Friday, January 12, 2007

Bantuan rawat rekahan bibir percuma, Kaki/ tangan palsu

Harakahdaily, 11 Januari 2007

Salmah Mat Husain
Thu | Jan 11, 07 | 10:53:27 AM

KOTA BHARU, 11 Jan (Hrkh) - Biar pun sumber kewangan Kelantan agak terhad berbanding negeri-negeri lain, namun kebajikan rakyat tetap diutamakan. Sehingga kini banyak kemudahan ditawarkan.

Antaranya bantuan perubatan bagi keluarga yang mempunyai anak-anak menghadapi masalah rekahan bibir dan lelangit terutamanya di kalangan bayi.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, peruntukan itu disediakan bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan untuk mengubat anak mereka.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tidak ramai ibu bapa yang tampil untuk memohon peruntukan terbabit.

Menurutnya kerajaan negeri menyediakan bantuan penuh berjumlah RM18,000 untuk mendapat rawatan penyakit tersebut di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

“Hospital berkenaan mempunyai kemudahan bagi merawat kes rekahan bibir dan lelangit di kalangan bayi. Sehingga kini dianggar terdapat 600 orang mengalami penyakit itu di Kelantan,” katanya di sini.

Ibu bapa yang berminat boleh memohon borang di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat atau di pejabatnya di Kota Darulnaim. Selain itu permohonan untuk mendapatkan kaki dan tangan palsu juga diterima.

Husam berkata, kerajaan negeri setakat ini menyediakan sebanyak 60 kaki palsu.

No comments: