Tiada pilih kasih terhadap OKU
Oleh Tuan Maheran Tuan Shaffee
KUALA TERENGGANU: Tiada unsur pilih kasih terhadap 60 keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) di Taman Rahmat, Marang, walaupun terdapat perbezaan hasil kerja pembaikan kediaman mereka.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang, Jaihani Ismail, berkata terdapat salah faham di kalangan penduduk OKU apabila mereka menganggap setiap rumah mendapat peruntukan RM5,000 bagi kos pembaikan.
Beliau berkata, pihaknya diarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) membaiki kediaman dengan kos maksimum RM5,190 seunit melalui 20 kontraktor yang dilantik Pejabat Daerah.
“Namun, bukan semua rumah berhak mendapat pebiayaan maksimum kerana peruntukan diberi bertujuan menggantikan kerosakan sahaja,” katanya.
Jaihani berkata, sebelum menjalankan kerja pembaikan pihaknya sudah menghantar wakil bagi membuat penilaian tahap kerosakkan setiap kediaman.
“Ketika itu, penduduk berpeluang mengadu dan berbincang mengenai kerosakan dialami sebelum kerja pembaikan dijalankan.
“Oleh itu, kerja pembaikan berdasarkan penilaian wakil kami dan juga kehendak penduduk.
“Namun, harus difahami bukan semua kehendak penduduk dapat dipenuhi kerana peruntukan terhad,” katanya.
Harian Metro semalam, melaporkan hampir 60 keluarga terdiri daripada OKU mendakwa berada dalam dilema apabila kerja pembaikan kediaman oleh kontraktor dilantik seperti melepaskan batuk di tangga.
Penduduk mendakwa kerja pembaikan membabitkan dapur dan tandas tidak sempurna selain menimbulkan tanda tanya berikutan terdapat perbezaan terhadap hasil kerja setiap kediaman.
Sementara itu, ketika mengulas kebimbangan penduduk yang terpaksa menggunakan pendawaian elektrik usang, Jaihani berkata, pihaknya belum mendapat peruntukan.
1 comment:
I congratulate, a brilliant idea and it is duly
Post a Comment