Thursday, June 29, 2006

Khasiat ikan bantu penghidap Alzheimer jalani kehidupan

Berita Harian, 29 jun 2006

ALZHEIMER mengambil sempena nama seorang doktor iaitu Dr Alois Alzheimer yang berjaya mengesan perubahan tisu otak seorang wanita yang mati akibat penyakit mental luar biasa. Ketika itu, beliau mendapati wujudnya gumpalan tidak normal dan ikatan fiber yang kusut. Kini, gumpalan dan ikatan fiber yang tidak normal ini dianggap sebagai gejala kepada penyakit Alzheimer.

Penyakit Alzheimer adalah dementia paling biasa di kalangan warga tua. Dementia dikenal pasti melalui beberapa gejala yang disebabkan oleh perubahan fungsi otak seperti berulang kali menanya soalan sama, tidak dapat mengenali tempat, masa dan orang, tidak berupaya mengikuti arahan serta tidak mempedulikan keselamatan, kebersihan dan pemakanan diri sendiri.

Hilang keupayaan yang dialami oleh penghidap Dementia berlaku secara berperingkat-peringkat, bermula pada bahagian otak yang mengawal pemikiran, pengingatan dan bahasa.

Sehingga kini, punca penyakit Alzheimer dan kaedah rawatannya masih belum ditemui. Faktor risiko kepada penyakit Alzheimer merangkumi kecederaan kepala, keradangan, keturunan, stres yang kronik, peningkatan insulin dan diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol, obesiti, ubat-ubatan, merokok serta penuaan.

Perubahan pada otak di kalangan penghidap Alzheimer turut dikesan, seperti kematian sel saraf pada bahagian otak yang mengawal ingatan dan keupayaan mental yang lain memutuskan perhubungan antara sel saraf. Selain itu, paras bahan kimia yang berfungsi menghantar isyarat antara sel juga didapati lebih rendah. Kecacatan isyarat merosakkan fikiran dan ingatan pesakit Alzheimer.

Penyakit Alzheimer biasanya bermula selepas umur 60 tahun dan risikonya meningkat seiring dengan peningkatan umur. Golongan muda mungkin juga menghidapi penyakit Alzheimer tetapi bilangannya kurang. Namun begitu, penyakit Alzheimer bukan sebahagian daripada proses penuaan yang normal.

Kajian membuktikan keradangan otak mungkin menyumbang kepada penyakit Alzheimer. Sesetengah pakar kesihatan mencadangkan penggunaan minyak ikan membantu mengurangkan keradangan dan melambatkan perkembangan penyakit Alzheimer.

Ikan laut kaya dengan asid lemak perlu omega-3 bagi membekalkan Dokosahexaenik (DHA) dan Asid Ekosapentaenoik (EPA) yang mempunyai bahan anti keradangan. Nutrien ini juga adalah asid lemak poli tak tepu yang ada dalam otak kita, maka pengambilannya sebagai makanan tambahan harian membantu mengembalikan lemak baik pada otak.

Tambahan pula, risiko pada mereka yang makan ikan sekali seminggu adalah 60 peratus lebih rendah berbanding mereka yang jarang atau tidak makan ikan. Omega-3 juga membantu meningkatkan daya ingatan melalui peningkatan penghantaran impul saraf. Minyak ikan penting untuk pembentukan mielin yang menyelaputi lapisan luaran saraf.

Kajian klinikal menunjukkan vitamin E dan C melambatkan kejadian penyakit Alzheimer. Begitu juga dengan pati daun Ginkgo biloba yang membantu meringankan gejala penyakit Alzheimer dengan meningkatkan pengaliran darah ke bahagian otak. Kajian menunjukkan keberkesanan Ginkgo pada pesakit yang mengalami masalah kekurangan pengaliran darah ke otak adalah sebanyak 80 peratus.

Tip mengurangkan risiko penyakit Alzheimer:

1. Membekalkan otak anda dengan asid lemak perlu daripada ikan laut dalam atau makanan tambahan minyak ikan.
2. Menambahkan makanan tambahan herba yang dapat meningkatkan pengedaran darah dan daya ingatan dalam pemakanan anda.
3. Bersenam secara kerap.
4. Memilih makanan yang berkhasiat
5. Mengatasi tekanan melalui yoga, meditasi dan aktiviti keagamaan
6. Melakukan aktiviti yang merangsang minda
7. Mengawal paras kolesterol, paras gula dan tekanan darah

No comments: