Tuesday, June 27, 2006

Edisi Selatan: RM1 juta selenggara PDK

Harian Metro, 27 Jun 2006

Oleh Jamaludin Husin
am@hmetro.com.my

MUAR: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk penyelenggaraan dan pengurusan Pusat Dalam Komuniti (PDK) di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, sehingga akhir tahun lalu.

Peruntukan itu termasuk membina bangunan baru, menyediakan kelengkapan dan kemudahan asas serta infrastruktur bertujuan meningkatkan lagi mutu latihan kepada pelatih yang ditempatkan di PDK terbabit.

Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita), Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin, berkata PDK di negeri ini diasaskan pada 1989 dan operasi pertamanya ialah PDK DUN Tenggaruh, di Felda Nita 2, Mersing.

Beliau berkata, kewujudan pusat komuniti itu diperluaskan kepada 40 kawasan DUN pada 1997 dan sehingga akhir tahun lalu semua kawasan DUN di negeri ini mempunyai PDK sendiri.

“PDK diwujudkan bertujuan menempatkan golongan kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak terencat akal, fizikal dan Sindrom Down di samping membantu meringankan pengurusan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.

“Di pusat berkenaan mereka diberikan pendidikan asas agama dan moral, kemahiran dan jasmani di samping penjagaan diri dari segi kesihatan,” katanya berucap merasmikan Bangunan PDK DUN Serom, di Taman Serom 4, kelmarin.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Adun Serom; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Adun Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh; Adun Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali; Pegawai Daerah, Datuk Zalil Baron dan Pengerusi PDK, Asiah Mohd Nor.

Dr Jamilah yang juga isteri Menteri Besar berkata, PDK DUN Serom siap dibina akhir 2004.

No comments: