Tuesday, June 13, 2006

Zulkifli cipta `Kerusi Encik Amir'

http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=...an&pg=mh_10.htm

Oleh Zaini Raban

SHAH ALAM 4 April - Pereka cipta , Zulkifli Haron, terus menunjukkan kepakarannya dan kali ini bagi membantu orang kurang upaya (OKU) untuk bergerak sendiri dengan mencipta `Kerusi Encik Amir' (KEA), sebuah kerusi roda elektronik untuk golongan yang tidak mampu berjalan.

Kerusi itu dicipta khas untuk bekas pemain sepak takraw negara, Che Amir Shaari, 61, yang retak salah satu tulang belakangnya akibat kemalangan jalan raya di Kajang, 10 tahun lalu.

Menerusi hasil ciptaan Zulkifli, 47, Che Amir yang selama ini terpaksa menghabiskan banyak masa dengan berbaring di atas katil kini mampu bersiar-siar bersama keluarga menggunakan KEA.

Malah bekas atlet itu mampu melawat beberapa kawasan popular di ibu negara seperti Menara Berkembar Petronas dan pusat beli belah Mid Valley Megamall.

Lebih menarik lagi, kerusi yang mudah dilaras ketinggiannya itu boleh dibawa masuk ke dalam kenderaan Che Amir dengan menggunakan mesin pengangkat yang juga dicipta khas oleh Zulkifli.

``Mesin seperti ini sebenarnya sudah berada di Amerika Syarikat tetapi harganya terlalu mahal iaitu kira-kira AS$120,000 (RM456,000) siap dengan kenderaan sekali.

``Bagaimanapun KEA berjaya dihasilkan dengan kos tidak sampai RM30,000,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Bukit Jelutong di sini hari ini.

Che Amir merupakan apit kanan pasukan sepak takraw negara dan bermain bersama Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim (apit kiri) dan Abd. Rahman Mohd. Nor (tekong) yang memenangi pingat emas pada temasya sukan SEAP 1964.

Selain mewakili negara, ketiga-tiga bekas atlet itu pernah mewakili Kedah dalam pelbagai kejohanan sepak takraw dari 1963 hingga 1979.

Zulkifli berkata, walaupun KEA dicipta olehnya namun idea asal dicetuskan oleh Husainay yang bersimpati dengan nasib Che Amir selepas melihat sendiri kesukaran rakannya itu bergerak.

Kata beliau, kerusi seberat 20 kilogram itu tidak memerlukan penyelenggaraan kerana ia hanya menggunakan kuasa bateri tetapi mampu mencapai kelajuan lima kilometer sejam dan boleh bergerak sejauh 10 kilometer tanpa henti.

Katanya, bateri yang digunakan pula boleh dicaj semula dan mampu berfungsi dengan baik sehingga tiga tahun.

``Saya cipta KEA selama kira-kira enam bulan, selepas ini saya akan terus memperkembangkannya sehinggalah Che Amir boleh memandu kenderaannya sendiri,'' jelas beliau.

Sementara itu, Che Amir ketika ditemui berkata, selepas menggunakan kerusi roda itu, beliau begitu mudah bergerak dan sungguh gembira kerana bagaikan dapat menikmati semula kehidupan seperti orang lain.

Bekas Penolong Penguasa Penjara Kajang itu berkata, hanya dengan menggunakan tombol pada kerusinya, beliau boleh ke mana sahaja tanpa perlukan bantuan sesiapa untuk menolaknya seperti sebelum ini.

Kata beliau, secara tidak langsung semangatnya untuk meneruskan kehidupan kembali membara setelah pernah berputus asa untuk mengubati penyakitnya itu.

No comments: