Saturday, December 09, 2006

Atlet OKU kuat daya juang

Utusan Malaysia, 9 Disember 2006

Oleh SOBRI SUDIN

BELUM terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada atlet orang kurang upaya (OKU), yang mengharumkan nama negara dalam Sukan Fespic 2006, baru-baru ini. Kemampuan memperoleh 44 pingat emas dan menduduki tangga keempat keseluruhan mengatasi negara Asia yang lebih hebat seperti Iran serta Jepun adalah sesuatu yang membanggakan.

Di sebalik kurang perhatian atau peduli sesetengah pihak sehinggakan usaha penganjuran Fespic sendiri terpaksa menunggu saat akhir untuk mendapat biaya mencukupi, atlet OKU gigih berjuang, tanpa dimanjakan dengan peruntukan latihan atau kemudahan kewangan yang besar seperti mana atlet biasa. Mereka masih gah menjulang nama Malaysia.

Kadangkala terfikir juga dengan dibantu bacaan buku-buku sosiologi, apakah budaya masyarakat Malaysia ini apabila makin senang, makin dimanjakan, makin mewah menjadi makin kurang semangat dan daya juangnya.

Dalam kes OKU, kita harus akur sebahagian besar atletnya pada siang hari adalah pekerja kilang, sesetengahnya pula masih menganggur, ada juga yang membuka pusat refleksologi di merata-rata tempat secara kecil-kecilan.

Mereka ini tidak dihimpunkan dalam latihan pusat, diberikan elaun latihan, imbuhan bulanan ataupun keistimewaan yang pelbagai, tetapi kesemua kekurangan ini dianggap sebagai satu cabaran yang akhirnya membuahkan kejayaan. Bandingkan dengan atlet sempurna anggota, yang bertanding di Sukan Asia, Doha ataupun sukan lain sebelum ini. Berpuluh-puluh juta diperuntukkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan. Ini termasuk ganjaran, jurulatih luar negara layanan kelas pertama tetapi maaf cakap, pencapaian tidak seberapa. Badminton yang pada satu masa kita juara dunia, masih berbalik cerita lama _ terkandas di peringkat separuh akhir. Demikian juga sukan sepak takraw sentiasa menjadi mangsa kepada Thailand. Itu belum termasuk bola sepak. Entah di mana silap, pemain bola sepak negara hanya layak bertanding dalam Liga-M.

Justeru dengan mengambil contoh skuad pasukan Fespic negara, ada kewajarannya juga keistimewaan kepada atlet sempurna anggota itu dirumuskan semula. Ini membolehkan ruang ‘budaya selesa’ yang mereka alami ditutup sedikit.

Pada akhirnya barangkali, dengan kesusahan sedemikian mungkin semangat mereka akan kembali pulih untuk mempunyai daya juang yang tinggi – setidak-tidaknya seperti atlet OKU dalam mengharumkan nama negara di pentas sukan.

No comments: