Wednesday, December 06, 2006

10 tahun derita lumpuh


Harian Metro, 6 Disember 2006


Oleh Asrol Awang



PEKAN: Selepas 10 tahun menderita, bekas pemain bola sepak Kebangsaan, Shahdan Zahari, yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya, menghembuskan nafas terakhirnya, awal pagi semalam.

“Saya reda dengan pemergiannya. Sepuluh tahun dia menderita lumpuh,” kata Sepiah Ali, ibu bekas penyerang skuad Olimpik, dan Pahang di rumahnya, di Kampung Pahang Tua, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sangka seloroh Allahyarham Shahdan yang mengatakan `jika hendak mati boleh berlaku bila-bila masa’ sebenarnya petanda awal.

“Shahdan berkata demikian, tiga hari lalu. Ketika itu, saya dan adiknya ada di rumah. Shahdan hilang selera makan nasi sejak sebulan lalu. Dia hanya makan buah-buahan,” katanya.

Allahyarham Shahdan meninggal dunia di rumah di sisi ibu dan adik-beradik, kira-kira jam 4 pagi semalam.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pahang Tua, di sini, jam 12 tengah hari.

Antara kenalan Allahyarham yang menziarahnya ialah jurulatih Pahang, Ahmad Yusof, pemain dan bekas pemain Pahang.

Allahyarham mewakili Pahang di antara 1993 hingga 1996.

Pada 1996, dia terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, menyebabkannya lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan sejak itu, dia terlantar di rumah.

Sepiah berkata, Shahdan anak kelapan daripada 11 beradik itu memang meminati sukan bola sepak sejak kanak-kanak lagi hingga mewakili Pahang dan negara.

“Saya tidak sangka minatnya memberikan kejayaan bermakna kepada kami sekeluarga. Pernah ketika kanak-kanak, Allahyarham demam tetapi sanggup bermain bola apabila diajak rakan.

“Selepas kemalangan pada 1996 sehingga menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham tidak pernah lupakan bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Sepiah berterima kasih kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang membantu menguruskan pengebumian Allahyarham Shahdan.

“Selama ini, Tengku Abdullah sering melawat Allahyarham dan saya sekeluarga berbesar hati dengan keprihatinannya,” katanya.

Bagi Ahmad Yusof yang pernah bersama Allahyarham Shahdan pada 1993 hingga 1996, menganggap Allahyarham adalah pemain memiliki disiplin tinggi.

“Shahdan rajin dan sentiasa bekerja keras pada sesi latihan bagi memastikan dia berada pada prestasi terbaik.

“Selain itu, dia dianggap memiliki kepantasan larian yang cemerlang,” katanya.

No comments: