Orang kurang upaya kecewa
Berita Harian, 11 Januari 2007
SELAYANG: Sekumpulan kira-kira 50 orang kurang upaya (OKU) yang mahu menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam kecewa kerana keengganan Yang Dipertuanya, Zainal Abidin Azim turun daripada pejabatnya untuk menemui mereka.
Mereka yang datang berkerusi roda pulang hampa selepas menunggu lebih sejam di depan pintu bangunan MPS. Zainal hanya menghantar Pegawai Perhubungan Awam MPS, Helda Syima Abu Talab yang kelihatan turun naik sebanyak empat kali ke pejabat ketuanya itu di tingkat sembilan.
Zainal Abidin ketika ditemui selepas kumpulan OKU dari Rawang, dekat sini itu beredar, berkata jika ingin berjumpa dengannya mereka perlu naik sendiri ke pejabatnya dan bukan beliau yang turun berjumpa mereka.
“Jika mereka ingin menyerahkan memorandum itu naiklah sendiri. Kenapa saya perlu turun ke bawah jumpa mereka kerana saya tidak menjemput mereka pun.
“Walaupun mereka OKU tetapi saya tidak perlu turun berjumpa mereka seperti yang diarahkan mereka,” katanya.
Kumpulan itu mahu menyerahkan memorandum berkenaan berikutan tindakan penguat kuasa MPS merampas motosikal roda tiga seorang OKU yang berniaga di tepi jalan, di Rawang pada 4 Januari lalu.
Motosikal M Murugan Rajoo yang tidak mempunyai kaki sejak kecil dirampas kerana didakwa melanggar peraturan berniaga di tepi jalan yang dikatakan mengganggu lalu lintas.
Walaupun sudah memohon lesen perniagaan sejak 2003, Murugan mendakwa tidak memperolehinya, menyebabkan beliau berniaga di situ bagi menyara keluarganya.
Selepas kenderaannya dirampas, beliau ke pejabat MPS di Rawang bersama dua rakannya bagi mendapatkan motosikalnya. Ketika di situ, beliau mendakwa diejek seorang pegawai yang menunjukkan kakinya yang sempurna ketika bertanya lokasi tandas.
Pegawai terbabit juga dikatakan enggan menunjukkan arah tandas, menyebabkan Murugan terpaksa membuang air kecil dalam seluar.
Dalam memorandum yang hendak diserahkan semalam, Murugan dan kumpulan itu mahu menyatakan kekecewaan terhadap layanan yang diberikan pegawai MPS kepada OKU.
Presiden Persatuan Warga Istimewa dan Rehabilitasi Anggota K9, Hospital Kuala Lumpur (Perwira K9 Malaysia), Ras Adiba Radzi yang turut hadir sedih dan kecewa dengan sikap Zainal Abidin yang enggan turun menerima memorandum itu.
“Sepatutnya beliau turun dan menunjukkan keprihatinan kepada OKU, terutama yang membabitkan kes Murugan. Beliau perlu sedar kami juga mempunyai hak seperti masyarakat Malaysia yang normal. Sikapnya seperti mempermain dan menghina OKU dan ini amat mengecewakan kami,” katanya.
Setiausaha Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC), Gurdip Kaur, berkata MPS sepatutnya memberi lesen perniagaan dan menyediakan ruang berniaga kepada warga OKU bagi menyara kehidupan.
“OKU seperti Murugan bukan ingin meminta wang atau derma daripada MPS tetapi hanya meminta lesen dan layanan baik daripada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili OKU bagi menyerahkan memorandum itu, N Surendran, berkata Murugan bukan saja tidak dibenarkan menggunakan tandas, malah dibiarkan berada di pejabat MPS Rawang dari jam 12 tengah hari hingga 10.30 malam sebelum motosikalnya diserahkan semula.
“Ini menunjukkan sikap MPS yang tidak bertanggungjawab kepada masyarakat terutama OKU. Dalam usaha kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada OKU, ada pihak masih memandang hina golongan itu dan ini amat mengecewakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment