Thursday, December 07, 2006

Harun Ahmad buta bukan penghalang jadi komposer

Utusan Malaysia, 7 disember 2006

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Harun AHMAD (kiri)di dalam studio menerbit lagu Rebah untuk Ina Naim.

DIA yang dilahirkan pada awalnya dalam keadaan sempurna, akhirnya terpaksa akur dengan kehendak Ilahi apabila kehilangan penglihatan ketika usia mencecah 17 tahun.

Sejak itu, keindahan alam semesta dan wajah-wajah setiap ahli keluarga serta sahabat-handai, sudah tidak dapat dilihatnya lagi.

Tiba-tiba segalanya berubah. Harun Ahmad pada awalnya mengalami pandangan yang kabur (akibat masalah urat retina) tetapi dia tidak mengambil kisah sehinggalah pada suatu hari, dunia dipandangnya gelap gelita.

Seperti insan lain, Harun, 37, mengaku pada awalnya dia berasa sedih dengan nasib yang menimpa dirinya.

Namun, dia cepat insaf dan bersyukur kerana Allah masih lagi memberinya peluang untuk menghirup udara di bumi ini biarpun dalam keadaan buta.

Berbekalkan semangat itulah, Harun tidak mahu mengaku kalah kepada kekurangan diri. Dia terus mendaftar diri di Persatuan Orang Buta, Brickfields, Kuala Lumpur untuk belajar menyesuaikan diri sebagai orang kurang upaya (OKU).

Alhamdulillah, dalam persatuan tersebut dia belajar mengurut dan pada waktu yang sama belajar bermain gitar.

“Pada mulanya saya sedih bila tiba-tiba saja pandangan menjadi gelap. Tapi kemudian saya fikir semula, hidup mesti diteruskan. Jadi saya pun mula menyesuaikan diri dengan kehidupan baru sebagai anggota Persatuan Orang Buta Brickfields pada tahun 1988,” kata Harun yang minat menyanyi itu.

Melalui bimbingan daripada pembimbing-pembimbing persatuan itu, Harun yang berasal dari Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor mula menyedari dia mendapat keistimewaan lain setelah satu nikmat pancainderanya ditarik balik.

Keistimewaan yang diperoleh selepas buta ialah bakat mencipta lagu. Padahal sebelum itu dia tidak pernah terfikir untuk menjadi komposer selain minat menyanyi.

Lagu pertama ciptaan anak ke-12 daripada 13 beradik itu ialah Langkah Seiringan dendangan kumpulan Exists pada tahun 1991.

Menceritakan pengalaman pertama mendapat ilham mencipta lagu, kata Harun: “Satu pagi sewaktu sedang bancuh kopi, tiba-tiba saja datang idea melodi untuk lagu Langkah Seiringan itu yang dimuatkan dalam album sulung Exists, Untukmu Ibu. Dalam masa setengah jam sahaja lagu dan lirik itu siap. Lagu tersebut dirakamkan di Singapura.

“Saya pun tidak tahu dari mana bakat mencipta itu datang. Itulah kekuasaan Allah, Dia tarik yang ini, Dia bagi yang lain. Mungkin kalau saya sihat seperti dulu, saya tidak dapat bakat mencipta lagu,’’ kata Harun yang amat berterima kasih kepada Jojo Production kerana memberi peluang padanya mengetengahkan bakatnya itu.

Populariti lagu Langkah Seiringan kemudiannya memberi peluang pada Harun untuk menyumbang lagu kedua kepada Exists iaitu Janji Padamu yang dimuatkan dalam album kedua kumpulan tersebut. Dia kemudian turut mencipta lagu untuk kumpulan Mega menerusi lagu Suara Cinta dan Cinta untuk kumpulan Diana.

Bagaimanapun pada tahun 1994, Harun tidak aktif mencipta lagu kerana menumpukan perhatian sebagai tukang urut di Pulau Langkawi.

Namun empat tahun kemudian dia kembali mencipta lagu untuk Ashira. Bagaimanapun ternyata lagu ciptaan Harun sentiasa membawa tuah kepada Exists. Kali ini Exists popular dengan lagu Jesnita pula. Lagu lain yang turut menjadi siulan ramai ialah Hadirlah Mustika (Spin), Bicara Kasih (Elly Mazlein), Satu Kenangan (Kristal), Lafaz Cinta (Khai), Alya Mysara (Mamat) dan bakal berada di pasaran nanti Wanita (Leez AF4) serta Rebah (Ina Naim).

“Hingga kini saya telah mencipta lebih 50 buah lagu. Ada yang saya buat lirik sendiri dan bila tidak cukup masa saya minta orang lain tuliskan. Saya suka buat melodi yang catchy.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah belajar dengan mana-mana guru untuk mencipta lagu. Semua kebolehan itu kurniaan Allah. Begitu juga dengan lirik, selalunya ia datang secara spontan,’’ kata Harun.

Biarpun buta namun Harun tetap aktif seperti orang lain. Selain mencipta lagu, suami kepada Fauziah Hashim dan bapa kepada Fatin Nurhalika, 8, dan Fatin Nurhidayah, 5 tahun itu juga bertugas sebagai Pengurus Promosi di Marya Studio yang kini sedang mempromosikan album penyanyi baru, Bard.

Sebelum ini Harun pernah menjawat jawatan yang sama di syarikat Music Valley dan Zezz Entertainment.

“Saya bersyukur kerana masih ada pihak yang percaya dengan saya. Walaupun saya begini namun saya mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik kerana saya ada ramai kenalan dalam bidang ini. Selebih itu saya mempunyai keluarga yang sempurna,’’ katanya yang bercadang untuk menjalani rawatan di luar negara suatu hari nanti.

No comments: