Saturday, January 06, 2007

Kerajaan Negeri Sumbang Kerusi Roda Elektronik kepada Pelajar Cemerlang UPSR

Kelatedaily, 4 Januari 2007


Berita Kelate

TUMPAT, 3 Jan: Kerajaan Negeri memenuhi Impian murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Kelantan 2006, Ahmad Fajrul Adha Mohamed Kamil, yang menghidap penyakit reput tulang, untuk memiliki kerusi roda elektronik sejak enam tahun lalu, termakbul semalam.

Ahmad Fajrul Adha, 12, yang mengalami kecacatan kekal sejak lahir akibat penyakit itu, menerima sumbangan kerusi roda elektronik bernilai RM5,500 itu daripada Tabung Orang Kurang Upaya Kelantan.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Datuk Husam Musa, kepadanya yang ditemani oleh ibunya, Norma Yusof, 39, dan bapanya, Mohamed Kamil Isa, 43.

Norma berkata, beliau sekeluarga amat berterima kasih kepada tabung Orang Kurang Upaya Kelantan kerana menyumbangkan kerusi roda elektronik yang dapat membantu pergerakan anaknya ketika di sekolah.

"Dengan kerusi roda ini, saya tidak perlu lagi mendukung Adha masuk ke kelas seperti yang dilakukan sejak enam tahun lalu. Kami sudah lama berhasrat membeli kerusi roda ini untuk Adha tetapi pendapatan ayahnya tidak cukup untuk kami berbuat demikian,? katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan itu ketika Majlis Jamuan Aidiladha anjuran penduduk Kampung Alor Durian di sini, semalam.

Pada majlis itu juga, Husam turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rengah (PMR) Mohd Izamani Mohd Kamil, 15, yang memperoleh keputusan 9A.

Tabung itu juga akan menyumbangkan sebuah lagi kerusi roda elektronik kepada pelajar, Wan Abdul Aziz Wan Hussin, 14, yang lumpuh separuh badan sejak lahir.

Ahmad Fajrul Adha ketika ditemui, berkata beliau tidak sabar lagi untuk menggunakan kerusi roda terbabit di sekolah.

"Kerusi roda ini menjadi impian saya selama ini bagi memudahkan pergerakan di sekolah dan di rumah selepas melihatnya di hospital sebelum ini, tetapi harganya yang mahal menyebabkan impian saya terpendam.

"Mujurlah ada pihak yang bermurah hati menyumbangkan kerusi roda untuk saya dan ibu saya tidak perlu lagi mendukung saya hingga ke kelas seperti sebelum ini," katanya.

Husam berkata, Tabung Orang Kurang Upaya Kelantan diperuntukkan RM1 juta untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Katanya, tabung itu turut membiayai pembedahan seperti membaiki mulut sumbing di Hospital Universiti Sains Malaysia.//bHarian

No comments: