Monday, January 15, 2007

Suami, isteri rayu bantu rawat anak cacat

Berita Harian, 15 Januari 2007

KULIM: Sepasang suami isteri merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya menghulurkan bantuan bagi merawat anak lelaki mereka berusia 12 tahun yang cacat akibat demam kuning.

Pasangan Abdul Azizi Saad, 58 dan Zainab Ahmad, 50, dari Kampung Gajah Merangkak, meminta bantuan bagi membeli makanan seperti beras, susu dan lampin untuk anak mereka, Mohd Nikmat.

"Anak kami mengalami kecacatan selepas menghidap demam kuning ketika dilahirkan dan sejak itu keadaannya lemah. Mohd Nikmat tidak boleh bercakap dan duduk untuk tempoh yang lama kerana badannya tidak seperti kanak-kanak seusianya dan sering mengalami kekejangan tangan serta kaki.

"Dia tidak boleh makan seperti biasa dan hanya diberi bubur dan susu, serta perlu memakai kain lampin sepanjang masa," katanya yang mempunyai sembilan anak.

Beliau berkata, pendapatan RM150 diperolehi hasil mengasuh anak orang dan sumbangan serba sedikit daripada anak-anak yang bekerja tidak mencukupi untuk menampung kos penjagaan Mohd Nikmat.

Beliau tidak bekerja kerana terpaksa menjaga Mohd Nikmat manakala suaminya juga sudah tidak bekerja selepas ditimpa kemalangan jalan raya.

Katanya, keluarga itu memerlukan kira-kira RM300 untuk merawat anak dan membeli keperluan makanan termasuk lampin.

"Pendapatan yang ada digunakan untuk perbelanjaan rumah dan kos penjagaan Mohd Nikmat dan persekolahan dua lagi anak berusia 14 dan 15 tahun," katanya pada majlis penyerahan bantuan oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud.

Beliau pernah pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Kulim dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memohon bantuan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) tetapi sehingga sekarang masih tiada sebarang jawapan.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah Kulim, Zaini Osman meminta Zainab dan Abdul Aziz datang ke pejabatnya untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

1 comment:

Unknown said...

Masalah yang oku dah selesai tetapi Kg. Gajah Merangkak ditimpa bala lagi bila projek rumah burung dibuat di kws. kg tersebut. Tiada tindakan yang drastik dibuat ileh mana-mana pihak berkuasa. Jadi bantulah mereka untuk mengelak musibah ini.
Ramai penduduk yang suka jadi spt. Buang dlm filem Sarjan Hassan.