Wednesday, June 14, 2006

Tukang urut jadi kerjaya warga cacat penglihatan (Berita Harian, 8 Jun 2006)

Oleh Hafizan Taib

GOLONGAN cacat penglihatan di negara ini akan diberi peluang memajukan diri sebagai tukang urut dengan menceburi bidang urutan tradisional dan moden menerusi bimbingan tukang urut profesional dari luar negara.
Peluang keemasan itu diperoleh menerusi Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Persatuan Orang Buta Malaysia (POBM) dan sebuah syarikat kesihatan diri, Everest Crest Sdn Bhd (ECSB) yang berlangsung di Hotel Hillcity, di sini, kelmarin.

POBM diwakili Presidennya, Mah Hassan Omar, manakala Gary Teh selaku Pengarah Urusan ECSB mewakili syarikat berkenaan.

Mah Hassan berkata, menerusi MoU terbabit POBM akan mendapat pelbagai manfaat iaitu ahlinya akan diberi bimbingan dan latihan bagi memajukan diri menjadi tukang urut secara tradisional, moden serta refleksologi kaki.

“Buat permulaan, ahli POBM akan mendapat bimbingan dan latihan asas oleh sekumpulan pakar urut profesional yang didatangkan dari Thailand dan China bagi memahirkan diri dengan kaedah urutan tradisional dan refleksologi kaki.

“Latihan ini akan dilakukan secara berterusan sehingga golongan cacat penglihatan ini mampu menjadi tukang urut yang mahir dan boleh memberikan perkhidmatan kepada orang ramai, sekali gus dapat dijadikan sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani MoU itu, di Ipoh, baru-baru ini.

Perak terpilih sebagai negeri perintis bagi program itu dan akan dikembangkan ke negeri lain secara berperingkat selepas ini.

Mah Hassan berkata, MoU yang dijalin antara POBM dan ECSB itu adalah tepat pada masanya demi kebaikan golongan cacat penglihatan di negara ini dan berharap usaha membawa masuk kumpulan tukang urut profesional dari luar itu akan dapat dilakukan dengan segera.

“Kita memilih tukang urut daripada kalangan orang buta di negara luar seperti China, Thailand, Taiwan, Korea, Jepun dan Indonesia kerana mereka sudah mencapai tahap membanggakan dan diharapkan kemajuan sama mampu dicapai golongan cacat penglihatan di negara ini.

“Kita berasa yakin golongan cacat penglihatan juga mampu menjadi tukang urut yang baik dan mencapai taraf profesional apabila tiba masanya,” katanya.

Mah Hassan berkata, POBM akan membuat permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung perkara itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan ECSB, Gary Teh berkata, pihaknya hanya menjalankan tanggungjawab dan membantu sekadar termampu untuk mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan cacat penglihatan yang menyertai POBM.

“Menerusi MoU ini kita berharap dapat membantu ahli POBM memajukan diri dalam bidang kemahiran urutan di samping mengubah kehidupan dengan lebih berjaya.

“Malah kita juga berharap orang ramai sebagai pelanggan akan memberi sambutan dengan menggunakan perkhidmatan tukang urut dari kalangan orang buta,” katanya.

No comments: