Saturday, June 17, 2006

OKU dibelasah polis, mohon bantuan Peguam Negara, Ketua Polis

Harakahdaily, 13 jun 2006

Tue | Jun 13, 06 | 01:18:40 PM
Oleh Basiron Abdul Wahab

TEMERLOH, 13 Jun (Hrkh) - Seorang pemuda kurang upaya (Oku), Zukfari Ab Wahab, 26, merayu pihak berkuasa khususnya peguam negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar campur tangan dalam kesnya yang membabitkan pertikaian dengan seorang anggota polis.

Ini kerana beliau merasakan ada sesuatu yang luar biasa membabitkan pihak berkuasa yang mengendalikan kesnya.

Beliau yang baru sahaja dibebaskan daripada tahanan reman selama lapan hari ekoran laporan polis yang dibuat seorang lelaki bernama Mohd Tarmizi Jaafar 25, yang juga adik kepada Mohd Naim Jaafar, Ketua Polis Balai (OCS) Kuala Krau, Temerloh (Kuala Krau RPT: 229/06), pada 29 Mei 2006 lalu.

Mohd Tarmizi dan abangnya Mohd Naim pernah memukul Zukfari pada 9 November 2005, (No repot 502/2005)

Difahamkan, Tarmizi membuat laporan polis di Balai polis Kuala Krau, dimana abangnya adalah Ketua Polis Balai disitu, dengan mendakwa Zukfari melakukan ugutan jenayah terhadapnya. Zukfari ditahan di Balai Polis Temerloh pada petang hari yang sama setelah diminta hadir ke Balai Polis berkenaan.

Ekoran itu Zukfari direman selama lapan hari dan dituduh dibawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 506 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut Zukfari, beliau merasakan dirinya tidak diberi keadilan sewajarnya oleh pihak tertentu apabila pada hari yang sama (sebelum ditahan). Beliau mendakwa telah pergi ke Balai Polis Jerantut untuk membuat laporan polis bersabit pertengkarannya dengan Mohd Tarmizi di sebuah kedai kopi di Kampung Paya Sok, Kuala Krau.

Malangnya, kata beliau, pegawai polis bertugas di Balai Polis Jerantut itu enggan menerima aduannya pada masa itu, sebaliknya menyuruh beliau datang pada sebelah petang untuk membuat aduan.

“Saya pun pulanglah ke rumah dan bercadang untuk pergi semula ke Balai Polis tersebut pada sebelah petang sebagaimana dicadang pegawai polis berkenaan,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun menerima panggilan telefon daripada Balai Polis Temerloh yang memintanya datang ke balai polis Temerloh sebelum jam 5 petang dan apabila sampai beliau ditahan sehinggalah dibebaskan pada 5 Jun lalu.

Zukfari mempersoalkan tindakan segera polis menjalankan siasatan terhadap aduan Mohd Tarmizi malah menahanya beberapa jam selepas laporan dibuat. Ia berbeza sekali dengan laporan polis yang dibuatnya terhadap Mohd Tarmizi dan abangnya Mohd Naim (anggota polis) yang membelasahnya pada 9 November 2005.

Menurutnya, sehingga ini (setelah tujuh bulan) berlalu perkembangan siasatan polis terhadap laporan yang dibuatnya itu belum diketahui statusnya dan difahamkan polis tidak membuat sebarang tangkapan atau tahanan reman terhadap suspek yang membelasahnya itu sehingga patah gigi.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu pihak berkuasa tertinggi undang-undang seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara hatta Kabinet Kerajaan Malaysia melihat kes saya ini tanpa prejudis.

“Saya ingin mendapatkan jawapan kenapa berlaku perbezaan tindakan pihak berkuasa dalam menangani kedua-dua kes saya.

“Apatah lagi saya adalah seorang OKU, tangan saya cacat, berbeza dengan mereka (Tarmizi dan abangnya) yang normal dan telah terbukti mempunyai kekuatan fizikal sehingga berjaya mematahkan gigi saya ketika membelasah saya pada malam 9 November 2005, di hadapan Balai Raya Kampung Sok, Kuala Krau, tahun lalu,” katanya kesal.

Sementara itu, peguam Zukfari, Ahmad Nizam Abdul Hamid berkata, beliau telah menulis sepucuk surat kepada pihak polis Temerloh bertarikh 8 Disember 2005, bertanyakan status laporan dan perkembangan siasatan kes anak guamnya, Zukfari, sama ada pihak polis telah membuka kertas siasatan, atau membuat tangkapan atau menahan reman dan sebagainya tetapi sehingga ini belum menerima apa-apa jawapan.

“Apa sudah jadi surat peguam pun mendapat layanan daripada mereka,” soalnya.

Bagaimanapun, baru-baru ini seorang pegawai polis Temerloh yang dihubungi melalui telefon berkata, siasatan kes berkenaan telah pun siap dan fail siasatan kes berkenaan kini berada di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, Kuala Lumpur dan bila pertuduhan akan dibuat dimahkamah belum lagi diketahui.

Menurutnya, beliau memandang berat kes anak guamnya, ini kerana ia membabitkan seorang OKU yang dibelasah oleh orang dua lelaki normal dan salah seorangnya daripada suspek adalah anggota polis.

“Anak guam saya mengalami kecederaan seriaus, patah gigi hadapan, saya kesal kerana selepas tujuh bulan kes anak guam saya belum diketahui statusnya tetapi dalam kes kedua 29 Mei 2006 memperlihatkan kecekapan pihak polis menyelesaikan kes dengan cepat.

“Kes 9 November 2005, ia itu aduan Zukfari dipukul, disepak dan diterajang oleh Mohd Tarmizi dan Mohd Naim telah berlarutan selama 7 bulan, manakala dalam kes kedua membabitkan aduan Mohd Tarmizi terhadap Zikfari yang didakwa mengugutnya, mengambil masa lapan hari sahaja untuk polis mendakwa suspek di mahkamah,” ujarnya.

Malah menurut Ahmad Nizam, semasa berada dalam tahanan reman Polis, anak guamnya mendapat kecederaan di tangan kirinya akibat terjatuh di bilik air dan telah dikenakan beberapa jahitan.

Zukfari juga, kata Ahmad Nizam semasa dalam tahanan reman telah dirayu oleh seorang anggota polis supaya menyelesaikan kesnya yang membabitkan dakwaannya terhadap Mohd Tarmizi dan Mohd Naim, (OCS Kuala Krau), yang memukulnya pada 9 November tahun lalu tetapi Zukfari tidak bersedia menarik balik aduannya.

Menurut Ahmad Nizam lagi, jelas sekali kedua-dua kes ini mempunyai perkaitan, malah dalam tempoh lapan hari anak guamnya direman, beliau hanya disiasat sekitar dua jam sahaja.

“Kenapa polis menahan reman Zukfari terlalu lama (lapan hari) juga menjadi persoalan sedangkan siasatan kesnya mampu diselesaikan dalam masa tidak sampai dua sehari, perkara ini perlu disiasat untuk mengetahui mengapa berlaku demikian,” katanya.

Zukfari merayu semua pihak khususnya Kementerian yang bertanggungjawab terhadap OKU memberi perhatian kepada golongan senasib dengannya agar diberi perlindungan khusus dari segi undang-undang dengan menggubal undang-undang khas untuk melindungi keselamatan OKU daripada serangan fizikal danancaman keselamatan terhadap golongan OKU seperti yang dialaminya.

“Saya OKU, tangan saya cacat mana boleh nak berlawan dengan orang normal yang pukul saya, saya nak angkat kedua tangan pun tak boleh, tapi saya dibelasah tanpa belas kasihan, macamlah tiada jalan lain untuk menyelesaikan sebarang masalah dengan saya,” katanya. - mks.

No comments: