Saturday, June 17, 2006

Lelaki lumpuh rentung

Edisi Tengah : Harian Metro, 17 Jun 2006

Oleh Masni Ros Pakir Mohamad

MELAKA: Cubaan seorang lelaki lumpuh menyelamatkan diri dengan merangkak menuju pintu rumah yang sedang marak dijilat api gagal, menyebabkan dia rentung dalam kebakaran di rumah abangnya di Bukit Lintang dekat sini, petang semalam.

Mayat Mohd Kamal Mohd Said, 47, yang lumpuh sejak kecil dijumpai dalam keadaan merangkak di ruang tengah rumah berkenaan.

Ketika kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa tinggal seorang diri manakala enam ahli keluarganya termasuk empat cucu saudaranya tiada di rumah.

Menurut anak saudaranya, Norasyikin Zakaria, 31, ketika kejadian dia bekerja manakala empat lagi anaknya yang masih kecil dijaga kakaknya yang tinggal tidak jauh dari rumah yang terbakar itu.

Beliau berkata, bapanya, Zakaria Mohamad, 68, yang turut tinggal di situ juga tiada di rumah kerana menoreh getah.

Norasyikin berkata, arwah lumpuh sejak kecil dan tinggal bersama mereka serta terpaksa menggunakan kerusi roda apabila ingin bersiar-siar.

Zakaria yang ditemui pula asyik melaungkan Allahhu Akhbar beberapa kali bagi menenangkan perasaan apabila melihat adik iparnya rentung.

Sementara itu, Penolong Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, R Ezhumalai, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu jam 4.29 petang.

Katanya, sebuah kereta bomba bersama lapan anggota diketuai Ketua Penjaga Bomba Bukit Katil, Baharuddin Ismail bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba rumah tradisional berusia 80 tahun itu sudah musnah dijilat api.

Beliau berkata, kebakaran itu dipercayai bermula di bahagian tengah rumah berkenaan.

Menurutnya, kerugian dianggarkan kira-kira RM120,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap tebal dan kemudian rentung. Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

No comments: