Wednesday, June 14, 2006

PBT tidak peka kemudahan OKU(Utusan Malaysia 4/4/2006)

KUALA LUMPUR 3 April - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegur pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana tidak peka terhadap kemudahan orang kurang upaya (OKU) di kawasan masing-masing.

``Saya sangat kecewa dengan mereka (PBT), mereka tiada kesungguhan dan sambil lewa terhadap perkara (kemudahan OKU) ini,'' kata beliau di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas seorang wanita OKU, Guldip Kaur @ Rina yang menerima surat tindakan mahkamah daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana gagal membayar tempat meletak kereta.

Rina mendakwa, dia gagal membayar kerana tempat letak keretanya bukan khas untuk OKU dan beliau tidak cukup tinggi untuk mengambil tiket meletak kereta.

Shahrizat berkata, insiden itu tidak seharusnya berlaku jika terdapat kemudahan khas untuk OKU.

``Ini bukannya susah, PBT perlu meletakkan kemudahan ini dalam perancangan mereka,'' kata beliau menambah kemudahan yang baik untuk OKU adalah satu perkara yang normal di luar negara.

Tegas beliau, kerajaan mempunyai polisi yang jelas mengenai kemudahan OKU tetapi malangnya, `pelaksanaan sangat teruk'.

Pada sesi soal jawab, Datuk Shahrir Samad (BN-Johor Bahru) turut membangkitkan insiden tersebut dan ingin tahu sama ada kerajaan merancang membuat audit kepada setiap PBT jika mereka menawarkan kemudahan yang baik untuk OKU.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr. S. Subramaniam berkata, dalam kaji selidik terhadap PBT tahun lalu, sebanyak 72 peratus bangunan dalam kawalan PBT adalah mesra OKU.

``Selebihnya adalah bangunan lama yang sukar untuk diubahsuai kerana ruang yang terhad,'' katanya sambil menambah kaji selidik itu dibuat untuk 50 daripada 96 PBT di seluruh negara.

No comments: