Tuesday, December 05, 2006

Lepasi jangkaan 10 pingat emas

Berita harian, 5 Disember 2006


KONTINJEN negara membuktikan keupayaan mereka melebihi jangkaan dengan melepasi sasaran asal 10 emas apabila berjaya meraih 16 emas keseluruhan pada hari ketiga Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic), semalam.

Keupayaan kontinjen negara menambah tujuh lagi emas pada hari ketiga itu adalah hasil daripada suntikan semangat berikutan beberapa kejayaan di luar jangkaan pada hari kedua.

Daripada tujuh emas yang diraih pada hari ketiga, olahraga terus menjadi penyumbang terbesar menerusi lima emas diikuti dua daripada lawn bowl.

Mohd Hisham Yusoff dan Nursyafawati Arshukri yang meraih emas pada hari pertama acara olahraga kelmarin meneruskan penguasaan dengan masing-masing turut menambah satu lagi emas.

Hisham yang mengalami kecacatan kaki menambah emas menerusi acara 400 meter dengan catatan 1:28.57saat untuk menewaskan Buttimore Edward dari Australia menerusi perbezaan 6.27s.

Nursyafawati yang mengalami masalah rabun, berlari dengan kepantasan 68.14s untuk mengenepikan saingan Norman Tiffany dari Australia dan Muneeprom Dayin dari Thailand.

Malaysia secara keseluruhan meraih 16 emas, 19 perak dan 23 gangsa untuk berada pada kedudukan keempat dengan mengumpul 58 pingat keseluruhan.

China terus menguasai kedudukan teratas senarai negara bertanding menerusi 84 emas, 29 perak dan 13 gangsa, diikuti Thailand yang membuat persiapan bagi penganjuran Sukan Para Asean di Korat pada tahun depan, di tempat kedua dengan 21 emas, 16 perak dan 28 gangsa.

Berada di satu anak tangga atas Malaysia ialah Iran yang mendapat 19 emas, 19 perak dan lapan gangsa.

No comments: