Saturday, December 30, 2006

Budak lumpuh nahas dapat ganti rugi RM9.8j

Utusan Malaysia, 30 Disember 2006

Oleh: AIZAWATI AHMAD

SOPHIA ISABEL bersama peguamnya Mansheel Kaur selepas memenangi kes tuntutan pampasan terhadap seorang pemandu kren dan syarikatnya, Kuantan Crane berjumlah RM9.8 juta di Mahkamah Sesyen, Kuantan semalam.

KUANTAN 29 Dis. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pemandu kren, Heng Fook Yong dan syarikat Kuantan Crane membayar ganti rugi RM9.8 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang lumpuh dari paras pinggang akibat kemalangan jalan raya yang berlaku tujuh tahun lalu.

Bayaran itu turut merangkumi ganti rugi khas, kos perbicaraan sebelum dan selepas serta kecederaan yang terpaksa ditanggung oleh Sophia Isabel.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya selepas mendengar tuntutan saman yang dikemukakan oleh Sophia yang diwakili oleh peguamnya, Mansheel Kaur.

Tuntutan saman tersebut telah difailkan pada 2001.

Bagaimanapun, keputusan itu hari ini dibacakan oleh Hakim Sarimah Hashim.

Pampasan kecederaan kemalangan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen itu adalah yang terbesar dalam sejarah negara.

Sophia yang baru berusia dua tahun tiga bulan sewaktu kemalangan itu berlaku terbabit dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta yang dipandu ibunya dengan sebuah lori di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Maran pada 3 Januari 1999.

Pada ketika itu, kanak-kanak tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke Kuala Lumpur bersama ibu bapa dan dua abangnya setelah bercuti di sebuah resort di Kijal, Terengganu.

Sophia yang berkerusi roda hadir di mahkamah dengan ditemani oleh ibu dan bapanya manakala defendan, Fook Yong dan pemilik syarikat itu, Eng Chin Tai serta peguamnya, Edward Chin tidak kelihatan di mahkamah.

Kanak-kanak itu yang lumpuh dari paras pinggang mengalami kecederaan yang serius akibat kemalangan tersebut dan bergantung sepenuhnya kepada ibu bapanya untuk menjalani kehidupan seharian.

Bapa Sophia yang enggan identitinya disiarkan ketika ditemui pemberita berkata, anaknya itu tidak boleh menguruskan diri sendiri tanpa bantuan beliau ataupun isterinya.

‘‘Ibunya (isteri) juga tidak mampu mengangkat Sophia kerana dia kini semakin membesar. Saya selama ini mengurus dan memandikan Sophia tetapi sampai bila kerana dia akan mencapai akil baligh satu hari nanti,” katanya.

Lelaki tersebut yang berusia 40 tahun dan merupakan seorang jurutera memberitahu, anaknya itu juga memerlukan rawatan perubatan yang khusus dan memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

Katanya lagi, Sophia juga perlu mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat tahun depan kerana mengalami masalah tulang belakang ekoran kemalangan yang berlaku.

Sementara itu, peguam Mansheel Kaur menyifatkan pemberian pampasan berjumlah RM9.8 juta kepada Sophia sebagai membawa harapan baru kepada mangsa-mangsa kemalangan bahawa mereka berhak meneruskan hidup secara lebih bermaruah.

Nilai tersebut adalah yang tertinggi dianugerahkan kepada mangsa kecelakaan jalan raya dalam sejarah Malaysia. Ia mengatasi pampasan berjumlah RM8.75 juta yang diperoleh oleh pasangan ahli silap mata warga Amerika Syarikat, Tinjoel Gurther dan Jennifer Lynn Gurther.

Pampasan yang diterima pasangan Gurther itu diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada 19 Mei lalu. Mereka cedera apabila sebuah lori merempuh teksi yang mereka naiki di Kilometer 12, Lebuh Raya Karak pada tahun 1998.

Mansheel berkata, keputusan Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini mampu melegakan kesengsaraan keluarga Sophia yang ‘bergolok bergadai’ sejak nahas tersebut menimpa anak mereka tujuh tahun lalu.

Menurut beliau, perbelanjaan jangka panjang yang bakal ditanggung oleh keluarga berkenaan bukan sedikit kerana ia melibatkan kos suntikan, ubat- ubatan dan pembedahan sehingga Sophia berusia 75 tahun iaitu tahap umur yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Kos rawatan kanak-kanak itu semakin meningkat selaras dengan tumbesarannya termasuk kerusi roda yang perlu dibeli setiap tahun sesuai dengan tahap umurnya,’’ ujar beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, kecacatan yang dialami Sophia turut memaksanya mengupah pembantu untuk menemani anaknya itu ke sekolah dan dia juga mengeluarkan kos perbelanjaan untuk Sophia sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

‘‘Malah kerusi roda yang digunakan oleh Sophia juga telah empat kali ditukar ganti kerana dia semakin membesar dan saya juga terpaksa menghantar anak saya ke sekolah swasta kerana sekolah sebelum ini tidak sesuai untuk dirinya yang lumpuh,” ujarnya.

Disaibltiy inclusive ICT taining in Syria

Sumber: Gokum@yahoogroups.com, 29 Disember 2006

Disabled or Not, Working With Computers Is the Future

Disabled students attend a computer training course in the newly established UNDP ICT-centre for the motor handicapped in Damascus.

Ahmad, a 17-year old student on crutches, comes every day from a village some 30 km outside of Damascus to attend computer courses in a new Computer Training Centre recently opened in the Barzeh area of Damascus.

Advanced computer training can, indeed, lead to better job opportunities for him and the other 25 physically handicapped students attending the current training programme in the centre. “I love everything about computers and the Internet, because they open new prospects for me. I am sure that I can have more chances to get a good job with a certificate in computer literacy,” he says.

Computer and Internet training courses in this new CT-Centre, that will be officially opened next month, have recently started and so far it is the only centre in Syria seeking to train people with motor disabilities.

It has been established in the framework of the “Strategic ICT Programme for Social and Economic Development in Syria” project, carried out by UNDP Syria in cooperation with the Ministry of Communications and Technology and the Ministry for Social Affairs and Labor.

The centre has 4 teachers and consists of 2 classrooms, with 16 computers each, and has a wheelchair ramp, wide doors and special tables and chairs, as well as toilets with handles, so that students can study comfortably.

It provides daily morning and evening training courses for ICDL (International Computer Driving Licence) and other areas of specialization like e-publishing, web design and web management, LAN management and data base programming.

Disabled students attending ICT courses in the centre can meet there with people facing the same challenges. Photo credit: Tahani Tayfour

After several months of training the first students will obtain their ICDL and other professional certificates and thus they will be more ready to enter the labour market. However, some of the current students, like 20-year-old Mahmood, already have a job but willing to improve their skills and career opportunities.

“I work as a book keeper for a large company. After the training at the computer center, I will be prepared for a computer-based bookkeeping,” he says.

Furthermore, “some of the students think about opening their own small IT-business,” says Ms. Kinda Khoury, the director of the centre who has been working
with disabled for many years.

Certainly there are challenges to face before these hopes can become reality. For example, Ms. Khoury hopes the centre can obtain a special bus to enable a safe and comfortable transportation of the disabled students, to and from their homes, at a reasonable cost.

Moreover, there is the need to attract more non-disabled students for the evening courses so that the centre can become financially self-sustainable after external financing from the project ends.

Indeed, the disabled students only pay a symbolic amount of tuition while non-disabled ones have to pay a standard fee for attending a training course.

“I am sure that after the official opening of the centre and the launching of an advertisement campaign we can reach this goal,” says Iyad Radwan, one of the teachers. “Working with computers is the future. No matter if you are disabled or not.”

Kay Nagata

Senior Economic Affairs Officer

Department of Social and Economic Affairs
Office for ECOSOC Support and Coordination
Development Cooperation Policy Branch

United Nations HQ

1 UN Plaza, Room DC1-1444
New York, NY 10017

Tel: 1-212-963-0696
Fax: 1-212-963-2812

Friday, December 29, 2006

Pelajar tulis guna kaki lulus PMR

Utusan Malaysia, 29 Disember 2006

MIRI 28 Dis. – Meskipun tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini, Yong Ng Tin, pelajar yang cacat kedua-dua tangannya, tetap menarik perhatian ramai.

Kesungguhan pelajar itu yang menggunakan kaki untuk menjawab soalan peperiksaan kerana kedua-dua tangannya lumpuh tidak dapat dibandingkan dengan keputusan lulus lima daripada tujuh mata pelajaran yang didudukinya.

Ng Tin dari Sekolah Menengah Saint Joseph di sini memperoleh gred D bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Sejarah, Geografi dan Kemahiran Hidup tetapi gagal dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Meskipun sekadar lulus, dia menganggap keputusan PMR itu sebagai hadiah paling bermakna kepada keluarganya yang tidak pernah jemu memberi dorongan dan semangat kepadanya untuk mendapatkan pendidikan terbaik.

Ng Tin memberitahu, pencapaian itu sekurang-kurangnya dapat memberi semangat kepadanya untuk berdepan dengan cabaran dalam meneruskan kehidupan seperti rakan-rakan sebayanya yang lain.

‘‘Saya menghargai sokongan semua pihak termasuk keluarga dan sekolah kerana memberi saya peluang belajar. Saya menduduki PMR pun atas dorongan mereka semua,” katanya kepada pemberita ketika mengambil slip keputusan PMR di sekolahnya hari ini.

Thursday, December 28, 2006

Pesakit angin ahmar meninggal

Berita Harian, 28 Disember 2006

KUANTAN: Pesakit angin ahmar, Mohd Masdi Abdul Kadir, 27, yang terperangkap akibat banjir di Kampung Kawah, Sungai Lembing, di sini, minggu lalu, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya malam kelmarin.

Sebelum meninggal dunia, Allahyarham sempat menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dibenarkan pulang petang kelmarin, selepas keadaannya stabil akibat serangan angin ahmar yang menyebabkan dia lumpuh.

Ibunya, Haliah Ahmad, 51, berkata Mohd Masdi kelihatan lebih bertenaga ketika dibawa pulang ke rumah jam 12.30 tengah hari berbanding ketika dia mula dihantar ke HTAA sehari sebelum itu.

"Selepas pulang ke rumah, keadaannya pulih sedikit kerana dia mula minum dan makan bubur nasi yang saya suapkan pada waktu petang dan malam.

"Saya gembira melihat dia boleh berkomunikasi kerana ketika saya menjaganya sepanjang rumah kami di landa banjir, keadaannya amat menyedihkan sehingga air liur mengalir di bibirnya.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 10.30 malam, Allahyarham mula gelisah dan sukar bernafas hinggalah saya menyedari dia meninggal dunia kira-kira jam 11.40 malam.

“Saya reda menerima takdir kematian anak saya serta banjir yang melanda rumah kami dan tidak akan menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, berkata sebuah jambatan gantung akan dibina menyeberangi sungai itu untuk kegunaan penduduk ketika jambatan kayu ditenggelami air.

"Dengan adanya jambatan gantung sepanjang kira-kira 150 meter itu, ia dapat memastikan kejadian yang menimpa Mohd Masdi, tidak berulang pada musim banjir akan datang," katanya.

Sunday, December 24, 2006

Mahu berjalan : Murid kudung perlu kaki palsu baru

Harian Metro, 23 Disember 2006

Oleh Syed Muaz Syed Putra

Murid kudung perlu kaki palsu baru

KUALA LUMPUR: “Perkara pertama yang ingin saya lakukan sebaik mendapat kaki palsu nanti adalah berjalan keliling kampung bersama kawan kerana sejak kaki palsu lama rosak, saya tidak dapat lakukannya,” kata Abdul Mu’az Abd Ghani, 12, murid Sekolah Kebangsaan Lereh, Melaka.

Abdul Mu’az yang kudung kaki kiri sejak lahir tidak dapat memakai kaki palsu lama kerana sudah rosak di samping tidak dapat menampung keseimbangan badannya yang semakin membesar.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kaki palsunya yang lama sudah dipakai selama empat tahun dan sudah tidak dapat digunakan lagi.

Bapanya, Abd Ghani Yusoff, 46, seorang penyelia projek TNB manakala ibu, Jamilah Muhammad, 37, hanya suri rumah.

Abd Ghani berkata, sekiranya mendapat kaki palsu baru, anak lelakinya itu yang akan melangkah ke sekolah menengah dapat menghadapi alam persekolahannya dengan lebih bermakna.

Jamilah pula berkata, anaknya terpaksa memakai kaki palsu yang lama sehingga berumur 12 tahun.

“Kaki palsu lama dah tak boleh pakai...ketat. Kalau pakai pun tak boleh lama, nanti kaki Mu’az melecet dan luka.

“Mu’az seorang yang lasak, dia suka main bola, panjat pokok dan naik basikal.

“Saya juga berharap dengan bantuan kaki palsu nanti, Mu’az dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, di sini, semalam.

Abdul Mu’az yang bercita-cita menjadi saintis memerlukan RM6,800 bagi membeli kaki palsu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghantar sumbangan ke Bahagian Kewangan/Unit Kebajikan, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Ijab kabul insan istimewa

Harian Metro, 23 disember 2006

Oleh BASRI BASIR

KANGAR: Perhubungan jarak jauh antara Mohd Kamal Zulkifli Awang, 29, dan Sharifah Amna Syed Amran, 23, tidak menjadi penghalang apabila pasangan insan istimewa itu diijab kabul, semalam.

Cinta mereka mula berputik apabila pasangan cacat pendengaran itu mengambil bahagian dalam satu majlis mencari jodoh kira-kira setahun lalu, sebelum mengambil keputusan untuk bertunang pada Jun lalu.

Pasangan berkenaan dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Syed Amran Syed Omar, 51, di Masjid Ar-Raudhah, Sungai Batu Pahat, dekat sini.

Dalam upacara akad nikah itu juga khidmat seorang penterjemah digunakan bagi memudahkan pengantin lelaki memahami apa yang dilafazkan oleh bapa pengantin perempuan.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 dan hantaran RM3,000 berupa sebentuk cincin dan seutas rantai disaksikan kira-kira 30 ahli keluarga terdekat yang turut serta dalam majlis berkenaan.

Mohd Kamal Zulkifli berasal dari Felda Bukit Bading, Terengganu, manakala Sharifah Amna Syed Amran dari Kampung Baru Syed Omar, Sungai Batu Pahat, dekat sini.

Syarifah yang tidak bekerja adalah anak sulung daripada sembilan beradik manakala Mohd Kamal yang bekerja di sebuah kilang di Terengganu, anak kelima daripada enam beradik.

Syed Amran berkata, untuk meraikan pasangan terbabit, pengantin lelaki diarak dari masjid ke rumah pengantin perempuan dengan menggunakan kereta kuda yang disewa khas.

Friday, December 22, 2006

Kerani bank saman HUSM kerana cuai

Berita harian, 22 Disember 2006

KOTA BHARU: Seorang kerani Bank Simpanan Nasional (BSN) memfailkan tuntutan saman terhadap Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang didakwanya cuai ketika menjalankan pembedahan resdung sehingga menyebabkannya cacat penglihatan.

Plaintif, Saharuddin Husin, 36, yang berkhidmat dengan BSN cawangan Kota Bharu mendakwa HUSM dan dua lagi defendan iaitu pakar otorinolaringologi, Dr Rushdan Ismail serta Unsains Tech Services Sdn Bhd cuai sehingga menyebabkan mata kirinya juling dan pandangan tidak jelas.

Akibat kecuaian defendan pertama yang juga Dr Rushdan itu, plaintif mendakwa kecederaan pada mata, kesakitan, tekanan mental dan tidak dapat menjalankan pekerjaan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menuntut defendan membayar ganti rugi kos rawatan dan tambang serta penginapan di Pakistan ketika mendapatkan rawatan susulan sebanyak RM21,356.76.

Selain itu, plaintif turut menuntut defendan menanggung kos rawatan dan perubatan lanjutan serta laporan perubatan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu, dalam writ samannya mendakwa beliau menghidap penyakit resdung yang dikenali sebagai `rhinosinusitis with nasal polyps' dan dimasukkan ke HUSM untuk menjalani pembedahan oleh Dr Rushdan.

Bagaimanapun, dakwanya, defendan pertama secara cuai menjalankan pembedahan sehingga menyebabkan pendarahan berlaku dalam mata plaintif sehingga menyebabkannya juling dan semua objek dilihat nampak dua.

Selain itu, plaintif yang memfailkan tuntutan itu menerusi peguamnya, Mohd Nasir Md Daud daripada Tetuan Zainal & Mariani di Mahkamah Tinggi sini, semalam, mendakwa sakit kepala dan tengkuk secara berterusan sehingga kini dan penyakit resdungnya tidak pulih.

Berikutan kecacatan dan kesakitan yang dialaminya, plaintif terpaksa menjalani pembedahan dan rawatan lanjutan di Pakistan, namun matanya yang juling tidak berubah.

Beliau mendakwa defendan pertama gagal memberi penerangan mengenai risiko pembedahan yang dijalankan dan mengesahkan pembedahan itu hanya kecil dan tidak berisiko.

"Defendan pertama membuat potongan pembedahan yang terlalu besar hingga menyebabkan ia menjangkaui kawasan mata, selain gagal membaik pulih kecederaan dan kecacatan dialaminya,” katanya.



"Atas kecuaian defendan, saya terpaksa menjalani rawatan dengan beberapa pakar termasuk pakar luar negara dan menghabiskan wang yang banyak, namun kecederaan masih tidak dapat disembuhkan," dakwanya.



Thursday, December 21, 2006

Kelantan bantu Persatuan Pekak terbit VCD solat

Harakahdaily, 20 Disember 2006

Salmah Mat Husain

Wed | Dec 20, 06 | 11:10:05 AM

KOTA BHARU, 20 Dis (Hrkh) - Kerajaan Kelantan hari ini menyumbang sebanyak RM22,000 kepada Persatuan Orang Pekak Cawangan Kelantan bagi menerbitkan video cakera padat (VCD) mengenai peraturan menunaikan solat kepada ahli persatuan terbabit.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa kepada presidennya, Razani Ramli di sini.

Husam berharap dengan adanya panduan solat yang dihasilkan oleh Persatuan Orang Pekak Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ia dapat memberi manfaat besar kepada golongan berkenaan.

“Kita berharap mereka dapat menunaikan solat dengan penuh khusyuk sebagaimana insan normal yang lain kerana mereka tidak memahami bacaan ketika solat,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini golongan catat pendengaran sukar diajar cara-cara menunaikan solat dengan betul kerana masalah komunikasi.

Razani mengucap terima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana sentiasa membantu persatuan itu termasuk sumbangan untuk menerbitkan vcd solat bagi kegunaan ahli-ahli persatuannya.

Katanya, sebelum ini golongan catat pendengaran hanya menunaikan ibadat solat sekadar meniru apa dilakukan orang lain. “Kalau orang lain rukuk maka macam itulah kami lakukan tanpa membaca sebarang bacaan,” ujarnya.

Wednesday, December 20, 2006

PBT perlu titik berat kemudahan untuk OKU

Utusan Malaysia, 20 Disember 2006

Pendapat


RASA-rasanya telah banyak kali perihal kekurangan penyediaan kemudahan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk golongan orang kurang upaya ditulis dan dibicarakan.

Justeru telah banyak pihak yang tampil menyuarakan betapa kekurangan kemudahan bagi OKU itu amat mengecewakan.

Suara hati OKU yang hampa dan terkilan dengan hal yang sama turut dimuatkan di dalam banyak akhbar arus perdana. Di sini bermakna, kemudahan untuk OKU amat terbatas atau sememangnya mengecewakan.

Kelmarin, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor masih menyuarakan mengenai kekurangan kemudahan oleh PBT terhadap OKU ini. Beliau sebelum ini pernah berkali-kali menyeru agar kebajikan OKU ini dititikberatkan. Rosmah juga kecewa bahawa dalam hal ini, PBT seolah-olah tidak prihatin kepada kebajikan OKU itu sendiri.

Menurut Rosmah, kemudahan untuk golongan tersebut amat kurang di tempat-tempat awam dan seolah-olahnya seperti tidak diendahkan oleh PBT.

Kenyataan itu ada asas. Kekecewaan Rosmah juga bukan sembarangan. Sejak beberapa lama, kemudahan untuk golongan ini boleh dikatakan tidak meningkat, sebaliknya statik begitu sahaja.

Ambil sahaja contoh pada kemudahan tandas awam (kerana ini adalah kegunaan asas setiap manusia tidak kira kurang upaya atau sebaliknya).

Berapa kerat tandas awam di negara ini yang khas untuk OKU? Boleh bilang dengan jari sahaja. Kalau adapun, ia diwujudkan di kawasan-kawasan tumpuan dan bandar-bandar besar sahaja. Soalannya pula, berapa ramai OKU yang ke bandar besar? Bagaimana pula yang berada di kawasan pinggir bandar?

Jangan dilupakan bahawa Bajet 2006 sendiri memperuntukkan sejumlah wang untuk memperbaiki sebarang kemudahan buat OKU ini.

Dalam hal ini bukan tiada kemudahan yang disediakan khas untuk OKU.

Sebagai contoh kerajaan sebenarnya telah menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk OKU melalui agensi-agensinya.

Kementerian Kesihatan menyediakan intervensi awal dan kemudahan rawatan sementara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan bantuan modal bagi memulakan perniagaan, elaun insentif serta perkhidmatan pemulihan dan latihan.

Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan dan vokasional, Kementerian Sumber Manusia menyediakan peluang pekerjaan sementara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula menyediakan garis panduan bagi kemudahan bangunan kepada OKU.

Seperkara yang perlu diingatkan ialah OKU ini perlu dibela dan dibantu supaya mereka dapat berdikari, bersikap positif dan berkeyakinan.

Sokongan yang diterima boleh membantu menyedarkan golongan tersebut bahawa hak, nasib dan kehidupan mereka masih boleh diubah.

Seperkara lagi, kepincangan kepada layanan terhadap OKU juga perlu diambil kira.

Seperti yang diketahui, negara kita telah pun bertahun-tahun mencapai pembangunan yang setara dengan negara-negara maju lain.

Tetapi, amat memilukan kerana walaupun negara kita maju, dari segi keinsanan, segelintir (kalaupun tidak majoriti) rakyat di negara kita masih menyimpan mentaliti tidak mesra OKU.

Kita boleh berbalik kepada Bajet 2005 yang ada menyebut saranan pihak kerajaan agar setiap jabatan kerajaan mahupun swasta agar memperuntukkan 1 peratus peluang pekerjaan kepada OKU.

Tetapi malang, sehingga kini masih terdapat banyak lagi syarikat yang tidak dapat menyahut saranan kerajaan itu, malah tetap gagal untuk menyediakan kemudahan yang sepatutnya bagi OKU, walaupun ada antara syarikat-syarikat tersebut merupakan syarikat gergasi.

Saya ingin menarik perhatian mengenai cerita seorang rakan saya, OKU. Dia seorang yang kuat semangat dan mempunyai kelulusan akademik agak baik juga. Telah berpucuk-pucuk surat permohonan kerja dihantar olehnya dan setiap kali itu jugalah seribu macam alasan yang diberikan untuk tidak mengambil OKU berkhidmat. Kesimpulan boleh dibuat ialah masing-masing masih memandang rendah terhadap kemampuan OKU untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan keuntungan syarikat.

Maka, disebabkan ini juga masih terdapat ramai lagi graduan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan walaupun memiliki kelulusan yang baik. Perlu diingatkan bahawa untuk memperoleh segulung ijazah, mereka telah berusaha sedaya upaya bagi mencapai keputusan terbaik, walaupun terpaksa bersaing dengan orang upaya. Sepatutnya mereka diberi hak yang sama dengan orang lain untuk membuktikan kemampuan.

Pada akhirnya, apa yang boleh disimpulkan ialah golongan OKU ini perlu diberi peluang untuk memajukan diri dan kita sebagai insan yang cukup pancainderanya perlu menjalankan tanggungjawab dan kewajipan untuk membela dan menghulurkan bantuan.

Pendek kata, kemajuan dan pembangunan OKU harus dikenal pasti sebagai kumpulan sasar khas untuk diberi perhatian khusus.

– FARHA WAHEEDA,

Rawang, Selangor.

Tuesday, December 19, 2006

Sanggup merangkak mengensot ke masjid, tapi kita yang sempurna ...

Detikdaily, 18 disember 2006

"Beliau meletakkan motosikal hampir dengan tangga masjid. Kemudian turun dengan cara mengensot bukannya merangkak. Mengensot bermakna beliau hanya menggunakan kedua-dua tangan beliau untuk menarik seluruh anggota badannya termasuk kaki untuk bergerak."

Oleh Rozmal bin Malakan

OKU atau Orang Kurang Upaya adalah golongan yang terdapat kekurangan kepada fizikal atau mental mereka. Baru-baru ini kita menjadi tuan rumah sukan Orang Kurang Upaya yang disertai atlit-atlit OKU serata dunia.

Pada hari Ahad 17 Disember 2006 yang lalu saya bersama isteri telah menghadiri satu forum di Masjid Bandar Baru Senawang selepas solat Zuhur. Ramai juga muslimin dan muslimat sekitar Senawang dan seluruh Negeri Sembilan yang memenuhi ruang masjid untuk mendengar forum tersebut walaupun hari tersebut hari hujung minggu, cuaca mendung dan diadakan pada waktu
tengahari, waktu yang enak untuk beristirehat.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kehadiran seorang pemuda OKU yang membawa motosikal roda tiga. Walaupun fizikalnya sempurna, beliau saya perhatikan lemah dari paras bawah pinggang hingga ke hujung kaki.

Saya perhatikan beliau meletakkan motosikal hampir dengan tangga masjid. Kemudian turun dengan cara mengensot bukannya merangkak. Mengensot bermakna beliau hanya menggunakan kedua-dua tangan beliau untuk menarik seluruh anggota badannya termasuk kaki untuk bergerak. Bergerak dengan cara mengensot adalah lebih susah daripada bergerak dengan cara merangkak.

Ketika sessi soal jawab forum saya berkesempatan berbual dengan pemuda OKU tadi, kerana begitu kagum dengan kesungguhan seorang yang OKU untuk hadir forum di masjid tersebut.

Sedangkan ramai daripada kita yang dikurniakan oleh Allah anggota badan yang sempurna, sihat walafiat sentiasa ada sahaja alasan untuk tidak menghadirkan diri berjemaah di masjid atau menghadiri kuliah ilmu di masjid bagaimanapun akhirnya akan pergi ke masjid juga apabila badan kita akan dikafankan dan kita disembahyangkan di hadapan imam.

Pemuda tadi berusia 31 tahun , belum berkahwin. Apa yang lebih mengkagumkan saya beliau bekerja sendiri sepenuh masa. Saya bertanya kepada beliau adakah beliau ada meminta bantuan daripada mana-mana pihak.

Pemuda tadi berkata buat apa nak minta bantuan kalau dia boleh bekerja. Pemuda tadi tinggal di Batu 7, Kg Pantai, Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira 15 kilometer dari Masjid Bandar Baru Senawang.

Lalu terlintaslah perasaan kasihan saya. Perasaan kasihan saya bukan kepada pemuda yang OKU yang begerak dengan cara mengensot tadi, yang datang 15 kilometer jauhnya untuk mendengar forum.

Tetapi saya kasihankan melihat ramai umat Islam tak kiralah tua atau muda, tapi masih sempurna anggota badan mereka, sihat walafiat , tidak nampak jalan untuk menghadirkan diri
ke masjid sama ada untuk berjemaah ataupun menghadiri
kuliah ilmu.

Tafsiran OKU pada saya kini telah berubah, pemuda yang OKU tadi celik mata hatinya untuk mencari hidayah, sedangkan ramai yang tidak OKU buta mata hati mereka untuk mencari hidayah.

Monday, December 18, 2006

Bukan balasan diminta, cukup sekadar ingatan

Berita Harian, 18 Disember 2006


Embun Mohd Ali guna duit pencen guru besar buka Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah



BUKAN balasan yang dipinta, cukup sekadar tanda ingatan daripada anak yatim dan miskin yang pernah dibelanya, meneruskan perjuangan membela lebih ramai lagi insan senasib mereka di Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah.

Itulah harapan Embun Mohd Ali, 87, seorang bekas guru besar yang mempunyai prinsip murni kerana tidak pernah berasa takut ditimpa kepapaan selepas mengeluarkan sebahagian daripada hartanya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik itu.

Baginya, hanya Allah akan membalasnya dan percaya beliau bersama 11 anak-anaknya akan sentiasa dimurahkan rezeki.

Justeru, beliau bersama suaminya pada awal tahun 1990-an nekad menggunakan wang simpanan pencen mereka untuk membuka dan mengendalikan rumah kebajikan khusus untuk membantu anak yatim dan miskin itu.

Embun dan Allahyarham suaminya, Din Kimi mengumpul wang gaji serta pencen selama 10 tahun untuk membina Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah (Darul Hikmah).

Akhirnya, hasrat mereka termakbul apabila Darul Hikmah ditubuhkan dengan pembinaan bangunan di atas tanah milik mereka seluas lapan hektar di Gopeng, Perak pada 1991.

Pada peringkat awal seramai 10 anak yatim ditempatkan di Darul Hikmah. Di situlah mereka dibesarkan dengan pendidikan dunia dan akhirat.

"Tidak ada salahnya kita berbuat baik kepada orang susah (anak yatim dan miskin). Nasihat saya kepada semua orang terutama yang sudah tua, keluarkan sedikit harta kita untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

"Jangan berhenti membantu mereka kerana kita tidak akan tahu nasib kita kemudian hari. Mungkin sempat, mungkin tidak. Jangan jadi seperti beberapa orang rakan seangkatan saya yang ingin membantu tetapi tidak kesampaian kerana meninggal dunia.

“Selain itu, kita hendaklah sentiasa patuh kepada orang tua dan mengasihani anak yatim dan miskin kerana mereka perlu bantuan daripada kita yang lebih bernasib baik,” katanya yang pernah berasa keperitan hidup tanpa ibu bapa dan terpaksa tinggal bersama nenek ketika kecil.

Cikgu Embun memang berniat daripada awal untuk menegakkan syiar Islam melalui pendidikan dan kebajikan.

Hasrat itu direalisasikannya menerusi penubuhan Darul Hikmah kerana selain membantu menyediakan tempat penginapan sempurna untuk anak yatim piatu dan miskin, mereka turut dibekalkan ilmu dunia dan akhirat.

Malah, ketika ditanya apakah harapannya terhadap Darul Hikmah, beliau berkata, jika diizinkan Allah, beliau ingin melihat yayasan itu menjadi sebuah pusat pendidikan Islam satu hari nanti.

"Kalau boleh, biarlah kawasan ini menjadi pusat pendidikan untuk anak yatim...kalau boleh biar jadi macam Kolej Islam," katanya merenung seketika ke arah kawasan padang mungkin membayangkan Kolej Islam impiannya.

Darul Hikmah yang terletak di Kampung Pintu Padang, Gopeng kira-kira satu kilometer daripada jalan utama membuktikan segalanya kerana dibina khusus bagi membela nasib kanak-kanak berkenaan.

Kelebihan Darul Hikmah yang terletak berhampiran Gua Tempurung dengan suasana persekitarannya yang dikelilingi bukit batu kapur berbeza dengan suasana rumah anak yatim lain terutama yang terletak di bandar.

Menceritakan pembabitan awalnya mengenai penubuhan asrama itu, Cikgu Embun berkata, rumah berkenaan diasaskannya ketika usianya 75 tahun bersama arwah suami, Din Kimi.

Cikgu Embun yang pernah memenangi Anugerah Tokoh Guru Perak 1995 serta Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 1996 memang nekad sejak awal tidak mahu menggunakan sebarang wang luar bagi pembinaan rumah itu.

Beliau yang bersara sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Fair Park di Ipoh, juga aktif dalam Umno cawangan Kampung Tengku Hussein di Ipoh kira-kira 40 tahun lalu.

Cikgu Embun buat masa ini tinggal bersama seorang daripada 11 anaknya di Gopeng. Beliau suka tinggal di Gopeng kerana dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Pintu Padang, selain pernah mengajar di beberapa sekolah di kawasan itu.

Bapanya, Charles d’ Velarasto adalah kacukan Amerika-Sepanyol. Charles yang memeluk Islam menukar namanya Mohd Ali. Beliau datang ke Malaysia dan pernah membuka sarkas di Gopeng dan Kampar berikutan terlalu meminati haiwan.

Kegigihan Embun sejak 15 tahun lalu membantu kanak-kanak miskin dan yatim untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dihargai, baru-baru ini apabila beliau menerima Anugerah Kemanusiaan Malaysia NSTP-PwC bagi kategori Anugerah Kemanusiaan Sepanjang Hayat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kisah Embun adalah bukti bahawa di sebalik kehidupan yang semakin materialistik sekarang,

masih ada golongan yang terpanggil mencurahkan bakti. Ternyata sikap penyayang tetap subur di negara ini.

Sementara itu, Ismail berkata, antara penekanan dalam pendidikan yang diberikan kepada anak yatim di Darul Hikmah ialah mengimbangi disiplin dan kepentingan akademik mereka.

Sejak memegang amanah bagi mentadbir rumah itu pada 1 Januari 2001, Ismail sedar beberapa aspek khusus perlu diberi penekanan untuk kebajikan penghuni rumah berkenaan.

"Namun, saya memberi keutamaan terhadap bidang akademik kerana ia cukup penting sebagai jaminan masa depan yang baik untuk anak-anak yang mendiami rumah ini.

"Disiplin dan akademik harus seiring...malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada beberapa penghuni rumah ini yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam pelajaran mereka.

"Ada juga di antara mereka yang kini melanjutkan pelajaran di Kolej Al-Furqan di Syria. Pada awalnya, ada di antara mereka yang tidak yakin boleh berjaya berikutan keadaan keluarga yang tidak sempurna.

"Mereka mudah rasa tertekan dan rendah diri di sekolah. Justeru, galakan dan motivasi sangat penting bagi menaikkan semangat mereka untuk bersaing dalam bidang pelajaran," katanya.

Ismail selain menjadi ketua yang menjalankan urusan pentadbiran di Darul Hikmah, juga sudah dianggap seperti bapa kandung oleh semua penghuni rumah berkenaan.

"Dalam mendidik mereka, saya tegas dan mengenakan disiplin ketat bagi memastikan mereka keluar daripada rumah amal ini sebagai anak yang berguna kepada agama dan masyarakat.

"Tiada sikap pilih kasih dalam mendidik mereka, semuanya saya anggap seperti anak sendiri. Ada ketika jika mereka melakukan kesilapan, saya menegur dan apabila mendapat kejayaan kita bersama meraikannya," katanya.

Beliau berkata, penghuni rumah berkenaan di hantar ke beberapa sekolah menengah dan rendah berasingan sekitar Gopeng.

"Ini bagi membolehkan mereka meluaskan pergaulan di kalangan rakan sekolah pelbagai bangsa dan agama.

"Dengan cara itu, secara tidak langsung dapat membantu mereka meningkatkan keyakinan diri meskipun bukan semua yang benar-benar dapat memanfaatkan persekitaran belajar sedemikian," katanya.

Untuk meningkatkan lagi semangat penghuni rumah terbabit terhadap bidang pelajaran, Ismail lebih cenderung menggalakkan aktiviti seperti kunjungan penuntut institut pengajian tinggi dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) ke rumah kebajikan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak keluar mencari anak-anak susah yang perlu dibantu tetapi mereka dihantar sendiri ke Darul Hikmah oleh pertubuhan kebajikan, mahkamah dan orang perseorangan.

"Terdapat kes sebelum ini di mana dua wanita menemui enam adik-beradik yang meminta sedekah di Kuala Lumpur dan mereka semua dibawa ke rumah berkenaan," katanya.

Ismail berkata, pihaknya masih mengharapkan tenaga sukarela untuk mengajar anak yatim dan miskin di Darul Hikmah terutama dalam mata pelajaran Matematik, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ismail di talian 012-3229850 atau 05-3593190. Maklumat juga boleh diperoleh dengan melayari laman web di alamat www.darulhikmah.org.my

PROFIL: Embun Mohd Ali

Nama suami: Din Kimi

Tarikh lahir: 5 November 1919

Tempat lahir: Bidor, Perak

Anak: Ainun, 65 Adnan, 64 Maimun (meninggal dunia) Fadzilah, 62 Saadah, 58 Akbar, 57 Ali (meninggal dunia) Salmah, 55 Dahlia, 54 Juriah, 46 Jamal, 45

Anugerah yang diterima sebelum ini :

  • Tokoh Guru Perak pada 1995

  • Bintang Tokoh Guru Kebangsaan 1996


  • Guru pukul polis disahkan tidak siuman

    Utusan Malaysia, 18 Disember 2006

    KOTA BHARU 17 Dis. – Seorang guru, Alias Derahman, 40, yang dituduh mencederakan pegawai polis dengan gergaji tiga tahun lalu, hari ini disahkan tidak siuman dan diperintahkan dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor untuk menerima rawatan.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah tertuduh yang didakwa menyerang Cif Inspektor Wiswanadan A/L Ayakandoo, pada pukul 4.15 petang 2 Oktober 2003 di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh Lama, Machang, didapati tidak bersalah kerana tidak stabil emosi dan mental ketika melakukannya.

    Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan mengamuk dan menyerang mangsa dengan sebilah gergaji di rumahnya ketika mengetuai operasi untuk menahannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di tangan.

    Dia dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

    Mohd. Yazid Mustafa memerintahkan tertuduh ditahan di Hospital Permai mengikut perkenan Sultan Kelantan bagi perintah selanjutnya di bawah Seksyen 348 (1) Kanun Prosedur Jenayah.

    Keputusan itu dibuat oleh Mohd. Yazid di Unit Psikiatari dan Kesihatan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini kerana tertuduh sedang dirawat di unit itu.

    Tertuduh yang mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah pada 11 Disember lalu, diperintah menjalani rawatan di Unit Psikiatri dan Kesihatan Mental HPRZ II sementara menunggu keputusan kes.

    Mohd. Yazid berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kenyataan saksi iaitu Pakar Forensik Psikiatri Hospital Permai, Dr. Bardiah Yahya yang mengesahkan Alias menghidap penyakit skizofrenia dan tidak stabil mental dan emosi.

    Dr. Bardiah sebelum ini memberitahu Alias mempunyai simptom-simptom kemerosotan sosial, gangguan jiwa, paranoid dan sering berkhayal menyebabkan tertuduh mungkin bertindak di luar kawalan fikiran yang waras pada masa itu.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abd. Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Muhamad.

    Sunday, December 17, 2006

    Penyakit saraf tak halang Mahisham jadi graduan terbaik OUM

    Utusan Malaysia, 17 disember 2006

    KUALA LUMPUR 16 Dis. – Walaupun menghidap penyakit saraf yang menyebabkan sebahagian anggota badannya lumpuh, Mahisham Mahmood hari ini membuktikan ia bukan penghalang untuk beliau muncul antara graduan terbaik Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

    Lebih membanggakan Mahisham, 44, lulusan Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, mencapai kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Hadiah Buku Universiti.

    ‘‘Walaupun lebih kurang setahun saya tak dapat menghadirkan diri (ke kelas) sebab kecederaan tulang belakang dan penyakit saraf, tetapi dengan menggunakan cara pembelajaran terkini secara dalam talian, Alhamdulillah, saya berjaya ke tahap ini,’’ katanya ketika ditemui Bernama pada majlis Konvokesyen OUM, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

    Mahisham lulus dengan cemerlang walaupun terpaksa berulang-alik dari hospital dan melaksanakan tugasan beliau sepenuhnya di atas katil kerana penyakitnya.

    Mahisham yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Warkah Baru, Kelantan, berkata ibunya juga antara faktor pendorong kejayaannya.

    ‘‘Selain daripada sambung belajar, saya juga memenuhi hasrat ibu yang mahu melihat anaknya mengambil ijazah kerana sebelum ini ibu saya tidak dapat menghadirkan diri pada konvokesyen adik saya di Amerika Syarikat,’’ katanya.

    Ibu Mahisham, Maimun Abdullah, 72, yang hadir pada majlis itu berkata, beliau bersyukur terhadap kejayaan anaknya.

    Pada majlis yang sama, tiga tokoh dianugerahkan Ijazah Kehormat.

    Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dianugerahkan kepada bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah, Tan Sri Dr. Abu Hassan Othman manakala Ijazah Kehormat Doktor Sains masing-masing diberikan kepada Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, pengerusi Bank Rakyat dan bekas penasihat sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus.

    Anugerah itu disampaikan oleh Pro-Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim.

    – Bernama

    Friday, December 15, 2006

    Memahami anak-anak autistik

    Utusan Malaysia, 15 Disember 2006

    Oleh Dr. Tam Cai Lian (Pensyarah di Jabatan Psikologi, Fakulti Kesihatan dan Kesihatan Semulajadi Kolej Universiti Sunway)

    ANNIE anak yang cukup comel. Dia jarang menangis dan boleh diletakkan dalam buaian berjam-jam lamanya. Tetapi ketika menjangkau umur tiga tahun, perangainya banyak berubah.

    Dia kerap menunjukkan tingkah laku mengganggu dan jarang ada pertembungan mata (eye contact) dengan sesiapa. Tingkah lakunya amat agresif dan sukar dikawal.

    Dengan sedikit sahaja gangguan emosi, dia akan menjerit, berguling di lantai dan menghantukkan kepalanya ke dinding. Seisi keluarga cuba bertolak ansur dan memenuhi kemahuannya untuk mengelakkan kecederaan fizikal.

    Ibunya berasa letih dan tertekan untuk menjaga dan mengajar anaknya. Atas usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi, tidak juga nampak perubahan yang ketara atas tingkah laku anaknya.

    Ibu bapa Annie berasa amat khuatir dan berikhtiar untuk mengubati penyakitnya. Selepas menjalani dianogsis yang rapi daripada pakar, disahkan bahawa anaknya menghidap kecelaruan autistik.

    Apabila seseorang bayi dilahirkan, ibu bapa menaruh harapan untuk menjaga dan menyayangi darah dagingnya dengan sempurna. Pada masa yang sama, mereka berharap anak dapat membalas jasa mereka.

    Namun, malangnya dalam setiap 10,000 bayi yang lahir, empat daripada mereka berkemungkinan menghidap kecelaruan autistik.

    Autisme ialah sejenis kecelaruan yang tidak diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa disebabkan oleh kejahilan mereka. Sedangkan mengikut Persatuan Psikiatrik Amerika (APA) pada tahun 2000, kadar autisme adalah 2 hingga 20 orang dalam setiap 10,000 manusia.

    Terdapat kanak-kanak yang menghadapi isolasi yang serius sejak peringkat bayi. Mereka mengasingkan diri daripada pergaulan, pertembungan mata dan amat sukar untuk berinteraksi serta melahirkan perasaan hatinya.

    Ramai di antara mereka melukakan diri sendiri atau melakukan perbuatan yang sama secara berulang-ulang selama berjam-jam. Secara tradisional, situasi ini dikenali sebagai ‘infantile autism’ (berasal daripada perkataan Greek, Autus bererti diri).

    Kini, para penyelidik mendapati bahawa kecelaruan ini berlaku seumur hidup dan memerlukan ketabahan yang tinggi khususnya daripada ibu bapa untuk membantu anaknya.

    Terdapat ciri-ciri umum untuk kecelaruan autistik. Antaranya adalah ketidakupayaan dalam komunikasi. Kanak-kanak autistik menghadapi masalah untuk berkomunikasi, menjalin hubungan sosial dan berfikir secara kreatif.

    Mereka hidup dalam dunia sendiri. Pada peringkat bayi, anak autistik tidak peduli sama ada dipeluk atau tidak oleh ibu bapanya.

    Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan mengasingkan diri serta menunjukkan reaksi yang agresif ketika dipegang, disentuh dan dipeluk. Mereka tidak suka senyum dan bertentang mata ketika berkomunikasi.

    Jika sakit, luka atau duka, anak autistik tidak akan meluahkan masalah untuk mengurangkan ketidakselesaan. Ini bererti jarang adanya ekspresi perasaan muka dalam pertuturan.

    Mereka suka berseorangan, tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain dan hidup dalam dunianya sendiri.

    Hampir 50 peratus daripada anak autistik tidak dapat menguasai teknik pertuturan. Anak-anak ini mempunyai suatu corak komunikasi yang digelar ‘echolalia’, iaitu mengulangi perkataan orang lain.

    Contohnya kalau ditanya ‘Annie, sudah makan?’. Dia akan membalas dengan mengulangi hampir keseluruhan ayat dengan berkata ‘Annie, nak makan?’. Dalam kebanyakan kes, bukan sahaja perkataan diulangi malah intonasinya juga sama.

    Walaupun ada segelintir anak autistik yang dapat bertutur, namun mereka tetap menghadapi masalah berinteraksi dengan sekeliling secara berkesan.

    Selain itu, anak autistik memperlihatkan tingkah laku dan minat yang agak luar biasa. Annie misalnya suka menyusun alat permainannya dengan cara yang sama pada tempat yang sama.

    Tiada siapa yang berani menyentuh atau menukar cara susunannya. Sekiranya alat permainannya hilang atau pernah ditukar cara susunan, dia akan mengamuk dan melonjak-lonjak.

    Anak autistik sangat sensitif terhadap kehilangan benda. Mereka mempunyai kesabaran menyusun berpuluh-puluh biji guli secara teratur setiap hari tanpa berasa bosan.

    Mereka dapat mengesan dengan cepat walaupun kehilangan satu atau dua biji gulinya. Keupayaan yang menakjubkan ini digelar maintenance of sameness iaitu pengekalan kesamaan.

    Anak autistik sanggup menggunakan masa yang panjang untuk mengulangi sesuatu perbuatan seperti memusingkan badan dalam bulatan, melambai tangan di depan mata sendiri atau menggigit kuku.

    Sekiranya perbuatannya diganggu, mereka akan mengamuk dan menunjukkan ketidakstabilan emosi. Anak autistik sering melakukan sesuatu mengikut kemahuannya tanpa merujuk kepada orang lain.

    Sikap mereka yang angkuh, suka menghafal, mengulang dan tidak menghiraukan kewujudan orang lain merupakan halangan yang merumitkan proses pembelajaran mereka.

    Menurut APA lagi, kebanyakan tanda anak autistik dapat dikesan sebelum usia mereka mencecah 3 tahun. Hampir 50 peratus daripada anak autistik mempunyai IQ (Darjah Kecerdasan) kurang daripada 50, iaitu julat kecacatan akal yang serius.

    Sementara itu, hampir 25 peratus tergolong dalam julat IQ 50 hingga 70 manakala bakinya memperlihatkan purata IQ yang melebihi 70.

    Ujian IQ amat berguna untuk menentukan pronogsis anak autistik. Semakin tingginya skor IQ, semakin kurang sokongan keluarga yang diperlukan.

    Untuk mereka yang memperoleh skor IQ yang rendah juga menghadapi masalah menguasai kebolehan berkomunikasi. Anak sedemikian memerlukan sokongan sosial dan pendidikan yang jauh lebih banyak apabila dewasa.

    Untuk kebanyakan kes, keupayaan menguasai sesuatu bahasa dan skor IQ merupakan petunjuk ramalan yang boleh dipercayai untuk masa depan anak autistik.

    Punca berlakunya kecelaruan autistik boleh ditinjau daripada perspektif psikologikal, sosial dan biologikal. Autisme merupakan suatu kecelaruan yang masih memerlukan banyak penerokaan.

    Autisme bukan berpunca daripada suatu faktor sahaja tetapi kombinasi faktor biologikal dan psikososial untuk melahirkan tingkah laku yang luar biasa.

    Pada peringkat permulaan, Kanner (1943) mengatakan autisme berpunca daripada faktor biologikal.

    Dingin

    Tidak lama kemudian, pakar klinikal pula membantah dengan mengatakan autisme adalah dipelajari. Keadaan anak sedemikian disebabkan ibu bapa yang bersikap dingin, tidak suka bergaul dan suka mengawal tingkah laku anaknya.

    Pada tahun 1967, Bettelheim turut menyokong dengan mengatakan bahawa kecelaruan autistik berlaku hasil daripada gaya layanan ibu bapa yang bercorak kesempurnaan, jarang berkomunikasi dengan anak dan secara relatifnya, jenis keluarga sedemikian mempunyai status ekonomi yang tinggi.

    Bettelheim percaya bahawa tingkah laku anak autistik sama seperti askar Jerman yang masih hidup di kem ketika Perang Dunia Kedua. Kumpulan askar ini menunjukkan ciri-ciri autistik seperti tidak prihatin, mengasingkan diri dan juga kelihatan murung.

    Pembaca pasti dapat membayang betapa pedihnya hati ibu bapa yang memarahi dirinya dan menyalahkan diri sendiri di atas kelahiran anak sedemikian.

    Dari perspektif lain, pada tahun 1975, Cox dan pakar psikologi yang lain telah menjalankan penyelidikan ke atas ibu bapa anak autistik.

    Mereka mendapati ibu bapa ini bersifat mesra, suka bergaul dan berintraksi. Walaupun memiliki anak-anak autistik, mereka juga melahirkan anak-anak lain yang normal.

    Tahun kebelakangan ini, dimensi biologikal pula lebih diberi keutamaan oleh para penyelidik dan pusat kesihatan profesional.

    Beberapa faktor telah dikaitkan dengan kecelaruan autistik termasuk German measles, hypsarrhythmia, cytomegalovirus dan kesukaran bersalin. Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa autisme disebabkan faktor genetik.

    Risiko

    Jones dan Szatmari (1988), mengatakan bahawa ramai ibu tidak mahu mengandung selepas melahirkan anak autistik kerana bimbang akan risiko mendapat anak yang menghidap kecelaruan tersebut lagi.

    Menurut Cook, 2001, keluarga yang mempunyai anak autistik menghadapi kebarangkalian 3 peratus hingga 5 peratus untuk melahirkan anak autistik yang berikutnya.

    Faktor genetik dikaitkan dengan sindrom X yang mengandungi komponen biokimia. Bukti terbaik untuk faktor genetik lahir daripada kajian anak kembar “Twin Studies”.

    Kajian ini menunjukkan bahawa anak autistik daripada kembar monozigotik memperlihatkan peratusan autisme yang tinggi, iaitu 70 peratus manakala peratusan autisme untuk anak kembar dyzygotic adalah – 0 (Folstein & Rosen, 2001).

    Keputusan kajian menunjukkan bahawa kecelaruan autistik boleh diwarisi. Penyelidik genetik mencadangkan bahawa gen yang terlibat dalam kecelaruan autistik mungkin terletak pada kromosom 2,7,15 dan x.

    Bukti sedemikian turut diperoleh oleh Wassink et al (2001) yang mengatakan bahawa gen WNT2 terletak pada kromosom 7 yang mana gen inilah yang memainkan peranan utama dalam menyebabkan kecelaruan autistik.

    Untuk kebanyakan anak autistik, mereka menghadapi aras serotonin dan dopamine yang tinggi.

    Tsai dan Ghasinddin pada 1992 pula mengatakan 30 hingga 75 peratus daripada golongan autistik memperlihatkan struktur neurologikal yang luar biasa.

    Manakala penyelidik yang menggunakan teknologi CT dan MRT mendapati bahawa wujudnya keadaan yang luar biasa untuk bahagian serebelum iaitu saiz yang lebih kecil berbanding orang normal.

    Walaupun keluarbiasaan otak ini bukan dijumpai di setiap kajian, ini merupakan dapatan yang lebih boleh dipercayai. Menurut kajian, jantina merupakan satu faktor bahaya yang signifikan.

    Lelaki menunjukkan kecenderungan yang lebih tinggi menghidap autisme berbanding dengan perempuan. Kadarnya adalah tiga hingga empat lelaki berbanding perempuan, satu sahaja.

    Kajian autistik merupakan suatu bidang yang baru dan masih memerlukan suatu kombinasi teori yang lebih lengkap.

    Kebanyakan anak autistik tidak dapat menjaga dirinya dengan sempurna. Mereka terpaksa berada di rumah bersama ahli keluarganya. Sebagai ibu bapa, mereka tidak seharusnya berputus asa.

    Penulis mempunyai seorang rakan yang anaknya Pennie telah menghidap kecelaruan autistik. Pada peringkat permulaan, pasangan suami isteri ini berasa kecewa dan sedih. Mereka enggan menerima kenyataan.

    Namun atas pegangan agama dan azam yang kukuh, mereka telah berubah sikap dan ingin membantu anaknya dengan hati terbuka. Pennie telah dihantar ke sekolah khas ketika berumur 4 tahun untuk menerima pendidikan.

    Untuk menjayakan program bimbingan si anak, mereka telah mengambil bahagian secara aktif. Pada hakikatnya, penguasaan bahasa dan keupayaan bersosialisasi merupakan aspek penting dalam segala rawatan atau program yang dikendalikan.

    Selepas dua tahun menjalani latihan dari sekolah khas, Pennie menampakkan perubahan yang ketara. Dia lebih ceria, mesra dan tidak lagi begitu agresif.

    Selain itu, kanak-kanak itu mulai boleh duduk diam untuk mendengar seketika dan berkomunikasi secara ringkas. Tingkah lakunya yang tidak normal juga banyak berkurangan. Ibu bapa dan guru menggunakan teknik pengukuhan seperti diberi buku bergambar selepas berjaya dalam suatu pembelajaran.

    Anak merupakan kurniaan Tuhan. Anak-anak autistik yang malang ini seharusnya menerima limpahan kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ahli keluarganya.

    Dari segi perubatan psikososial misalnya, penekanan dari segi komunikasi dan sosiolisasi diberi keutamaan. Untuk perubatan biologikal pula, didapati kesannya tidak begitu baik.

    Kebanyakan terapi anak autistik meliputi pendidikan khas dalam bidang komunikasi dan sosiolisasi. Pendekatan tingkah laku didapati paling berkesan dalam membantu penguasaan pembelajaran anak autistik.

    Apabila dewasa, anak autistik harus digalakkan mengambil bahagian dalam intervensi yang melibatkan komuniti. Ibu bapa anak autistik harus menerima sokongan moral daripada ahli-ahli keluarga dan masyarakat kerana mereka menghadapi tekanan yang tinggi.

    Komuniti juga harus bersimpati dan prihatin terhadap anak autistik, menghulurkan bantuan dan sokongan moral supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa.

    Kepada ibu bapa, jangan sekali-kali berputus asa jika mempunyai anak autistik. Berikanlah rawatan dan pendidikan khas seberapa awal yang boleh kepada anak-anak dan jangan biarkan mereka terabai begitu sahaja.

    Tolong prihatin dengan kebajikan kami!


    Utusan Malaysia, 15 Disember 2006

    Oleh: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH



    SEBAHAGIAN golongan orang kurang upaya (OKU) yang berkerusi roda menghadiri persidangan ‘Akses Untuk Kehidupan’ baru-baru ini.

    PERISTIWA dua September tahun lalu yang melibatkan seorang ahli perniagaan cacat penglihatan yang terjatuh ke atas landasan monorel (KL Monorail) benar-benar menyuntik kesedaran orang ramai tentang kepentingan golongan Orang Kurang Upaya (OKU)

    Mohammad Sohod Mokri, 44, ketika itu mendakwa kejadian itu berlaku akibat tiada langkah-langkah keselamatan serta kelalaian dalam memastikan ia selamat untuk digunakan terutamanya OKU.

    Adakah rintihan OKU yang mengalami kesukaran ketika menaiki kenderaan dan menggunakan kemudahan awam lain sekadar luahan hati tanpa apa-apa tindakan.

    Baru-baru ini satu persidangan membincangkan keperluan OKU yang bertajuk, ‘Akses Untuk Kehidupan Sebenar’ sempena sambutan hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2006 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah diadakan di Pusat Konvensyen Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

    Rentetan pelbagai aduan daripada golongan OKU yang mengalami kesukaran menggunakan infrastruktur sedia ada, maka lahirlah idea untuk mengadakan persidangan ini yang merupakan kerjasama antara KPWKM sendiri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

    Persidangan yang bertujuan mengenal pasti pelbagai usaha bagi mengintegrasi sepenuhnya golongan OKU ke dalam masyarakat dihadiri oleh kira-kira 300 orang melibatkan golongan OKU, para perancang bandar, arkitek, penggiat utama dalam pembangunan hartanah dan pembinaan, pejuang aksesibiliti, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan penyelidik, ahli akademik serta pihak setor awam dan swata.

    Majlis perasmian persidangan itu telah dilakukan oleh Menteri KPWKM, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

    Sementara itu, pelbagai kertas kerja telah dibentangkan bagi mengupas serta membincangkan isu-isu khususnya aspek aksesibiliti golongan OKU.

    Menurut pensyarah dari Universiti Ryukus, Jepun, Profesor Yutaka Takamine, infrastukur yang dibina bukan sahaja mengambil kira kemudahan orang yang sempurna, tetapi pihak berkuasa perlu menekankan golongan OKU.

    “Segala kemudahan yang disediakan untuk OKU akan memberi kebaikan kepada semua pihak termasuk warga emas dan wanita mengandung.

    “Jadi tidak ada masalah, sekiranya sesuatu infrastruktur seperti bangunan, kenderaan, tempat beribadat dan sebagainya lengkap dan boleh digunakan oleh OKU,’’ katanya ketika membentangkan kertas kerja pada persidangan tersebut.

    Yutaka juga seorang OKU dan menggunakan kerusi roda turut menceritakan pengalamannya sendiri yang merasakan kepayahan golongan OKU untuk bergerak sekiranya tidak terdapat laluan OKU di sesuatu bangunan atau kemudahan awam.

    Yutaka memberitahu, perjuangan tentang kebajikan OKU di peringkat global telah lama disuarakan dan beberapa negara telah bertindak dengan menyediakan kemudahan awam yang lengkap untuk pergerakan OKU.

    “Misalnya, di Singapura telah wujud kemudahan aliran transit ringan (stesen MRT) yang mudah untuk OKU di samping kemudahan bas yang menyediakan tangga rendah.

    “Begitu juga di beberapa negara yang menyediakan kemudahan laluan untuk OKU di tempat ibadat,’’ katanya,

    Tambah Yutaka, pada 25 Ogos lalu, satu pelan tindakan antarabangsa telah dipersetujui bagi memastikan kebajikan golongan OKU terjamin.

    Dalam pada itu, beberapa peserta OKU yang ditemui juga menyuarakan hasrat agar kemudahan awam yang dibina mengambil kira kebajikan mereka.

    Adam Malik, 40 memberitahu, persidangan tersebut membuka mata golongan profesional seperti arkitek, perancang bandar dan pihak berkuasa tempatan supaya lebih prihatin terhadap penyediaan kemudahan OKU.

    “Kalau golongan seperti kami memang sedia maklum tentang masalah aksebiliti yang dihadapi oleh OKU.

    “Apabila perbincangan seperti ini dibuat, semua pihak memahami kesukaran kami. Kami bukan sengaja nak merungut tetapi kekadang kemudahan yang disediakan tidak sesuai untuk OKU,’’ katanya yang menjalankan perniagaan sendiri.

    Seorang lagi peserta OKU kerdil, Zuraidah Abdul Hanan, 43, berpendapat, di negara ini telah pun wujud kemudahan tandas dan meletak tempat kereta untuk OKU tetapi disalah gunakan oleh orang ramai.

    “Misalnya, tandas khas untuk OKU digunakan oleh kanak-kanak. Orang mungkin tidak faham logo OKU dan kemudahan yang sepatutnya digunakan oleh kami telah penuh.

    “Macam saya, mungkin tidak ada masalah tetapi bagi golongan berkerusi roda, mereka menghadapi masalah.

    “Dalam sesetengah kes, tempat meletak kereta yang disediakan untuk OKU penuh kerana digunakan oleh orang lain. Tidak pasti sama ada mereka tidak tahu atau tidak faham logo yang dipamerkan,’’ katanya.

    Tambah Zuraidah, persidangan OKU ini memberi peluang kepada mereka menceritakan masalah yang dihadapi.

    Bercerita tentang pengalaman sendiri, Zuraidah memberitahu, dia mungkin tidak mengalami masalah kerana ketinggaannya lebih empat kaki tidak menyukarkannya bergerak.

    “Tetapi kawan saya yang kerdil dan lebih rendah daripada saya memang menghadapi masalah.

    Misalnya, ketika dia menaiki bas, susah untuk dia menekan lonceng bas.

    “Bukan itu sahaja, ada antara kawan saya yang menghadapi masalah untuk mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang (ATM) kerana terlalu tinggi.

    Kalau naik transit aliran ringan (LRT), tempat duduk untuk OKU memang ada tetapi orang lain duduk.’’ katanya.

    Nicholas Iudersamy, 25, yang mengalami masalah pendengaran dan mata juga mengakui kemudahan asas seperti kenderaan perlu diperbaiki agar golongan OKU boleh menggunakannya.

    “Selain itu, saya harap perkhidmatan bank boleh diperbaiki. Satu kaunter khas untuk OKU perlu diwujudkan bagi melancarkan urusan kami. Bantuan khas perlu diberikan kepada kami yang tidak dapat melihat dan menulis seperti orang lain,’’ katanya.



    Thursday, December 14, 2006

    Ganja tingkat risiko sakit mental

    Berita Harian, 14 Disember 2006


    MELBOURNE: Penggunaan ganja terutama di kalangan generasi muda, boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit mental selain memudaratkan lagi masalah kesihatan sedia ada.

    Laporan itu yang dikeluarkan bekas Komisioner Polis Persekutuan Australia, Mick Palmer, menganalisis bukti yang dikaitkan antara penggunaan dadah jenis marijuana dan gangguan mental.

    Kajian ‘Where There’s Smoke: Cannabis and Mental Health’ oleh Majlis Kesihatan Mental Australia, mendapati, bahaya dadah itu dipandang rendah dan menggesa supaya kempen pendidikan dilaksanakan.

    Penyelidikan itu mendapati penggunaan ganja menyebabkan psikosis pada sesetengah orang dan boleh mencetuskan skizophrenia di kalangan pengguna yang mempunyai keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental.

    Kajian itu menunjukkan ada kaitan antara penggunaan awal dan secara tetap dadah itu dengan kemurungan, tetapi hanya wujud bukti kecil bahawa mereka menggunakan ganja kerana mengalami masalah kesihatan mental.

    Ketua Eksekutif majlis itu, John Mendoza, berkata sudah terbukti bahawa penggunaan ganja boleh menyebabkan risiko kesihatan mental yang serius.

    “ Anda menambah risiko lagi jika anda mula menggunakannya ketika usia muda, ketika pembangunan otak di peringkat genting,” kata Mendoza yang dipetik Associated Press Australia. – Bernama

    “Anda menambah risiko jika menggunakannya secara tetap dan berpanjangan,” kata Mendoza yang dipetik Associated Press Australia.

    Palmer berkata, laporan itu diharap menyedarkan pihak yang terbabit dalam menangani penggunaan ganja.

    Beliau turut menyatakan mengenai perlunya kempen pendidikan untuk menangani ganja sama seperti yang dilakukan untuk tembakau dan arak. — Bernama

    ‘Cacat tak halang kejayaan’

    Berita Harian, 14 Disember 2006


    KUANTAN: "Saya mahu buktikan Orang Kurang Upaya (OKU) juga boleh berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh. Jangan jadikan kecacatan sebagai halangan kerana peluang sentiasa terbuka kepada mereka," kata pemenang Anugerah OKU Berjaya Pahang 2006, Mohd Khairi Othman, 30.


    Beliau berkata, perasaan rendah diri yang keterlaluan di kalangan OKU akan menyebabkan mereka terus tersisih daripada masyarakat, sekali gus tidak mampu menonjolkan kebolehan yang ada setanding golongan normal.

    Katanya, kecacatan tanpa tangan dan kaki ketika dilahirkan, menjadi pendorong utama untuknya bersaing gigih menjalankan projek ternakan ikan patin dalam kolam di Kampung Tanjung Pulai, Pekan, sehingga mampu memperoleh pendapatan lumayan kira-kira RM5,000 sebulan.

    Mohd Khairi berkata, kekecewaan mendapat bantuan mesin jahit yang dimohonnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih 10 tahun lalu, selepas tamat menjalani latihan menjahit di Cheras, Kuala Lumpur pada 1997, menyebabkannya beralih kepada bidang ternakan ikan.

    "Saya mengikuti kursus menjahit selama tiga tahun dan selepas keluar pada 1997, saya memohon mesin jahit daripada JKM untuk memulakan hidup sebagai tukang jahit.

    "Bagaimanapun, selama 10 tahun, saya diminta supaya menunggu jawapan saja.

    “Akibat kecewa menunggu lama, saya beralih mengusahakan ternakan ikan di kolam walaupun memiliki kemahiran dalam bidang lain.

    "Kecekalan itu akhirnya berbaloi kerana projek yang diusahakan ini mendapat sambutan menggalakkan dan sekarang ada kira-kira 7,000 ikan patin dalam kolam," katanya di sini semalam.

    Mohd Khairi berkata, kejayaannya dalam bidang itu membuka mata banyak pihak untuk memberi sumbangan termasuk bantuan kerusi roda oleh Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Pahang bagi memudahkannya bergerak, selain satu sangkar ikan daripada Jabatan Perikanan bernilai kira-kira RM2,000.

    "Saya berbelanja hampir RM3,000 sebulan untuk membeli makanan ikan dan sangat berharap jika ada bantuan diberi bagi memperluaskan lagi kegiatan ini kerana permintaan sentiasa meningkat," katanya.

    Sementara itu, ibunya, Juriah Ismail, 68, dan bapanya, Othman Ali, 68, yang bekerja sebagai penoreh getah bangga dengan pencapaian Mohd Khairi.

    Juriah berkata, Mohd Khairi yang juga anak kesembilan daripada 11 beradik tidak pernah menyusahkan keluarga, sebaliknya gigih berdikari mencari pendapatan sendiri.

    "Paling mengharukan, walaupun OKU, dia banyak menyumbang meringankan perbelanjaan keluarga," katanya.

    Tuesday, December 12, 2006

    Tertuduh sakit mental

    Harian Metro, 12 Disember 2006

    Oleh Adnan Mohamad
    am@hmetro.com.my

    KOTA BHARU: Seorang guru yang didakwa mencederakan pegawai polis dengan gergaji didapati menghidap masalah mental sejak 1987, Mahkamah Sesyen di sini, diberitahu semalam.

    Pakar Psikiatri Forensik Hospital Permai, Johor Bharu, Dr Badiah Yahya berkata Alias Derahman, 40, menghidap Skizofrenia yang menyebabkan penghidapnya menunjukkan tanda kemurungan, pemikiran tidak teratur dan mengalami delusi atau halusinasi pendengaran.

    Oleh itu, katanya, dia mencadangkan kepada Hakim Mohd Yazid Mustafa supaya tertuduh dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Johor.

    Tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada Cif Inspektor Wiswanadan Ayakandoo dengan gergaji di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh Lama, Machang kira-kira jam 4.15 petang pada 2 Oktober 2003.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat.

    Bagaimanapun, tertuduh yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tiu, Machang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

    Tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin, pada 19 April lalu.

    Dr Badiah ketika ditanya peguam tertuduh, Ahmad Nizam Muhammad, berkata Alias melakukan serangan terbabit selepas dia dikatakan mendengar satu suara supaya menyuruh berbuat demikian.

    Hakim Mohd Yazid kemudiannya menetapkan 17 December ini sebagai menjatuhkan hukuman.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abdul Wahab.

    Dalam kejadian itu, tertuduh mengamuk di rumahnya sebelum sepasukan polis diketuai Cif Inspektor Wiswanadan dihantar ke situ.

    Tertuduh ketika itu menyerang pegawai polis terbabit dengan gergaji sehingga mendatangkan kecederaan.

    OKU sukar dapat lesen memandu

    Berita Harian, 12 Disember 2006

    SAYA menyokong usaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) untuk mengkaji semula modul sekolah memandu bagi melahirkan pemandu berkemah dengan tujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

    Saya berharap hak Orang Kurang Upaya (OKU) tidak dilupakan untuk memiliki lesen memandu seperti orang awam lain bagi memudahkan mereka melaksanakan urusan seharian.

    Masalah ini dihadapi adik saya dan rakannya daripada golongan OKU. Kadangkala mereka meluahkan isi hati sesama sendiri dan keluarga. Salah satu perkara yang diluahkan mereka ialah kesukaran untuk mendapatkan lesen memandu.

    Golongan OKU terutama yang hanya cacat pendengaran dan tidak boleh bercakap seharusnya diberi kelonggaran dari segi modul sekolah memandu untuk mendapatkan lesen memandu kerana mereka mempunyai fizikal sempurna seperti orang awam lain.

    Masalah timbul apabila mereka dikehendaki menjawab soalan dalam ujian lesen memandu dalam bentuk ayat. Seperti yang kita tahu, golongan ini belajar di sekolah dan berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat.

    Ia menyukarkan mereka untuk menjawab soalan berkenaan. Tidak adakah cara lain yang disediakan oleh MKJR dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membolehkan golongan OKU memahami soalan berkenaan dengan lebih baik?

    Seharusnya pihak berkenaan memikirkan pendekatan sewajarnya untuk membolehkan OKU memiliki lesen memandu yang sah kerana ini akan memudahkan mereka melaksanakan urusan seharian dan menikmati kemudahan di negara ini seperti orang lain.

    Saya berharap pihak berkenaan mengambil pendekatan sewajarnya.

    INSAN PRIHATIN,
    Teluk Intan, Perak


    Monday, December 11, 2006

    Warga tua tak mengaku rogol gadis terencat akal

    Harian Metro, 8 disember 2006

    KUALA LUMPUR: Seorang warga tua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol gadis terencat akal hingga melahirkan anak yang kini berusia dua tahun.


    Matsusah Sadikin, 64, yang tidak mengaku bersalah didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik stor kedai runcit pada jam lebih kurang 4 petang hingga 7 malam antara 1 Oktober hingga 31 Mei 2003.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut seksyen 376 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa raya, Ahmad Fuad Othman memohon tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa tinggal berdekatan.

    “Ada laporan sebelum ini tertuduh pernah mengganggu mangsa yang berusia 23 tahun.

    “Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan jaminan saya tawarkan RM60,000 dan syarat tambahan lain seperti melaporkan diri ke balai polis terdekat,” katanya.

    Saturday, December 09, 2006

    Kaki wanita hancur dirempuh kereta

    Utusan Malaysia, 9 disember 2006

    SEGAMAT: Kaki seorang pekerja wanita kedai telefon bimbit hancur dirempuh kereta ketika berdiri di pembahagi jalan di Kilometer 184.5, Jalan Johor Bahru-Seremban, petang kelmarin.

    Dalam kejadian jam 2.15 petang, Nooraziela Othman, 20, dirempuh kereta yang dikatakan terbabas ketika mengelak kereta lain yang hendak keluar dari satu persimpangan di laluan sama.

    Ketua Trafik Daerah, Asisten Superintendan Mustaffa Md Tim, berkata Nooraziela dari Felda Kemelah, di sini, dikatakan sedang melintas jalan dua lorong di hadapan tempat kerjanya.

    Mangsa dikatakan berdiri di pembahagi jalan apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun, dikatakan gagal dikawal dan merempuh mangsanya.

    "Mangsa yang dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian dihantar ke Hospital Segamat sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk rawatan lanjut.

    "Difahamkan, doktor HPSF yang merawat mangsa mengesyaki kaki kanan mangsa yang hancur tidak dapat dipulihkan dan mangsa mungkin cacat kekal," katanya di sini, semalam.

    Mustaffa berkata, Nooraziela menyambut hari lahir ke-20 hari ini.

    Atlet OKU kuat daya juang

    Utusan Malaysia, 9 Disember 2006

    Oleh SOBRI SUDIN

    BELUM terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada atlet orang kurang upaya (OKU), yang mengharumkan nama negara dalam Sukan Fespic 2006, baru-baru ini. Kemampuan memperoleh 44 pingat emas dan menduduki tangga keempat keseluruhan mengatasi negara Asia yang lebih hebat seperti Iran serta Jepun adalah sesuatu yang membanggakan.

    Di sebalik kurang perhatian atau peduli sesetengah pihak sehinggakan usaha penganjuran Fespic sendiri terpaksa menunggu saat akhir untuk mendapat biaya mencukupi, atlet OKU gigih berjuang, tanpa dimanjakan dengan peruntukan latihan atau kemudahan kewangan yang besar seperti mana atlet biasa. Mereka masih gah menjulang nama Malaysia.

    Kadangkala terfikir juga dengan dibantu bacaan buku-buku sosiologi, apakah budaya masyarakat Malaysia ini apabila makin senang, makin dimanjakan, makin mewah menjadi makin kurang semangat dan daya juangnya.

    Dalam kes OKU, kita harus akur sebahagian besar atletnya pada siang hari adalah pekerja kilang, sesetengahnya pula masih menganggur, ada juga yang membuka pusat refleksologi di merata-rata tempat secara kecil-kecilan.

    Mereka ini tidak dihimpunkan dalam latihan pusat, diberikan elaun latihan, imbuhan bulanan ataupun keistimewaan yang pelbagai, tetapi kesemua kekurangan ini dianggap sebagai satu cabaran yang akhirnya membuahkan kejayaan. Bandingkan dengan atlet sempurna anggota, yang bertanding di Sukan Asia, Doha ataupun sukan lain sebelum ini. Berpuluh-puluh juta diperuntukkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan. Ini termasuk ganjaran, jurulatih luar negara layanan kelas pertama tetapi maaf cakap, pencapaian tidak seberapa. Badminton yang pada satu masa kita juara dunia, masih berbalik cerita lama _ terkandas di peringkat separuh akhir. Demikian juga sukan sepak takraw sentiasa menjadi mangsa kepada Thailand. Itu belum termasuk bola sepak. Entah di mana silap, pemain bola sepak negara hanya layak bertanding dalam Liga-M.

    Justeru dengan mengambil contoh skuad pasukan Fespic negara, ada kewajarannya juga keistimewaan kepada atlet sempurna anggota itu dirumuskan semula. Ini membolehkan ruang ‘budaya selesa’ yang mereka alami ditutup sedikit.

    Pada akhirnya barangkali, dengan kesusahan sedemikian mungkin semangat mereka akan kembali pulih untuk mempunyai daya juang yang tinggi – setidak-tidaknya seperti atlet OKU dalam mengharumkan nama negara di pentas sukan.