OKU ke IPT layak terima elaun RM300 sebulan
Utusan Malaysia, 11 Januari 2007
PUTRAJAYA 10 Jan. – Golongan orang kurang upaya (OKU) yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti bagi tahun 2007, layak menerima elaun khas sekurang-kurangnya RM300 sebulan.
Kenyataan yang dipetik dari laman web rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini memberitahu, pelajar OKU boleh membuat tuntutan elaun khas itu dalam tempoh 14 hari selepas mendaftar di institusi pengajian masing-masing.
Tuntutan yang tidak mengira taraf pendapatan sebagai syarat utama itu boleh dibuat melalui Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) atau Pegawai Biasiswa.
‘‘Skop bantuan merangkumi pelajar OKU yang mengikuti pengajian di peringkat diploma ke atas tetapi bagi peringkat sijil jangka panjang di politeknik dan kolej komuniti, akan dipertimbangkan oleh kementerian.
‘‘Bagi pelajar OKU yang melanjutkan pengajian di institusi latihan bukan bertaraf IPT yang dikawal oleh kementerian lain atau IPT luar negara, tidak layak menerima elaun khas itu,” kata kenyataan itu.
Laman web tersebut menjelaskan hanya pelajar OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja layak menerima elaun khas berkenaan.
Bagaimanapun, pelajar OKU yang menerima biasiswa atas dasar kecacatannya dan juga mereka yang mengikuti pengajian separuh masa atau jarak jauh, tidak layak menerima elaun tersebut.
‘‘Bagaimanapun, pelajar OKU yang menerima pinjaman pengajian layak menerima elaun berkenaan.
‘‘Pelajar OKU yang sedang menuntut di mana-mana institut pengajian di bawah KPT turut layak menuntut elaun tersebut,” katanya.
Tarikh tuntutan elaun itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu sistem dua semester setahun dengan tarikh mengemukakan tuntutan iaitu 2 Februari 2007 untuk tuntutan Januari hingga Jun dan 6 Ogos 2007 bagi tuntutan Julai hingga Disember.
Yang kedua ialah sistem tiga semester setahun dan tarikh tuntutan 31 Januari, 31 Mei dan 28 September 2007.
No comments:
Post a Comment