Friday, January 12, 2007

Keluarga anak lumpuh rayu bantuan

Harakahdaily, 12 Januari 2007

Ekmal Yusof

Fri | Jan 12, 07 | 02:28:39 AM

TAIPING, 12 Jan (Hrkh) - Seorang bapa kepada bekas murid Tadika Kemas, Kampung Cheh, Bukit Gantang dekat sini, Fatihah Omar,13, merayu kepada pihak agensi kerajaan supaya dapat memberikan sebarang bantuan ke atas anaknya yang terlantar lumpuh sejak tujuh tahun lalu.

Bapa berkenaan Omar Dollah, 47, merayu khususnya kepada Kementerian Pelajaran negeri Perak agar anaknya dapat dimasukkan ke sekolah murid-murid Orang Kurang Upaya (OKU) seperti di Sekolah Menengah Bukit Jana di sini yang mengutamakan murid-murid sebegitu.

Sebelum ini, jelas beliau anaknya itu pernah belajar di sekolah biasa kerajaan di kampungnya tetapi tidaklah memberangsangkan sangat di atas kemampuannya.

"Kerana dia tidak seperti murid-murid lain. Ke sekolah terpaksa dibantu menggunakan kerusi roda. Makan bersuap, Hendak bangun terpaksa dibantu. Yang paling sukar sekali adalah ketika hendak buang air kecil dan besar. Begitullah derita yang dialaminya," kata Omar.

Beliau yang bekerja di kampung itu juga mengharapkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal Pejabat Agama Islam Perak agar dapat membantu memberikan sumbangan sebagai meringankan tanggungan perbelanjaan keperluan hariannya.

Ini disebabkan, beliau terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk menanggung keperluan hidup anaknya itu, ditambah lagi dengan tidak memiliki pendapatan yang mencukupi serta terpaksa menampung lagi perbelanjaan hidup untuk empat lagi anak-anaknya yang lain.

Menurut beliau, antara perbelanjaan wajib setiap bulan adalah ubat-ubatan, susu khas dan lampin dewasa yang agak mahal harganya.

Ketika diziarahi Harakahdaily semalam, beliau yang dibantu sama oleh isterinya Ramlah Awang, 37, mengimbau kembali kejadian yang menimpa anaknya sehingga terlantar lumpuh dari paras pinggang ke kaki ketika ini.

"Ianya berlaku pada minggu pertama di pagi hari kelimanya semasa bersekolah di Tadika Kemas di Dewan Orang Ramai, Kampung Cheh, Bukit Gantang itu tetapi pada pagi itu saya tidak dapat terus menunggunya di situ kerana terpaksa pergi keluar ke pekan sebentar kerana ada urusan lain,"jelas beliau.

Maka, katanya, "sekembalinya selepas itu, saya dapati anak saya telah terbaring lesu dan apabila ditanya kepada Guru Tadika Kemas dan seorang pembantunya mereka menjawab, anak saya telah tergelincir ketika pergi tandas."

Mengulas lanjut peristiwa itu, Omar melahirkan rasa terkilannya kerana anaknya itu tidak mendapat sebarang perlindungan keselamatan seperti Insurans Takaful yang sepatutnya dikenakan pada setiap murid-murid pra-sekolah Tadika Kemas.

Oleh yang demikian, bagi yang ingin membantu dan meringankan beban tanggungan keluarga Omar amatlah dialu-alukan dan bolehlah menyumbang melalui akaun Bank Simpanan Nasional berikut: 0822841000009943. - mks.


No comments: