Dua OKU terima geran keppemimpinan Samsung
SAMSUNG Malaysia Electronics (Samsung Electronics), mengumumkan dua penerima geran bagi projek kepimpinan berasaskan teknologi di bawah program Samsung Digital Hope 2006 yang dikhususkan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan yang kurang bernasib baik di rantau ini termasuk Malaysia.
Pelaksanaan projek itu bertujuan meningkatkan tahap kehidupan belia dan OKU di negara ini dengan memilih Pertubuhan Prihatin Sosial Malaysia dan United Voice sebagai dua daripada 16 penerima geran yang layak.
Bagi projek kemasyarakatan itu, Samsung memperuntukkan AS$620,000 bagi penyediaan geran kepada penerima yang layak di Asia termasuk Australia.
Program yang sudah memasuki tahun keempat itu membabitkan pembiayaan projek kepada organisasi yang mempunyai aktiviti memberangsangkan dan berteknologi tinggi seperti pemasangan satelit penerima bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan mendapatkan akses televisyen pendidikan.
Selain itu, program anjuran Samsung itu turut menawarkan geran dalam penubuhan pusat sehenti pusat teknologi komuniti bagi membantu belia menganggur, menaikkan taraf makmal teknologi maklumat (IT) untuk juvana dan penciptaan gambar khusus dalam meningkatkan sistem penyampaian komunikasi menerusi PDA khususnya untuk golongan OKU.
Projek yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Prihatin Sosial Malaysia memperlihatkan organisasi itu sebagai pemenang keseluruhan bagi Malaysia dengan pembiayaan geran bernilai RM255,000 menerusi penubuhan pusat E-komuniti untuk remaja menganggur dan adalah penerima geran untuk dua tahun berturut-turut.
Menerusi program yang dilaksanakan itu, sasaran organisasi terbabit adalah untuk membantu melengkapkan belia dengan kemahiran kerja berguna dalam merebut peluang pekerjaan yang lebih baik di pasaran tempatan.
Antaranya dengan mengetengahkan kemahiran kehidupan, pendidikan keusahawan dan memperbaiki E-akses dari segi maklumat pekerjaan.
United Voice pula menerima geran bernilai RM34,000 menerusi projek penyediaan keperluan sosial, komunikasi, kemahiran kepimpinan dan forum untuk golongan OKU di negara ini.
Negara lain di rantau ini yang turut menerima pembiayaan geran terbabit adalah Australia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Aktiviti kemasyarakatan yang dilancarkan sejak 2003 itu adalah program sosial terbesar dilaksanakan Samsung di Asia Tenggara yang menyediakan bantuan dana bernilai AS$2.27 juta sehingga kini.
Menerusi program itu, 54 organisasi sudah dianugerahkan dengan geran Samsung dan turut memanfaatkan lebih daripada 600,000 remaja dan OKU di rantau Asia.
No comments:
Post a Comment