Badrulhisyam dapat sinar baru
Berita Harian, 15 Januari 2007
KUANTAN: "Bantuan kerusi roda ini memberi sinar baru kepada anak saya kerana selama ini dia tidak dapat bergerak dan hanya terbaring atas lantai akibat kecacatan sejak dilahirkan 21 tahun lalu," kata Yahya Mamat.
Beliau berkata, kesedihan anaknya, Badrulhisyam yang lumpuh dan hanya berbaring atas tikar kerana tidak boleh bergerak kini terubat kerana kerusi roda itu memudahkan anggota keluarga membawanya keluar.
"Selepas ini, Badrulhisyam boleh melihat sendiri kegiatan di luar rumah dan bantuan ini dapat menceriakan kehidupannya yang selama ini hanya berkurung dalam rumah.
"Sumbangan yang diberikan ini memang dialu-alukan dan berharap anak saya akan lebih selesa kerana kami akan bergilir-gilir membawanya bersiar-siar," katanya selepas menerima kerusi roda itu di rumahnya di Rancangan Rumah Murah Semambu Dua, di sini, semalam.
Kerusi roda berharga RM2,800 itu disumbangkan Kelab Rotary Kuantan oleh presidennya, R Annamalai.
Sementara itu, Annamalai berkata, sumbangan itu hasil daripada Tabung Amal kelab berkenaan.
Berdasarkan statistik setakat ini, sejumlah RM138,000 sudah dibelanjakan untuk membantu golongan memerlukan termasuk mereka yang menderita pelbagai penyakit.
No comments:
Post a Comment