Thursday, January 18, 2007

Kuktem cipta kerusi murid kenit

Utusan Malaysia, 18 Januari 2007

Oleh: AIZAWATI AHMAD

KUANTAN 17 Jan. – Kanak-kanak kenit, Muhd. Zull Hanif Abd. Halim, bakal menerima sebuah kerusi separuh automatik yang direka khas oleh Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (Kuktem) bagi memudahkan murid tahun satu itu menjalani proses pembelajaran seperti kanak-kanak lain.

Idea kreatif itu tercetus apabila Rektor Kuktem, Profesor Datuk Dr. Mohammad Said Mat Lela membaca laporan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 4 Januari lalu mengenai kanak-kanak tersebut yang memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, Pekan.

Zull Hanif cuma setinggi 72 sentimeter atau kira-kira 2 kaki 6 inci dengan berat badan 7.5 kilogram.

Dr. Mohammad Said berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu kanak-kanak itu setelah membaca laporan berita yang menyiarkan mengenai keprihatinan pihak sekolah yang bercadang memotong kaki meja serta kerusi bagi disesuaikan dengan saiz tubuh Zull Hanif.

‘‘Saya sendiri telah meminta sekumpulan pensyarah Kuktem agar memikirkan satu idea terbaik bagi membantu kanak-kanak ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, bersesuaian dengan kepakaran yang dimiliki oleh Kuktem, maka tercetus idea untuk mereka cipta sebuah kerusi khas menggunakan teknologi bermotor agar Zull Hanif dapat menggunakannya semasa di kelas.

Jelas beliau, pihaknya membentuk satu pasukan khas yang diketuai oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya, Dr. Rosli Abu Bakar bagi mereka cipta kerusi itu.

Dr. Rosli pula ketika ditemui memberitahu, empat pensyarah Kuktem sedang sibuk berbincang menghasilkan reka bentuk terbaik dengan dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan mesra pengguna.

‘‘Setakat ini, kita hanya buat draf awal. Kerja-kerja menyempurnakan reka bentuk kerusi khas itu masih diteruskan.

‘‘Apa yang boleh saya jelaskan di sini ialah kerusi itu kelak bakal berfungsi bagi memudahkan Zull Hanif duduk sama tinggi dan menggunakan meja yang sama dengan rakan sekelasnya,” ujarnya.

Menerangkan lebih lanjut fungsi kerusi itu, beliau berkata, kerusi menggunakan teknologi bermotor itu berupaya bergerak ke atas dan ke bawah bagi memudahkan kanak-kanak kerdil tersebut berada sama paras dengan ketinggian meja di kelasnya.

Tambah beliau, bagi memastikan kerusi istimewa itu ‘mesra pengguna’, ia juga boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang agar kedudukan Zull Haniff dengan meja berkenaan dapat diselaraskan.

‘‘Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan Zull Haniff terjamin, kita juga akan melengkapkan kerusi dengan rak buku, tali pinggang keselamatan dan sebuah platform bagi memudahkan dia meletakkan kakinya,” jelasnya lagi.

Menurut Dr. Rosli, kerusi itu yang dianggarkan berharga RM5,000 akan memiliki berat keseluruhan antara 45 dan 50 kilogram bagi memastikan ia benar-benar stabil.

Katanya, untuk aspek mudah alih, roda akan dipasang di bahagian bawah selain dilengkapi butang khas bagi memudahkan Zull Hanif mengawal pergerakan kerusi itu.

Beliau menjelaskan, pihaknya memerlukan masa kira-kira empat minggu bagi melengkapkan kerusi itu agar ia benar-benar sempurna untuk digunakan.

No comments: