Friday, June 16, 2006

Ibu atlit OKU tak puas hati layanan

Berita Harian, 16 Jun 2006

SEORANG ibu kepada atlit Orang Kurang Upaya (OKU) yang menyertai Sukan Para Asean ke-3 di Manila, Filipina akhir tahun lalu kesal terhadap layanan `kelas bawahan' yang diberikan kepada golongan berkenaan.


Kamisah Jaafar, 47, yang mewakili anaknya, Nor Azlina Mustafa Alias, 24, kesal kerana selepas enam bulan, tiada sebarang berita diterima mengenai ganjaran yang dijanjikan sebelum ini.

Beliau berkata, lima atlit dari Perak termasuk anaknya bukan sekadar menyumbang pingat emas untuk negara, malah ada di antara mereka yang mencipta rekod baru dalam kejohanan itu.

Kamisah berkata, anaknya yang mengambil bahagian dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing bukan sekadar meraih pingat emas malah turut mencipta rekod bagi acara melempar cakera dan melontar peluru.

"Berdasarkan kepada laporan serta `janji' yang kami terima, setiap pemenang emas serta pemecah rekod baru kejohanan akan menerima imbuhan masing-masing tetapi selepas enam bulan, tidak ada sebarang berita yang kami dengar.

"Saya yang mewakili ibu bapa atlit lain menyatakan kekesalan kami terhadap apa yang berlaku seolah-olah wujudnya diskriminasi antara atlit OKU dan atlit sihat," katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 20 Disember tahun lalu itu, kontinjen negara meraih 69 pingat emas, 41 perak dan 30 gangsa untuk menduduki tempat ketiga di belakang Thailand dan Vietnam.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said pernah dilaporkan mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM286,000 atas kejayaan cemerlang kontinjen negara yang mana RM47,000 kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan RM239,000 kepada pemenang emas dan pemecah rekod.

Laporan menyebut, setiap pemenang emas pada kejohanan itu akan menerima RM5,000 manakala tambahan RM1,000 bagi setiap rekod baru dan saguhati RM1,000 kepada pemenang pingat dalam acara yang hanya ditandingi dua negara.

Mengulas lanjut, Kamisah berkata, beliau juga terpaksa berbelanja sendiri untuk anaknya ke Manila tahun lalu bagi menampung keperluan yang tidak mencukupi termasuk pembelian ubat-ubatan.

No comments: