Saturday, June 17, 2006

TKH terus menabur bakti di Kelantan

Harakahdaily, 5 jun 2006

Mon | Jun 05, 06 | 01:16:13 PM
Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 5 Jun (Hrkh)
- Program Bersamamu yang dikendalikan sebuah stesen televisyen tempatan dianggap berjaya setelah mengentengahkan kehidupan golongan tidak bernasib baik untuk dikongsi bersama setiap anggota masyarakat.

Tidak kurang juga peranan dimainkan Tabung Kebajikan Harakah (TKH) yang diwujudkan lebih awal. Sehingga kini ternyata mendapat perhatian masyarakat di seluruh negara. Sejak kewujudan sehingga sekarang tidak sedikit jasa ditabur TKH.

Malah, peranan yang dimainkan TKH bagi meringankan sedikit penderitaan ditanggung mereka yang kurang bernasib baik turut dipromosi pelbagai pihak selepas melihat sambutannya begitu menggalakkan.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak Mohd Atiq Marhakim, 2 dari Taman Tanjung Mas dekat sini menerima bantuan TKH yang disampaikan Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.


Adik Mohd Atiq yang cacat tangan kirinya mendapat bantuan TKH untuk pembiayaan perubatannya di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dikesan menghadapi konflikasi jantung sejak berusia empat bulan.

Menurut ibunya, Emi Zulia Yusof, 22, ketika berusia 40 hari, Atiq didapati mengalami masalah kerana jantungnya tidak mempunyai dinding.

"Sekarang keadaannya semakin serius, mudah demam dan kelihatan biru kalau dia terlalu kuat bermain," ujarnya. Turut menziarahi kanak-kanak malang itu Ketua PAS Cawangan Taman Tanjung Mas, Ismail Ahmad, nenek Atiq, Nazirah Othman.

Sementara itu, ayah Atiq, Marhakim 22 berkata, anaknya itu memerlukan kos rawatan sebanyak RM75,000 bagi mengubat penyakit yang dihadapinya. Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim menyampaikan bantuan daripada TKH kepada ibu kanak-kanak yang menghadapi masalah jantung.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana kos tersebut ditanggung kerajaan memandangkan anaknya didaftarkan sebagai golongan orang kurang upaya (OKU).

"Cuma yang kami perlukan perbelanjaan tambang, makan minum kami tiga beranak sewaktu menerima rawatan itu kerana ia tidak ditanggung kerajaan," ujarnya yang bekerja sebagai buruh.

Atiq mula mendapat rawatan di IJN ketika usia enam bulan. Sebelum itu dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab ll Kota Bharu.

Sebelum ini, sebuah keluarga miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri Perupok, Bachok juga menerima bantuan TKH.

No comments: