Thursday, June 22, 2006

Prasarana Sibkom bantu anak istimewa

CETUSAN Dr Anak Istimewa mengenai ‘Bezakan Peperiksaan Anak Istimewa’ yang disiarkan di dalam ruangan ini Isnin lalu menarik perhatian saya. Saya terbabit secara langsung dalam usaha menjayakan pelaksanaan Soalan Interatif Berperisian Komputer (Sibkom) membabitkan mesyuarat, pameran, seminar dan wacana pendidikan anjuran LPM.


Saya sangat positif pelaksanaan Sibkom menjadi elemen penting ke arah pentaksiran amanah , adil, saksama demi memartabatkan keperluan pendidikan kalangan pelajar pendidikan khas bermasalah pendengaran. Malahan titik permulaan untuk kelangsungan bagi semua kategori calon pendidikan khas yang lainnya.

Sibkom pernah menerima perhatian langsung daripada pegawai tinggi Kementerian Pelajaran termasuk menteri dan timbalan menterinya. Malah bahan pameran Sibkom menerima respon positif kalangan kunjungan awam dan profesional. Sibkomturut menerima pengiktirafan Johan Pertandingan Inovasi Pendidikan, Kementerian Pendidikan 2004 di PWTC di ibu negara.

Pelaksanaan Sibkom memerlukan prasarana multimedia. Memandangkan kekangan yang ada, penggunaan bahasa isyarat dalam peperiksaan akan menyokong pelaksanaan pentaksiran yang adil.

Pegawai LPM, Datuk Yaakob Idris pernah mensasarkan pelaksanaan penggunaan bahasa isyarat dalam peperiksaan awam Malaysia. Keratan akhbar turut memetik kenyataan pegawai LPM, Dr. Salleh Hassan bahawa terdapat 120 penterjemah bahasa isyarat yang telah dilatih LPM untuk keperluan pelaksanaan penggunaan bahasa isyarat dalam peperiksaan awam Malaysia mulai 2005.

Banyak tenaga kepakaran, masa dan wang telah dibelanjakan untuk merealisasikan cita-cita dan harapan keperluan pentaksiran adil kalangan pelajar pendidikan khas bermasalah pendengaran ini.Sehingga kini segalanya sepi dan tiada perkembangan positif tentang Pentaksiran Alternatif Calon Khas (PAC ) dan Sibkom ini menjadi kenyataan.

Banyak persoalan yang timbul dan saya mengharapkan pelaksanaan PACK dan SIBKOM menjadi keutamaan keperluan pentaksiran calon pendidikan khas dalam peperiksaan awam seiring majunya kejayaan wawasan negara.

GURU ANAK ISTIMEWA
Kuala Lumpur.



No comments: