Saturday, January 13, 2007

Lelaki tak siuman pecah pintu balai polis

Berita Harian, 13 Januari 2007

PUTRAJAYA: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk di Balai Polis Dengkil, Sepang dekat sini semalam, selepas cubaannya untuk mengemukakan laporan polis dihalang lelaki lain, yang pada masa sama sedang membuat laporan dengan pegawai polis yang bertugas di kaunter.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob yang mengesahkan kejadian itu, berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki yang mempunyai masalah kesihatan itu pernah mendapatkan rawatan di Hospital Klang.

"Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.40 pagi ketika seorang anggota polis sedang melayan seorang pengadu di kaunter aduan.

"Mungkin kerana tidak sabar menunggu, beliau `naik angin' dan bertindak ganas memecahkan pintu di hadapan balai.

"Dalam cubaan menahannya, komputer yang terletak di kaunter turut musnah," katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, lelaki berusia 37 tahun yang hanya berseluar pendek, baju tanpa lengan dan berselipar turut membawa parang ke balai berkenaan.

Bagaimanapun, Zahedi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya berkata, lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah itu dihantar ke Hospital Klang untuk pemeriksaan lanjut.


No comments: