Thursday, June 29, 2006

Berkorban jaga suami sakit saraf

Berita Harian, 29 jun 2006


KUALA BERANG: “Saya rela berkorban harta benda untuk menjaga dan merawatnya biarpun terpaksa menggadai dan menjual semua barang kemas,” kata Timah Mat Zain, 50, yang kini mengorbankan hidupnya menjaga suami yang kaku di katil sejak setahun lalu kerana diserang penyakit saraf.

Seluruh tubuh suaminya, Mamat Mat Hassan, 57, tidak dapat bergerak akibat penyakit itu sehingga ada penduduk suaminya seperti patung bernyawa.

Walaupun dilabel sedemikian Timah tidak berputus asa dan sudah menghabiskan lebih RM20,000 sejak setahun lalu untuk mendapat rawatan daripada pengamal perubatan tradisional.

“Sebut saja di mana bomoh yang boleh merawat, saya sanggup pergi bagi membolehkan suami pulih dan mencari rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya.

Kesungguhan wanita itu untuk melihat suaminya kembali berdiri sebagai ketua keluarga mendorongnya menemui lebih 100 bomoh termasuk di Kelantan, Pahang serta Johor.

“Penyakit dialami suami saya bukan saja gagal dipulihkan, tetapi semakin teruk," katanya yang jelas sedih ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Badur, Sekayu, dekat sini, semalam.

Pasangan itu mempunyai enam anak berusia antara 16 dan 32 tahun termasuk dua masih bersekolah.

Timah berkata, suaminya dikesan mula menghidap penyakit saraf sejak empat tahun lalu tetapi dia masih boleh bekerja seperti memotong getah untuk menyara keluarga.

"Ketika mula menghidap penyakit ini, dia boleh bergerak ...cuma tangannya menggeletar, tetapi seluruh tubuhnya menjadi kaku seolah-olah patung bernyawa sejak setahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun hilang punca pencarian, bantuan adiknya yang bekerja kilang di Johor Bharu dan jiran memastikan mereka tidak dalam keperitan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Rozi Mamat, berkata penderitaan Mamat mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang menghulurkan alat bantuan pernafasan serta tilam berubat.

"Keluarga ini menerima bantuan bulanan RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Memandangkan dua anak Mamat masih bersekolah, kita sedang memohon penambahan bantuan bulanan," katanya.


No comments: