Thursday, December 14, 2006

‘Cacat tak halang kejayaan’

Berita Harian, 14 Disember 2006


KUANTAN: "Saya mahu buktikan Orang Kurang Upaya (OKU) juga boleh berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh. Jangan jadikan kecacatan sebagai halangan kerana peluang sentiasa terbuka kepada mereka," kata pemenang Anugerah OKU Berjaya Pahang 2006, Mohd Khairi Othman, 30.


Beliau berkata, perasaan rendah diri yang keterlaluan di kalangan OKU akan menyebabkan mereka terus tersisih daripada masyarakat, sekali gus tidak mampu menonjolkan kebolehan yang ada setanding golongan normal.

Katanya, kecacatan tanpa tangan dan kaki ketika dilahirkan, menjadi pendorong utama untuknya bersaing gigih menjalankan projek ternakan ikan patin dalam kolam di Kampung Tanjung Pulai, Pekan, sehingga mampu memperoleh pendapatan lumayan kira-kira RM5,000 sebulan.

Mohd Khairi berkata, kekecewaan mendapat bantuan mesin jahit yang dimohonnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih 10 tahun lalu, selepas tamat menjalani latihan menjahit di Cheras, Kuala Lumpur pada 1997, menyebabkannya beralih kepada bidang ternakan ikan.

"Saya mengikuti kursus menjahit selama tiga tahun dan selepas keluar pada 1997, saya memohon mesin jahit daripada JKM untuk memulakan hidup sebagai tukang jahit.

"Bagaimanapun, selama 10 tahun, saya diminta supaya menunggu jawapan saja.

“Akibat kecewa menunggu lama, saya beralih mengusahakan ternakan ikan di kolam walaupun memiliki kemahiran dalam bidang lain.

"Kecekalan itu akhirnya berbaloi kerana projek yang diusahakan ini mendapat sambutan menggalakkan dan sekarang ada kira-kira 7,000 ikan patin dalam kolam," katanya di sini semalam.

Mohd Khairi berkata, kejayaannya dalam bidang itu membuka mata banyak pihak untuk memberi sumbangan termasuk bantuan kerusi roda oleh Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Pahang bagi memudahkannya bergerak, selain satu sangkar ikan daripada Jabatan Perikanan bernilai kira-kira RM2,000.

"Saya berbelanja hampir RM3,000 sebulan untuk membeli makanan ikan dan sangat berharap jika ada bantuan diberi bagi memperluaskan lagi kegiatan ini kerana permintaan sentiasa meningkat," katanya.

Sementara itu, ibunya, Juriah Ismail, 68, dan bapanya, Othman Ali, 68, yang bekerja sebagai penoreh getah bangga dengan pencapaian Mohd Khairi.

Juriah berkata, Mohd Khairi yang juga anak kesembilan daripada 11 beradik tidak pernah menyusahkan keluarga, sebaliknya gigih berdikari mencari pendapatan sendiri.

"Paling mengharukan, walaupun OKU, dia banyak menyumbang meringankan perbelanjaan keluarga," katanya.

No comments: