Dr Sharifah aktif perjuang nasib OKU
Oleh Hartini Mohd Nawi
DARIPADA tutur kata dan perwatakannya, wanita berwawasan ini memiliki kekuatan semangat tersendiri dalam menempuhi pelbagai cabaran.
Sesiapa saja yang mengenalinya pasti kagum kerana setiap patah perkataan yang keluar daripada bibirnya memberikan sejuta semangat serta nasihat kepada wanita lain.
Itulah antara keistimewaan Profesor Madya Dr Sharifah Zainiyah Syed Yahya yang cukup disegani memperjuangkan golongan orang kurang upaya (OKU).
Meskipun sibuk dengan tugas di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau sanggup melakukan kerja kebajikan, khusus bagi membela nasib anak sindrom Down.
Bergelar Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), tanggungjawab itu digalas cukup mencabar apatah lagi beliau turut dikurniakan seorang anak sindrom Down, Raja Nadia Raja Mustapha.
Menjadikan pengalaman hidupnya sebagai kekuatan dan hikmah yang dianugerahkan Ilahi, Dr Sharifah berbangga kerana dilahirkan sebagai ibu kepada Raja Nadia yang kini berusia 12 tahun.
“Pengalaman melahirkan dan membesarkan Raja Nadia cukup istimewa dan menguji sejauh mana semangat kental saya.
“Alhamdulillah, saya tidak keseorangan kerana kehadiran suami tercinta Dr Raja Mustapha Raja Abu Hassan Shaari, membakar semangat,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu.
Pengalaman sebagai doktor perubatan banyak membantu. Bagaimanapun, sebagai ibu, hatinya sedikit terusik apabila mengetahui keadaan bayinya.
Sokongan tidak berbelah bagi empat anak lain turut membantu meredakan emosi yang bercampur baur dan akhirnya, Dr Sharifah memahami bahawa dugaan yang diterima ada hikmah tersendiri.
Walaupun anak istimewa, Nadia tidak terlalu dimanjakan sebaliknya, kasih sayang diberikan sama rata dan seperti anak yang lain, gadis sunti itu turut diajar untuk berdikari.
“Saya cuba berikan didikan terbaik kepadanya. Sekurang-kurangnya Nadia boleh berdikari tanpa menyusahkan orang lain,” kata Dr Sharifah yang menyedari kecenderungan Raja Nadia terhadap lukisan.
Seterusnya PSDM juga secara tidak langsung merealisasikan minat Dr Sharifah untuk melakukan kerja kebajikan sejak zaman remaja.
“Saya pernah menjaga nenek yang menghidap kanser di hospital dan sering melihat kecekalan hati doktor mengubati serta melayan kerenah pesakit.
“Situasi itu mendorong saya mengambil bidang perubatan dan menjadi doktor,” katanya yang pernah bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Universiti, Petaling Jaya, Selangor, dari 1985 hingga 1996.
Selain faktor anak sendiri, kesanggupan Dr Sharifah berusaha menubuhkan PSDM turut tercetus apabila melihat anak sindrom Down tersisih dan kurang diberi perhatian sewajarnya.
Profil
NAMA: Profesor Madya Dr Sharifah Zainiyah Syed Yahya
TARIKH LAHIR: 6 September 1957
TEMPAT LAHIR: Arau, Perlis
JAWATAN: Prof Madya di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Kesihatan Awam, University of Glasgow, Scotland, United Kingdom (1997); Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1984); Diploma Sains Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara, UiTM), Shah Alam (1978)
SUAMI: Dr Raja Mustapha Raja Abu Hassan Shaari
ANAK: Raja Ibrahim Putera (21), Raja Iskandar Putera (20), Raja Nabila (18), Raja Idris Putera (14), Raja Nadia (12)
No comments:
Post a Comment