Mengapa OKU dipinggirkan
Utusan Malaysia, 10 januari 2007
Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN
Baru-baru ini sekumpulan orang kurang upaya (OKU) berkempen untuk menyatakan hakikat hidup yang mereka alami. Kehidupan yang telah pun tercabar akibat kekurangan yang mereka miliki, menjadi lebih sukar apabila pengangkutan awam di negara ini tidak mesra OKU.
Bukan itu sahaja, malah pengguna-pengguna lain perkhidmatan tersebut yang sempurna anggotanya juga tidak mesra OKU.
Dari segi perangkaannya, dianggarkan bahawa satu peratus penduduk setiap negara adalah terdiri daripada OKU. Ini bermakna, di Malaysia, terdapat seramai 260,000 OKU dalam pelbagai kategori yang memerlukan perhatian kita. Kerajaan Malaysia, melalui Dasar Kebajikan Masyarakat Negara menawarkan perkhidmatan rawatan, pemulihan, pendidikan dan latihan kepada golongan ini dengan hasrat untuk menggabungkan mereka dalam masyarakat.
Iltizam kerajaan adalah satu perkara, namun perlaksanaan iltizam tersebut adalah satu perkara yang lain. Kegagalan para petugas memahami iltizam kerajaan ini menyebabkan timbulnya rungutan demi rungutan daripada pihak sasaran yang mengalami kesulitan dalam mendapatkan segala bentuk bantuan dan kemudahan.
Tanggungjawab
Selain itu, usaha kerajaan ini memerlukan kerjasama daripada pihak lain, khususnya pihak swasta. Banyak aduan mengenai bangunan serta perkhidmatan yang tidak mesra OKU menunjukkan bahawa pihak swasta tidak menyokong usaha-usaha kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang mesra OKU. Walaupun setakat ini kerajaan belum mewajibkan pihak swasta untuk menyediakan kemudahan-kemudahan, namun, tanggungjawab masyarakat sepatutnya memadai untuk menggerak mereka untuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang mesra OKU.
Jika selama ini kita sering memperkatakan tentang persekitaran jasmani yang tidak mesra OKU, bagaimana dengan masjid-masjid dan surau-surau kita? Apakah ia mesra OKU bagi memudahkan mereka beribadat?
Bagaimana pula dengan dana orang Islam? Sejauh manakah dana itu digunakan untuk membantu golongan OKU ini? Lazimnya, dana yang terkumpul diagihkan kepada golongan terpinggir dari kalangan anak yatim. Bagaimana dengan golongan OKU? Apakah hanya kerana ia tidak disebutkan secara langsung di dalam al-Quran maka ini bermakna mereka tidak perlu dibantu?
Bagaimana pula dengan usaha memberi kefahaman Islam terhadap golongan ini? Apakah kita memiliki sekumpulan pendakwah yang terlatih khusus untuk menunjuk ajar golongan ini mengenai fardu ain selaras dengan kekurangan-kekurangan yang mereka miliki?
Sejauh mana pula badan-badan Islam menyahut seruan kerajaan agar satu peratus pekerjanya terdiri daripada orang kurang upaya?
Suka atau tidak, kita tidak boleh menafikan bahawa negara Barat adalah lebih terkehadapan dalam mewujudkan persekitaran yang mesra OKU. Jika mereka boleh, kita - negara Islam - seribu kali boleh melakukannya kerana agama kita menuntut ia dilakukan.
No comments:
Post a Comment