Monday, June 12, 2006

47,000 kanak-kanak Sindrom Down belum didaftar (Utusan Malaysia 5 jun 2006)

MELAKA 4 Jun - Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) menganggarkan terdapat lebih 47,000 kanak-kanak sindrom Down di seluruh negara yang masih tidak didaftarkan oleh ibu bapa mereka.

Penaungnya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tindakan ibu bapa tersebut menyebabkan pihaknya mengalami kesukaran untuk mengemas kini maklumat bagi menyalurkan bantuan kepada golongan istimewa berkenaan.

``Perkara ini lebih serius di kawasan pedalaman kerana kurangnya kesedaran tentang sindrom ini.

``Sesetengah ibu bapa juga berasa malu apabila anak mereka menghidap sindrom Down,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Hari Keluarga Sindrom Down 2006 Peringkat Kebangsaan di d'Village Resort, Ayer Keroh di sini hari ini.

Seramai 300 kanak-kanak sindrom Down menyertai program selama tiga hari yang bermula Jumaat lepas.

Menurut Mukhriz, melalui pendaftaran yang dibuat ia akan membolehkan pihaknya mengetahui dengan tepat keperluan ibu bapa yang mempunyai anak-anak penghidap sindrom itu.

``Maklumat daripada ibu bapa sangat penting, justeru saya menyeru kepada mereka yang mempunyai anak sindrom Down supaya tampil kehadapan,'' katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama PSDM turut melancarkan prototaip pangkalan data dan laman web persatuan tersebut.

``Menerusi pangkalan data itu kelak, ibu bapa boleh berkongsi maklumat, berbincang dan berhubung mengenai masalah serta perkembangan anak-anak mereka,'' katanya.

No comments: