Kerusi roda ubah rutin hidup Nurul
GOMBAK: Kerusi roda yang diterima Nurul Jannah Rosli, 7, semalam bakal mengubah rutin hariannya bagi menggapai cita-cita menjadi insan berguna.
Dia yang didaftarkan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana tidak mampu berjalan mengalami kesukaran untuk ke sekolah, kini lebih bersemangat untuk belajar seperti rakan lain.
Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak Satu itu tidak boleh berjalan sejak kecil selepas dilahirkan tidak cukup bulan. Adiknya, Mohamad Roszaini, 6, juga tidak boleh berjalan akibat lemas ketika dalam kandungan.
Kerusi roda itu disumbangkan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Dr Rahman Ismail yang prihatin dengan nasib dua beradik itu memudahkan mereka bergerak ketika di sekolah.
Beliau berkata, kerusi roda itu ditempah khas bagi disesuaikan dengan fizikal kanak-kanak.
“Diharap sumbangan ini dapat mengurangkan kesukaran ibu bapanya yang selama ini terpaksa mendukung anak ke sekolah,” katanya.
“Setiap Sabtu, saya berada di Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Gombak bagi mendengar masalah penduduk, manakala Ahad saya turun padang meninjau aduan dikemukakan,” katanya.
Sepanjang tahun lalu, Datuk Dr Rahman menyumbangkan 50 kerusi roda kepada OKU sekitar Gombak.
Sementara itu, ibu dua pelajar itu, Noorfazini Awang, 26, berkata sumbangan itu akan digunakan bagi menghantar anaknya ke sekolah.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Dr Rahman kerana menyumbangkan kerusi roda ini yang membawa erti besar kepada anak saya.
“Selama ini saya terpaksa mendukungnya pergi balik sekolah tetapi dengan kerusi roda ini mudahlah sikit,” katanya.
No comments:
Post a Comment