RM25j bantu OKU berniaga
Utusan Malaysia, 4 Januari 2007
PUTRAJAYA 3 Jan. – Kementerian Sumber Manusia akan melancarkan Program Bantuan Perniagaan Orang Kurang Upaya (OKU) yang memperuntukkan geran berjumlah RM25 juta bagi memberi peluang golongan tersebut memulakan perniagaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berkata, menerusi program tersebut, persatuan-persatuan OKU layak mendapat bantuan geran RM50,000 hingga RM100,000 untuk tujuan perniagaan.
Beliau berkata, RM5 juta akan diperuntukkan setiap tahun kepada persatuan yang membuat permohonan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu.
‘‘Kementerian menjangkakan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini wang tersebut sudah boleh disalurkan kepada persatuan yang memohon,” katanya.
Chan Onn berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, permohonan perlu dibuat melalui Jabatan Buruh dan pihaknya akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai garis panduan yang telah ditetapkan.
Tambah beliau, pihak kementerian telah menerima permohonan daripada persatuan OKU untuk melatih telefonis, menganjurkan kelas komputer dan membuka kedai urut.
Selain memulakan perniagaan, geran tersebut juga layak dipohon oleh persatuan OKU yang berhasrat mengembangkan perniagaan mereka.
‘‘Kerajaan mahu menggalakkan golongan OKU menceburi bidang perniagaan dan pada masa sama membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Jelas beliau, ahli persatuan OKU boleh merancang membuka jenis perniagaan yang bersesuaian dengan kemahiran masing-masing.
Dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempercepatkan proses tuntutan para pekerja yang mengalami kecederaan akibat banjir.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada mereka yang tercedera semasa dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang dari kerja semasa banjir melanda Johor dan Melaka baru-baru ini.
‘‘Kita tidak mempunyai jumlah tepat pekerja yang membuat permohonan ini tetapi saya telah arahkan supaya proses tersebut dipercepatkan oleh Perkeso.
‘‘Kerajaan amat memahami masalah terpaksa ditanggung oleh para pekerja terlibat akibat daripada bencana alam itu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan membuat keputusan jika Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) masih gagal mencapai kata sepakat berhubung cadangan meminda Akta Buruh.
‘‘Kita bagi mereka tempoh sehingga bulan Jun untuk berbincang tetapi jika masih gagal kita sendiri akan buat keputusan,” katanya.
No comments:
Post a Comment