Saturday, December 30, 2006

Budak lumpuh nahas dapat ganti rugi RM9.8j

Utusan Malaysia, 30 Disember 2006

Oleh: AIZAWATI AHMAD

SOPHIA ISABEL bersama peguamnya Mansheel Kaur selepas memenangi kes tuntutan pampasan terhadap seorang pemandu kren dan syarikatnya, Kuantan Crane berjumlah RM9.8 juta di Mahkamah Sesyen, Kuantan semalam.

KUANTAN 29 Dis. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pemandu kren, Heng Fook Yong dan syarikat Kuantan Crane membayar ganti rugi RM9.8 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang lumpuh dari paras pinggang akibat kemalangan jalan raya yang berlaku tujuh tahun lalu.

Bayaran itu turut merangkumi ganti rugi khas, kos perbicaraan sebelum dan selepas serta kecederaan yang terpaksa ditanggung oleh Sophia Isabel.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya selepas mendengar tuntutan saman yang dikemukakan oleh Sophia yang diwakili oleh peguamnya, Mansheel Kaur.

Tuntutan saman tersebut telah difailkan pada 2001.

Bagaimanapun, keputusan itu hari ini dibacakan oleh Hakim Sarimah Hashim.

Pampasan kecederaan kemalangan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen itu adalah yang terbesar dalam sejarah negara.

Sophia yang baru berusia dua tahun tiga bulan sewaktu kemalangan itu berlaku terbabit dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta yang dipandu ibunya dengan sebuah lori di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Maran pada 3 Januari 1999.

Pada ketika itu, kanak-kanak tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke Kuala Lumpur bersama ibu bapa dan dua abangnya setelah bercuti di sebuah resort di Kijal, Terengganu.

Sophia yang berkerusi roda hadir di mahkamah dengan ditemani oleh ibu dan bapanya manakala defendan, Fook Yong dan pemilik syarikat itu, Eng Chin Tai serta peguamnya, Edward Chin tidak kelihatan di mahkamah.

Kanak-kanak itu yang lumpuh dari paras pinggang mengalami kecederaan yang serius akibat kemalangan tersebut dan bergantung sepenuhnya kepada ibu bapanya untuk menjalani kehidupan seharian.

Bapa Sophia yang enggan identitinya disiarkan ketika ditemui pemberita berkata, anaknya itu tidak boleh menguruskan diri sendiri tanpa bantuan beliau ataupun isterinya.

‘‘Ibunya (isteri) juga tidak mampu mengangkat Sophia kerana dia kini semakin membesar. Saya selama ini mengurus dan memandikan Sophia tetapi sampai bila kerana dia akan mencapai akil baligh satu hari nanti,” katanya.

Lelaki tersebut yang berusia 40 tahun dan merupakan seorang jurutera memberitahu, anaknya itu juga memerlukan rawatan perubatan yang khusus dan memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

Katanya lagi, Sophia juga perlu mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat tahun depan kerana mengalami masalah tulang belakang ekoran kemalangan yang berlaku.

Sementara itu, peguam Mansheel Kaur menyifatkan pemberian pampasan berjumlah RM9.8 juta kepada Sophia sebagai membawa harapan baru kepada mangsa-mangsa kemalangan bahawa mereka berhak meneruskan hidup secara lebih bermaruah.

Nilai tersebut adalah yang tertinggi dianugerahkan kepada mangsa kecelakaan jalan raya dalam sejarah Malaysia. Ia mengatasi pampasan berjumlah RM8.75 juta yang diperoleh oleh pasangan ahli silap mata warga Amerika Syarikat, Tinjoel Gurther dan Jennifer Lynn Gurther.

Pampasan yang diterima pasangan Gurther itu diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada 19 Mei lalu. Mereka cedera apabila sebuah lori merempuh teksi yang mereka naiki di Kilometer 12, Lebuh Raya Karak pada tahun 1998.

Mansheel berkata, keputusan Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini mampu melegakan kesengsaraan keluarga Sophia yang ‘bergolok bergadai’ sejak nahas tersebut menimpa anak mereka tujuh tahun lalu.

Menurut beliau, perbelanjaan jangka panjang yang bakal ditanggung oleh keluarga berkenaan bukan sedikit kerana ia melibatkan kos suntikan, ubat- ubatan dan pembedahan sehingga Sophia berusia 75 tahun iaitu tahap umur yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Kos rawatan kanak-kanak itu semakin meningkat selaras dengan tumbesarannya termasuk kerusi roda yang perlu dibeli setiap tahun sesuai dengan tahap umurnya,’’ ujar beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, kecacatan yang dialami Sophia turut memaksanya mengupah pembantu untuk menemani anaknya itu ke sekolah dan dia juga mengeluarkan kos perbelanjaan untuk Sophia sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

‘‘Malah kerusi roda yang digunakan oleh Sophia juga telah empat kali ditukar ganti kerana dia semakin membesar dan saya juga terpaksa menghantar anak saya ke sekolah swasta kerana sekolah sebelum ini tidak sesuai untuk dirinya yang lumpuh,” ujarnya.

No comments: