Monday, January 15, 2007

Tangan lumpuh jika leher diserang tibi

Berita Harian, 15 Januari 2007

Oleh Hafizah Iszahanid

Penyakit batuk kering boleh berlaku di luar paru-paru termasuk pada sendi, lutut dan tulang belakang

HAMPIR 90 peratus kecenderungan penyakit batuk kering (turbecolosis) atau dikenali sebagai tibi membabitkan bahagian paru-paru. Bagaimanapun 10 peratus daripada jumlah itu terjadi di luar paru-paru termasuk sendi, lutut dan tulang belakang.

Tibi tulang belakang paling biasa di Malaysia. Bagaimanapun tidak ramai tahu mengenai perkara itu seperti mereka tidak tahu bahawa tibi di luar paru-paru berupaya membuatkan seseorang itu lumpuh jika tidak segera mendapat rawatan. Contohnya, jika tibi menyerang leher, tangan mungkin lumpuh.

Perunding Ortopedik dan Pembedahan Trauma, Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar, berkata tibi tulang belakang atau disebut juga sebagai Pott’s paraplegia atau Pott’s disease disebabkan bakteria Mycobecterium tubercolosis.

“Sebenarnya tibi tulang belakang adalah penyakit lama yang memberi impak kesihatan kepada manusia sejak beratus-ratus tahun dulu,” katanya.

Tibi tulang belakang meningkat di seluruh dunia seiring dengan peningkatan pesakit HIV kerana antara golongan berisiko selain kanak-kanak dan orang tua adalah mereka yang mengalami masalah daya tahan penyakit.

“Tibi tulang belakang boleh terjadi kepada sesiapa saja tanpa mengira jantina dan had umur, tetapi dalam kajian akademik saya beberapa tahun lalu, satu pertiga pesakit di Malaysia adalah lelaki,” katanya.

Walaupun tibi tulang belakang terjadi mungkin di bahagian atas atau bawah tulang belakang, ia merebak melalui pernafasan seperti mana tibi yang membabitkan paru-paru.

Apabila seseorang itu terdedah kepada pesakit tibi paru-paru, dia berisiko untuk berhadapan dengan jangkitan di paru-paru atau sendi lain termasuk tulang belakang.

Bagi tibi tulang belakang, jangkitan boleh merebak dari dua tulang berdekatan kepada ruang disc yang bersambung. Jika satu tulang saja berjangkit, disc itu normal tetapi jika ia membabitkan dua ruas tulang yang bersifat avascular (tiada salur darah), nutrisi tidak dapat diterima.

Justeru, tisu disc akan mati, patah, kering dan rapuh. Keadaan ini menyebabkan ruas tulang meruncing dan boleh membuatkan tulang patah dan kerosakan tulang belakang.

Dr Khaizatul berkata, penyakit tibi tulang belakang mengambil masa untuk dikesan. Kerana itu pesakit harus pasti dengan simptom yang mereka alami dan berjumpa doktor.

Kegagalan mendapatkan rawatan dengan segera boleh mengancam nyawa. Disebabkan tibi sangat pandai ‘mengajuk’ (mimic) penyakit barah, diagnosisnya memerlukan biopsi.

SIMPTOM

# Turun berat badan
# Hilang selera makan
# Demam yang sekejap datang dan sekejap sembuh
# Rasa kebas
# Badan lemah
# Sakit tulang belakang
# Tulang belakang bongkok ke depan
# Berpeluh waktu malam

RAWATAN

Rawatan tibi tulang belakang hampir sama dengan tibi paru-paru. Ia membabitkan penggunaan antibiotik. Bagaimanapun pengambilannya lebih lama berbanding tibi paru-paru iaitu menjangkau antara sembilan bulan ke satu setengah tahun.

Dr Khaizatul berkata, jika rawatan tidak diteruskan, bakteria akan menjadi kebal pada antibiotik. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah berulang.

Antibiotik juga rawatan yang baik bagi masalah penyakit yang tidak kronik. Sebaliknya, jika keadaan menjadi serius dan pesakit tidak bertindak balas dengan ubat dalam tempoh dua minggu, simptom semakin teruk, kelumpuhan semakin teruk dan nanah berkumpul dengan lebih banyak, pembedahan menjadi penyelesaian.

Tibi tulang belakang juga boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Selain itu, kerosakan tulang belakang semakin teruk dan boleh merebak ke merata tempat termasuk otak.

Golongan Berisiko

# Mereka yang mempunyai daya ketahanan penyakit yang lemah (pesakit HIV)
# Terdedah kepada penyakit tibi
# Orang tua
# Kanak-kanak di bawah usia 10 tahun (tetapi masalah ini di kalangan kanak-kanak tidak sekerap orang dewasa)
# Kanak-kanak di negara terpencil dan miskin

FAKTA

# Ditemui pakar bedah British, Percivall Pott (1714-1788)
# Selalunya menyerang di bahagian atas tulang belakang
# 10 peratus pesakit tibi adalah pesakit tibi tulang belakang
# Boleh disembuhkan dengan antibiotik jika tidak serius

No comments: