Sunday, December 17, 2006

Penyakit saraf tak halang Mahisham jadi graduan terbaik OUM

Utusan Malaysia, 17 disember 2006

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Walaupun menghidap penyakit saraf yang menyebabkan sebahagian anggota badannya lumpuh, Mahisham Mahmood hari ini membuktikan ia bukan penghalang untuk beliau muncul antara graduan terbaik Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Lebih membanggakan Mahisham, 44, lulusan Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, mencapai kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Hadiah Buku Universiti.

‘‘Walaupun lebih kurang setahun saya tak dapat menghadirkan diri (ke kelas) sebab kecederaan tulang belakang dan penyakit saraf, tetapi dengan menggunakan cara pembelajaran terkini secara dalam talian, Alhamdulillah, saya berjaya ke tahap ini,’’ katanya ketika ditemui Bernama pada majlis Konvokesyen OUM, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mahisham lulus dengan cemerlang walaupun terpaksa berulang-alik dari hospital dan melaksanakan tugasan beliau sepenuhnya di atas katil kerana penyakitnya.

Mahisham yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Warkah Baru, Kelantan, berkata ibunya juga antara faktor pendorong kejayaannya.

‘‘Selain daripada sambung belajar, saya juga memenuhi hasrat ibu yang mahu melihat anaknya mengambil ijazah kerana sebelum ini ibu saya tidak dapat menghadirkan diri pada konvokesyen adik saya di Amerika Syarikat,’’ katanya.

Ibu Mahisham, Maimun Abdullah, 72, yang hadir pada majlis itu berkata, beliau bersyukur terhadap kejayaan anaknya.

Pada majlis yang sama, tiga tokoh dianugerahkan Ijazah Kehormat.

Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dianugerahkan kepada bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah, Tan Sri Dr. Abu Hassan Othman manakala Ijazah Kehormat Doktor Sains masing-masing diberikan kepada Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, pengerusi Bank Rakyat dan bekas penasihat sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus.

Anugerah itu disampaikan oleh Pro-Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim.

– Bernama

No comments: