Thursday, January 04, 2007

Murid kerdil mulakan persekolahan penuh semangat

Utusan Malaysia, 4 januari 2007

Oleh: AIZAWATI AHMAD

MUHD. Zull Hanif Abd. Halim yang ketinggiannya hanya 72sm disediakan meja dan kerusi khas ketika memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, Pekan, Pahang, semalam.

PEKAN 3 Jan. – Bagi Muhd. Zull Hanif Abd. Halim dunia ini semuanya besar. Dengan ketinggian hanya 72 sentimeter atau kira-kira 2 kaki 6 inci, dia memulakan alam persekolahan tahun satu hari ini.

Walaupun bertubuh kecil, semangatnya tidak kecil. Jiwanya besar. Dia amat berbangga dapat bersama rakan-rakan normal lain memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara di sini.

Dengan berat badan 7.5 kilogram, pihak sekolah yang prihatin sudah bersedia menerima kedatangan kanak-kanak istimewa ini dengan pelbagai persiapan.

Guru Besar sekolah tersebut, Ab. Razak Jaapar berkata, pihaknya akan memastikan Zull Hanif berasa selesa sewaktu berada di sekolah.

‘‘Sebagai permulaan, pihak sekolah akan menempatkan Zull Hanif di bilik makan prasekolah apabila tiba waktu rehat dan dia juga akan menggunakan kemudahan tandas bersaiz kecil.

‘‘Kita berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas dirinya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, bagi memastikan Zull Hanif turut menggunakan meja dan kerusi seperti yang digunakan oleh rakan-rakannya yang lain, pihak sekolah bercadang untuk memotong kaki meja serta kerusi untuk disesuaikan dengan saiz tubuhnya.

Jelas Ab. Razak, beliau turut memaklumkan kepada guru-guru di sekolah itu agar dapat memberikan perhatian yang lebih kepada Zull Hanif bagi memastikan kanak-kanak kerdil itu dapat memanfaatkan masanya di sekolah dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, guru kelas kanak-kanak tersebut, Norhanizah Abu Hanipah memberitahu, setakat ini, Zull Hanif terpaksa menggunakan kerusi dan meja prasekolah dan dia ditempatkan di bahagian hadapan kelas.

‘‘Pergaulannya bersama rakan sekelas semuanya berjalan dengan baik dan saya akan memastikan dia tidak berasa terasing sewaktu berada di dalam kelas,” ujarnya.

Bapa Zull Hanif, Abd. Halim Sulaiman, 30, ketika ditemui berkata, disebabkan saiz tubuh anaknya yang terlalu kecil, dia terpaksa menempah baju sekolah dan membelikan kasut bayi untuk kegunaan anaknya itu.

Selain itu, katanya, dia turut berhadapan dengan masalah untuk menghantar anaknya itu berulang-alik dari rumah ke sekolah.

‘‘Saya perlu bekerja dan saya tidak punya masa yang cukup untuk menghantarnya ke sekolah pada setiap hari,” jelasnya.

Namun begitu, Abd. Halim memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana anaknya itu amat memerlukan perhatian terutamanya untuk menghantar dan mengambilnya dari sekolah.

No comments: