Pelajar cacat saraf
Oleh Tuan Maheran Tuan Shaffee
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Sesi persekolahan yang bermula semalam menimbulkan dilema kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai sembilan anak apabila anak kelapannya tidak dapat belajar secara normal kerana mengalami kecacatan saraf neurologi sejak dua tahun lalu.
Penjual kuih, Samsiah Mohd Hassan, 52, dari Kampung Chabang Tiga, di sini, berkata Ahmad Fariq Ab Aziz, 17, tidak dapat mengawal pergerakan dan sering menggigil ketika menulis.
“Saya menyangka Ahmad Fariq keletihan atau mungkin terseliuh sebelum membawanya berjumpa tukang urut dan menggunakan kaedah tradisional bagi menyembuhkan penyakitnya.
“Bagaimanapun, keadaannya tetap tidak berubah, bahkan semakin teruk apabila dia kini semakin membongkok dan tidak mampu mengayuh basikal seperti biasa,” katanya yang berasal dari Paloh, di sini.
Samsiah berkata, Ahmad Fariq mula mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah April tahun lalu sebelum disahkan menghidap kecacatan saraf neurologi.
“Saya tidak mampu membawanya mendapatkan rawatan lebih awal kerana menghadapi masalah kewangan dan sibuk bekerja bagi menyara empat anak yang masih bersekolah.
“Ketiadaan kenderaan menyukarkan saya membawanya ke hospital dan terpaksa menggunakan bas,” katanya.
Samsiah berkata, dia tidak tahu cara mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan terpaksa bergantung kepada pendapatannya sebanyak kira-kira RM400 sebulan hasil jualan kuih.
Keluarga itu kini menyewa sebuah rumah kayu dua bilik bersebelahan Pasar Chabang Tiga, di sini, dengan sewa RM130 sebulan.
“Kebanyakan masa saya dihabiskan membuat dan menjual kuih dan tidak tahu bagaimana untuk memohon bantuan JKM walaupun kami amat memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fariq yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Ahmad, di sini, berharap dia mampu meneruskan pelajaran seperti biasa.
“Memang sedih apabila tidak mampu lagi bergerak seperti biasa, tetapi tetap berharap akan pulih dan berjaya dalam pelajaran bagi membela nasib keluarga,” katanya.
No comments:
Post a Comment