Thursday, January 11, 2007

Pemuda bantu pelajar istimewa

Berita Harian, 11 Januari 2007


PASIR MAS: Pelajar hidap penyakit tulang reput yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2006, Ahmad Fajrul Adha Mohamed Kamil, dijadikan anak angkat Pergerakan Pemuda Umno mulai semalam.

Ahmad Fajrul Adha, 13, yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu dipilih sebagai anak angkat pertama Pemuda Umno oleh Ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Pelajaran.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Harrison Hassan, berkata pihaknya mengadakan lawatan khusus ke SMK Bunut Susu bagi meninjau keadaan Ahmad Fajrul Adha yang kini memasuki Tingkatan Satu untuk memastikan dia dapat belajar dengan sempurna.

Katanya, Pemuda Umno akan berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri untuk menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk infrastruktur di sekolah bagi memudahkan pergerakan Ahmad Fajrul Adha.

"Ahmad Fajrul Adha sudah memiliki kerusi roda elektrik sumbangan kerajaan negeri baru-baru ini. Biro Pendidikan Pemuda Umno akan menyalurkan bantuan lain setiap tahun sepanjang Ahmad Fajrul belajar di sini.

"Kami akan menyediakan kerusi dan meja khas untuk Ahmad Fajrul Adha supaya dia dapat belajar dengan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan peralatan sekolah termasuk buku kepada Ahmad Fajrul yang ditemani ibunya Norma Yusof, 39, dan Pengetuanya, Nik Hasnah Nik Li, di SMK Bunut Susu, di sini, semalam.

Rombongan turut disertai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas Tumpat, Che Hussin Che Soh dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Dali Hussin.

Sebelum itu, rombongan Pemuda Umno melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, Tumpat yang ditenggelami banjir sejak dua hari lalu.

Harrison berkata, Pemuda Umno akan menyalurkan elaun khas secara bulanan kepada Ahmad Fajrul Adha dalam tempoh terdekat ini.

"Saya difahamkan, keluarganya ada memohon untuk mendapatkan elaun itu sejak Ahmad Fajrul Adha bersekolah di Darjah Lima tetapi belum diluluskan lagi. Sebagai tambahan, kami akan menyalurkan bantuan menerusi Bantuan Kebajikan Pelajar (BKP) dengan kerjasama JPN Kelantan,” katanya.

No comments: