas, lima melebihi sasaran awal yang ditetapkan.

Kelima-lima wira negara itu layak menerima ganjaran selepas memenuhi syarat sekurang-kurangnya empat peserta daripada empat negara manakala minimum empat negara bagi acara berpasukan.

Bagi cara berpasukan, hanya Murad Man-Shahidon Hanafiah yang menjuarai acara berpasangan lawn bowl kategori cacat kaki, layak mengikut skim itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman yang ditemui di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi menyaksikan acara olahraga Sukan Fespic berkata atlit kurang upaya akan menerima ganjaran yang sama seperti pemenang emas sukan orang normal.

“Tiada diskriminasi kerana kerajaan sudah memutuskan Sukan Fespic mempunyai taraf yang sama seperti Sukan Asia dan kerana itu semua insentif mengikut Sukan Asia akan digunapakai.

“Tidak ada kekeliruan mengenai insentif asalkan memenuhi syarat sekurang-kurangnya empat peserta negara lain bagi acara individu dan empat negara bagi acara berpasukan untuk layak menerima insentif itu.

“Ini kerana atlit kurang upaya ini sudah membanggakan negara. Mereka layak menerima ganjaran itu,” kata Azalina.

Beliau turut menyampaikan pingat kepada atlit yang berasal dari Kedah, Nursyafawati Arshukri, yang menang acara 400m wanita kategori cacat penglihatan.

Pingat semalam adalah yang kedua bagi Nursyafawati pada temasya sukan ini selepas memenangi acara lompat jauh dalam kategori sama kelmarin.

Mengikut skim Insentif Majlis Sukan Negara (MSN) bagi Sukan Asia, bagi acara individu, pingat emas bernilai RM80,000, perak RM40,000 dan gangsa RM20,000.

Bagi acara berpasukan pula, pasukan yang lebih lima anggota, pemenang emas akan menerima RM120,000, perak RM40,000 dan gangsa RM20,000 manakala bagi pasukan kurang daripada lima anggota, emas bernilai RM15,000 bagi setiap anggota pasukan, RM8,000 bagi perak dan RM4,000 gangsa.

Azalina turut memuji kontinjen negara kerana sudah memenangi 16 emas sehingga kini mengatasi sasaran awal 10 emas.

“Ia membuktikan bahawa usaha MSN menerapkan sains sukan bagi membantu atlit kurang upaya dalam latihan dan persediaan mereka, membuahkan hasil.

“MSN melabur RM6 juta untuk menyediakan atlit bagi sukan ini dan ia juga antara rancangan jangka panjang kementerian untuk membantu meningkatkan standard atlit kurang upaya negara,” katanya.

Sukan Fespic
2 - Jumlah emas dimenangi skuad negara pada Busan 2002
4 - Tempat keseluruhan skuad negara

No comments: