Tuesday, June 20, 2006

Bezakan peperiksaan anak istimewa

Berita Harian, 20 Jun 2006

SEJAK akhir-akhir ini banyak diperkatakan mengenai nasib anak-anak istimewa di negara kita. Memang tidak dinafikan masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi meningkatkan mutu hidup anak istimewa berkenaan.

Ada empat bidang utama yang harus menjadi tumpuan kerajaan jika ingin meningkatkan kualiti kehidupan anak istimewa ini iaitu pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sosial. Sememangnya kerajaan banyak memberi manfaat dalam keempat-empat bidang berkenaan.

Perkara ini juga banyak disebut dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Saya suka membangkitkan perkara mengenai pendidikan terutama sekali di kalangan anak-anak istimewa yang mengalami masalah pendengaran. Jika kita perhatikan, anak istimewa ini sering didapati tertinggal dalam bidang pendidikan.

Saya ada terbaca laporan pencapaian peperiksaan yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), baik keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), secara keseluruhannya pencapaian kumpulan ini boleh dikatakan jauh ketinggalan.

Mereka belajar menggunakan kurikulum yang sama dan diajar oleh guru yang mempunyai latihan yang sama. Tetapi mengapa pencapaian mereka dalam peperiksaan sangat berbeza berbanding rakan mereka yang biasa.

Mungkin Kementerian Pelajaran diketuai Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau pegawainya mempunyai jawapan kepada persoalan ini.

Jika kita menoleh kepada beberapa negara maju terutamanya di negara Barat, kita akan mendapati anak istimewa yang mempunyai masalah pekak ini mendapat pencapaian yang setara dengan rakan mereka yang biasa.

Anak istimewa ini juga kita lihat berjaya dalam kehidupan, berkerjaya, berkeluarga dan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada negara. Ada sebahagiannya berkerjaya profesional.

Saya berpendapat kejayaan ini adalah hasil daripada sistem pendidikan yang sempurna dan juga sistem peperiksaan yang mesra murid istimewa. Oleh itu, jika kita ingin melihat anak-anak istimewa di negara kita berjaya seperti di negara maju, kita juga mesti mempunyai sistem pendidikan dan peperiksaan mesra anak istimewa seperti mereka.

Mei lalu, saya telah melawat satu pameran pendidikan yang diadakan sempena Hari Guru di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara. Saya melihat satu bahan pameran yang disediakan oleh LPM.

Bahan berkenaan dinamakan Sibkom (Soalan Interatif Berperisian Komputer) di mana bahan ini adalah untuk peperiksaan bagi murid yang mempunyai masalah pendengaran. Dalam bahan ini ada soalan yang diterjemahkan dengan menggunakan bahasa isyarat dan ditadbirkan dengan menggunakan komputer.

Saya berasa bahan ini boleh menjadi satu permulaan kepada LPM untuk memartabatkan sistem peperiksaan bagi golongan istimewa di negara kita. Janganlah kita terlalu mementingkan murid biasa sehingga anak istimewa ini terpinggir dan gagal dalam kehidupan mereka.

Mereka juga ingin berjaya seperti murid biasa, ibu bapa mereka juga ingin melihat mereka berjaya seperti mana ibu bapa anak-anak biasa. Oleh itu bantulah mereka, saya percaya LPM mempunyai kepakaran yang mencukupi dalam bidang ini seperti Mejar Sazali Abd Hamid iaitu pegawai memberi penerangan dengan terperinci kepada saya di pameran berkenaan.

LPM sepatutnya menggunakan kepakaran beliau bagi meningkatkan mutu peperiksaan anak istimewa di negara kita agar setanding dengan sistem peperiksaan di negara maju. Anak istimewa usah disogokkan dengan sistem dan soalan peperiksaan yang dibuat untuk murid biasa.

Mereka memerlukan soalan dan sistem peperiksaan yang bersesuaian dengan kecacatan mereka. Berilah anak-anak istimewa harapan untuk berjaya, mulakan Sibkom dengan seberapa segera, usahlah berlengah lagi.

Semoga nasib anak-anak istimewa di Malaysia akan terbela dan bukannya terpinggir di negara kita yang makmur dan permai ini.



DR ANAK ISTIMEWA,

Jalan Pokok Mangga, Melaka.

No comments: