Wednesday, January 24, 2007

Jangan sembunyi anak kurang upaya – Shahrizat

Utusan Malaysia, 24 Januari 2007

Oleh: ARSHAD KHAN

RAUB 23 Jan. – ‘‘Tolonglah jangan rantai anak kurang upaya, tolonglah jangan sembunyikan mereka, hantarlah mereka ke pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),’’ demikian rayu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau membuat rayuan itu ketika mengulas laporan akhbar hari ini mengenai seorang lelaki kurang siuman yang dirantai di rumahnya, terkorban dalam satu kebakaran yang turut memusnahkan kediamannya di Kampung Acheh, di sini, semalam.

Jelas Shahrizat, memang bukan mudah untuk menjaga ahli keluarga dari kalangan orang kurang upaya (OKU) tetapi beban itu boleh dikongsi dengan kerajaan yang semakin prihatin dengan nasib golongan berkenaan.

‘‘Masalah tidak akan selesai jika anak-anak OKU dipinggirkan.

‘‘Jangan takut dan jangan malu, hantar anak-anak (kumpulan OKU) ke PDK atau JKM, kita akan jaga mereka seperti anak-anak sendiri,’’ katanya pada Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang), di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Noriah Kasnon.

Dalam kejadian di Pekan, semalam, mangsa, Mohd. Mujid Harun, 37, yang tinggal bersama keluarganya dikatakan terperangkap di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumahnya sewaktu kebakaran kira-kira pukul 4.40 petang.

Ahli keluarga lain yang turut berada di rumah ketika kejadian ialah ibunya, Kalthum Hassan, 72, adik mangsa, Mohd. Najib Harun, 35, dan anak saudaranya, Mohd. Mohaimin Mohd. Najib, 5.

Shahrizat menambah, anak-anak yang dihantar ke PDK akan dilatih dengan sebaik mungkin dan diberikan penjagaan profesional.

‘‘Golongan OKU sendiri sebenarnya mahu berdikari dan tidak mahu bergantung pada sesiapa,’’ katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, sejak ditubuhkan pada 1994, setakat ini terdapat 364 PDK di seluruh negara dengan 60 daripadanya didirikan di kawasan Felda.

Jumlah keseluruhan pelatih di kesemua PDK kini kata beliau, ialah seramai 9,683 orang manakala 1,433 orang guru bertugas secara sukarela.

Menurut beliau, dengan peruntukan tahun ini sebanyak RM17.5 juta, kementerian merancang menaik taraf peralatan dan kemudahan yang ada di setiap PDK serta memberi latihan untuk meningkatkan kemahiran guru-guru pelatih bersesuaian dengan pelbagai teknik pembelajaran yang terkini.

‘‘Sekarang ini banyak modul latihan yang terkini untuk golongan OKU ini dan latihan itu akan dimulakan pada tahun ini juga,’’ katanya

No comments: