Sunday, June 11, 2006

KISAH KETABAHAN DAN KEJAYAAN OKU ATAU PHISICALLY CHALLENGE PERSON

OLEH: ABDUL MALEK BIN HAJI OTHMAN

Jika di Malaysia orang-orang cacat dari semua kategori digelar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) tetapi di Barat kini mereka memanggilnya Orang Yang Tercabar Fizikalnya (Phisically Challenge Person).

Syeikh Ahmad Yassin merupakan idola penulis. Walaupun lumpuh, cacat dan hampir buta tetapi semua cabaran dan dugaan itu tidak mematahkan semangat beliau untuk sama-sama memperjuangkan Islam. Beliau tidak pernah berganjak dari matlamat jihad berserta perjuangannya dan terus istiqamah menghadapi kezaliman Regim Zionis sehingga menimbulkan ketakuatan pada musuh Islam itu.

Beliau adalah ketua dan pengasas HAMAS yang digelar bapa Intifadah Palestin yang telah membangkitkan semangat jihad menentang regim Zionis yang telah merampas dan menjajah tanah air mereka.

Syeikh Ahmad Yassin telah menghabiskan seluruh usianya di jalan dakwah dan jihad walaupun pernah dipenjara, disiksa, diburu dan akhirnya gugur sebagai syuhada’ akibat pengeboman pihak regim Zionis.

Syeikh Ahmad Yassin adalah contoh istimewa kerana beliau bukan pahlawan bertubuh sasa tetapi hanyalah seorang OKU yang digeruni oleh Regim Zionis. Kisah hidup serta pengalaman Syeikh Ahmad Yassin boleh dirujuk dalam buku “Syeikh Ahmad Yassin Bapa Intifadah Palestin” karangan Ustaz Maszlee Malik iaitu Pensyarah Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ulama’ kedua pula di Malaysia iaitu allahyarham Tuan Guru Haji Arshad al-Banjari iaitu bapa kepada allahyarham Hassan Adli yang lebih dikenali dengan nama ‘Panglima Jihad’ di dalam PAS suatu ketika dulu. Menurut ibu penulis Tuan Guru Arsad ini adalah seorang ulama’ yang buta atau separa buta. Beliau mempunyai hanya seorang anak iaitu Hassan Adli antara pimpinan yang berpengaruh yang pernah dilahirkan oleh PAS.

Isteri Tuan Guru Arshad adalah sepupu kepada datuk penulis iaitu ibu kepada Hassan Adli. Walaupun beliau boleh dikategorikan sebagai OKU penglihatan tetapi beliau telah berjaya mengasaskan Sekolah Agama Rakyat Al-Ulum di Simpang Empat, Bagan Datoh, Perak. Sekolah itu masih beroperasi sehingga sekarang. Sebahagian dari rumah keluarga mereka diwakafkan untuk bangunan sekolah dan asrama.

Inilah secebis kisah Orang Yang Tercabar Fizikalnya tetapi masih mampu untuk menyumbang kepada masyarakat dan umat Islam khususnya. Jadikan ia tauladan dan pedoman dalam gerakerja kita seharian. Apakah pula sumbangan saudara-saudaraku yang cukup dan sempurna sifatnya yang dijadikan oleh Allah SWT?

No comments: